Selasa, 22 April 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Persempadanan semula 16 PBT

Posted: 21 Apr 2014 11:30 AM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

ABD. Latiff Bandi (kiri) menyerahkan watikah pelantikan Datuk Bandar Majlis Bandaraya Johor Baharu kepada Abdul Rahman Mohamed Dewam di Bangunan Majlis Bandaraya Johor Baharu, semalam. - BERNAMA

JOHOR BAHRU 21 April - Dalam usaha meningkatkan perkhidmatan pihak berkuasa tempatan (PBT) kepada rakyat, kerajaan akan melakukan persempadanan semula kawasan melibatkan 16 PBT di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Abd. Latiff Bandi berkata, cadangan tersebut kini di peringkat akhir kajian dan dijangka diumumkan tidak lama lagi.

Menurutnya, hasil kajian tersebut akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang akan datang supaya usaha persempadanan semula itu dapat dilaksanakan selewat-lewatnya pada tahun depan.

"Tujuan kita adalah untuk memastikan PBT dapat terus memberi serta meningkatkan perkhidmatan terbaik kepada rakyat, sekali gus mahu masyarakat gembira dengan perkhidmatan itu," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan Majlis Pelantikan dan Angkat Sumpah Datuk Bandar Kesembilan, Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Abdul Rahman Mohamed Dewam, di sini hari ini.

Abd. Latiff berkata, antara PBT yang akan diberi tumpuan dalam cadangan persempadanan semula itu adalah MBJB, Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) dan Majlis Perbandaran Pasir Gudang (MPPG).

Sementara itu, Abdul Rahman, 58, berharap MBJB akan terus dapat memberikan perkhidmatan terbaik dalam melaksanakan amanah kepada masyarakat.

Beliau yang mempunyai 34 tahun pengalaman bertugas bersama kerajaan negeri juga berazam untuk memastikan MBJB sentiasa mencapai kejayaan cemerlang dalam memberikan perkhidmatannya kepada warga bandar raya ini.

"Saya berterima kasih atas kepercayaan dilantik sebagai Datuk Bandar dan saya menerima jawatan ini dengan penuh rasa keinsafan, sekali gus menyedari bahawa pelantikan ini adalah satu amanah dan tanggungjawab besar," katanya.

Abdul Rahman yang sebelum ini merupakan Pegawai Daerah Muar pernah memegang jawatan Pegawai Daerah Mersing, Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kluang dan Setiausaha Pegawai Tadbir Simpang Renggam.

SK Masai sertai School Attack anjuran Utusan Malaysia

Posted: 21 Apr 2014 11:30 AM PDT

MURID Sekolah Kebangsaan Masai menunjukkan akhbar Utusan Malaysia beramai -ramai selepas menyertai Program School Attack Utusan Malaysia dan Kip Home Mart di sekolah berkenaan di Pasir Gudang, semalam. - UTUSAN/ Baazlan Ibrahim.

JOHOR BAHRU 21 April - Seramai 500 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Masai, Pasir Gudang, dekat sini menyertai siri pertandingan mewarna School Attack anjuran akhbar Utusan Malaysia dengan kerjasama Kip Home Mart hari ini.

Ini merupakan sekolah ketiga selepas SK Seri Alam 2 dan SK Bukit Dahlia menyertai peringkat saringan pertandingan yang akan menyaksikan hanya 40 murid terpilih mewakili sekolah masing-masing yang terletak di Masai pada peringkat akhir di Kip Home Mart, Masai pada 8 Jun ini.

Eksekutif Jualan Utusan Melayu (M) Bhd., Ahmad Hatim Mohd. Said Putra berkata, sambutan yang diterima amat menggalakkan dan mencapai sasaran yang ditetapkan dalam pertandingan mewarna yang bertemakan 1Malaysia itu.

"Selepas ini siri pertandingan akan tiba ke Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Masai pada 6 Mei ini dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Masai pada 12 Mei ini. Kedua-dua sekolah tersebut diminta bersedia untuk menerima kunjungan kami.

"Di kesempatan ini juga kami mengucapkan terima kasih atas kesudian dua syarikat yang beroperasi di Kip Home Mart Masai iaitu pembekal komputer, EIT Lifestyle Sdn. Bhd. dan perniagaan telefon mudah alih, Ace Teleshop kerana menaja hadiah bagi peringkat akhir pertandingan," katanya.

Pertandingan yang dimulakan pada pukul 8 pagi itu turut dihadiri Penolong Pengurus Promosi dan Pengiklanan Kip Home Mart, Nor Hazrin Mohamed dan Guru Besar SK Masai, Alias Keling.

Antara syarat pertandingan adalah setiap penyertaan hendaklah disertakan kepala akhbar Utusan Malaysia dan dalam pertandingan tersebut murid tahun satu hingga tiga dikehendaki mewarna di kertas yang telah dilukis manakala murid tahun empat hingga enam dikehendaki melukis.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved