Selasa, 22 April 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Ceburi pertanian organik - Mukhriz

Posted: 21 Apr 2014 11:30 AM PDT

Oleh SAFINA RAMLI
utusankedah@utusan.com.my

Mukhriz Mahathir (dua dari kanan) mendengar taklimat mengenai daun dan air ketum daripada Penolong Pegawai Agensi Anti Dadah Kebangsaan Kedah, Adli Koshim (dua dari kiri) selepas penutupan Seminar Penyalahgunaan Daun Ketum peringkat negeri di Alor Setar, Kedah semalam. - BERNAMA

ALOR SETAR 21 April - Penduduk di negeri ini yang menjadikan penjualan daun ketum sebagai punca pendapatan utama disarankan agar menceburi bidang pertanian organik bagi menggantikan penanaman pokok ketum di kawasan mereka.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, beliau bimbang dengan penyalahgunaan daun ketum di negeri ini kerana tanaman pokok itu diusahakan sebagai satu industri yang membawa pulangan yang tinggi.

"Saya lihat dari segi ekonomi, kalau boleh tunjuk kepada mereka dengan menanam sayur dan buah-buahan organik boleh menjana pulangan yang tinggi berbanding menjual daun ketum. Ini boleh menjadi motivasi agar mereka berhenti menanam pokok ketum.

"Namun saya yakin, jika masyarakat sedar dengan bahayanya ketum, ini akan mendorong mereka mencari tanaman alternatif yang memberi pulangan tinggi kepada penanam pokok tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian selepas penutupan Seminar Penyalahgunaan Daun Ketum peringkat negeri Kedah di Dewan Seri Negeri, Wisma Darul Aman di sini hari ini.

Menurut Mukhriz, seminar yang diadakan di Dewan Seri Negeri hari ini adalah satu wadah yang tepat bagi menyalurkan maklumat serta fakta tentang keburukan akibat penyalahgunaan air daun ketum kepada pemimpin masyarakat.

"Maklumat yang diperoleh hari ini perlu disampaikan dan dipanjangkan kepada setiap lapisan masyarakat agar mereka tidak terjebak dalam gejala tersebut," ujarnya.

Tambah beliau, pihak jabatan dan agensi kerajaan diharapkan dapat berganding bahu dengan pertubuhan bukan kerajaan untuk merangka mekanisme baharu bagi menarik minat golongan muda, seterusnya melahirkan generasi yang bijak serta mengamalkan gaya hidup sihat dan berjaya.

"Barisan pemimpin masyarakat seharusnya sedar bahawa kita merupakan barisan hadapan yang dekat dengan komuniti tanpa mengira usia mahupun gender.

"Lantaran itu, kita perlu memperkasakan saf kepimpinan dengan menimba ilmu yang berkaitan permasalahan rakyat agar sentiasa relevan dan mendepani isu ini dengan secara menyeluruh dan holistik," jelasnya.

Sasar usahawan raih minimum RM3,000 sebulan

Posted: 21 Apr 2014 11:30 AM PDT

IPOH 21 April - Kerajaan negeri menyasarkan golongan usahawan di negeri ini mampu meraih pendapatan bersih sekurang-kurangnya RM3,000 sebulan.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan Islam, Pembangunan Sahsiah, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Datuk Mohd. Nizar Zakaria sehubungan itu berkata, kerajaan negeri akan terus bekerjasama dengan agensi-agensi yang berkaitan untuk melaksanakan pelbagai program bagi membantu mencapai sasaran tersebut.

Menurut beliau, antara program yang akan dilaksanakan termasuk mengadakan promosi produk yang diusahakan oleh usahawan tempatan di pusat-pusat membeli belah utama.

Dalam masa sama, beliau mahu golongan usahawan berani untuk menghadapi cabaran masa kini dengan mempromosikan produk keluaran mereka melalui media baharu di samping membina jaringan perniagaan sendiri.

"Bidang perniagaan memerlukan perancangan dan persiapan rapi. Ia tidak boleh dibuat sambil lewa, lebih-lebih lagi di zaman sekarang di mana bidang perniagaan memerlukan inovasi untuk pergi lebih jauh," katanya selepas merasmikan Karnival Jom Rasa di sebuah kompleks membeli-belah di sini hari ini.

Karnival seminggu itu bertujuan mempromosi dan menjual produk 18 daripada 600 usahawan bimbingan Jabatan Pertanian negeri. Karnival itu telah dianjurkan sejak 2008.

Sementara itu, Nizar memberitahu, hasil jualan sepanjang karnival kali itu dijangka meningkat kepada RM300,000 berbanding RM200,000 tahun lalu.

Menurut beliau, sasaran itu berdasarkan peningkatan perbelanjaan isi rumah bagi produk makanan diproses yang sentiasa berkembang.

"Kerajaan menjangkakan perbelanjaan isi rumah bagi produk makanan siap diproses akan meningkat kepada RM154 bilion pada 2020 berbanding RM61 bilion pada 2010.

"Sehubungan itu, kerajaan berharap usahawan industri asas tani di negeri ini mengambil kesempatan daripada peningkatan ini dengan melakukan pelbagai penambahbaikan produk dari segi kualiti, kebersihan dan pembungkusan," ujarnya.

Pesta dadah: Minta surat lulus guna banglo

Posted: 21 Apr 2014 11:30 AM PDT

PULAU PINANG 21 April - Kongres Melayu Pulau Pinang (KMPP) mendesak pihak Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri Pulau Pinang mendedahkan kepada umum surat kelulusan penggunaan banglo yang dijadikan lokasi 'pesta arak' yang diserbu polis awal pagi semalam.

Presidennya, Rahmad Isahak berkata, pihak SUK perlu menyiasat secara terperinci tentang penganjuran kegiatan tidak bermoral itu yang menyalahgunakan premis milik kerajaan negeri.

Menurutnya, insiden berkenaan amat memalukan kerana seolah-olah tiada pemantauan dibuat selepas kelulusan untuk menyewa premis milik kerajaan negeri.

Insiden yang berlaku pagi semalam amat mengejutkan kerana KMPP mempersoalkan bagaimana arak dan dadah dibawa masuk ke premis milik kerajaan negeri dan penganjuran pesta seumpama itu dapat diluluskan.

Difahamkan sebelum ini kejadian seumpama ini pernah berlaku di premis milik kerajaan negeri, namun didiamkan kerana didakwa melibatkan orang dalam dalam kerajaan Pulau Pinang," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Dalam kejadian awal pagi semalam, tindakan sekumpulan 88 individu termasuk 28 perempuan menjadikan satu sambutan hari jadi sebagai pesta dadah mengundang padah selepas majlis di Jalan Masjid Negeri dekat sini, diserbu polis.

Daripada jumlah itu, seramai 35 lelaki dan 25 perempuan termasuk 15 bawah umur didapati positif dadah, hasil ujian air kencing yang dijalankan.

Dalam kejadian kira-kira pukul 2.45 pagi itu, sepasukan anggota dan pegawai dari Bahagian Siasatan Jenayah Daerah Timur Laut menyerbu rumah berkenaan hasil maklumat orang ramai.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved