Selasa, 22 April 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Siap hujung Februari 2016

Posted: 21 Apr 2014 11:30 AM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

Ahmad Phesal Talib (kanan) bersama Stanley Isaacs melihat pelan projek RoL pada Program Bengkel Makluman Awam RoL Presint 7 di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/Halim Khalid

KUALA LUMPUR 21 April - Projek Sungai Nadi Kehidupan (RoL), bagi projek mengindahkan sungai di bandar raya ini telah dimulakan sejak Mac lalu di lokasi yang dikenali sebagai Presint 7 merangkumi Masjid Jamek hingga Pasar Seni dengan kos sebanyak RM130 juta.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, projek RoL meliputi lima fasa itu dan Presint 7 dikenal pasti untuk dibangunkan sebagai Fasa 1.

Menurutnya, ini berikutan kawasan berkenaan merupakan pusat tumpuan pelancong tempatan dan antarabangsa.

"Kesemua lokasi itu amat strategik kerana terdapat bangunan-bangunan warisan utama seperti Bangunan Sultan Abdul Samad, Panggung Bandaraya dan Dataran Merdeka.

"Diharapkan supaya pihak pemilik-pemilik premis akan memahami mengenai proses pelaksanaan projek tersebut yang dijangka siap pada penghujung Februari 2016 kerana memberi sedikit sebanyak kesan kepada masyarakat setempat sama ada langsung atau tidak langsung," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Bengkel Makluman Awam RoL Presint 7 Bidang Ekonomi Utama Negara (NKEA) Greater Kuala Lumpur-Lembah Klang di Dewan Megapuri, Menara Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) 1 di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Pengarah DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz; Timbalan Ketua Pengarah (Pelaksanaan Projek dan Penyenggaraan) DBKL, Datuk Mohd. Najib Mohd. dan Naib Presiden Pengarah Pembangunan AECOM, Scott Dunn serta pemilik dan wakil premis di kawasan Presint 7.

Melalui projek tersebut ia dijangka memberi pulangan ekonomi yang tinggi kepada negara serta menawarkan kualiti hidup lebih baik kepada rakyat.

Projek RoL membabitkan tiga kompenan iaitu pembersihan, pengindahan dan pembangunan sungai melibatkan kawasan sepanjang 10.7 kilometer dari Sungai Gombak hingga Sungai Kelang serta terbahagi kepada 11 presint bermula dari Gombak hingga ke Brickfields.

Sementara itu, Mohd. Najib memberitahu, kerja-kerja pembersihan sungai oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) telah dijalankan sejak tahun lalu dan pemasangan rel dan lampu di tepi sungai bagi tujuan keselamatan.

"Kerja-kerja tersebut akan turut dijalankan di kawasan lain secara serentak iaitu pada bulan Ogos dan Disember ini bagi mempercepatkan lagi perjalanan projek ini," katanya.

Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Bangunan dan Alam Sekitar Cathedral St. Mary, Jalan Raja, di sini yang juga wakil penduduk di kawasan itu, Datuk Stanley Isaacs turut menyatakan sokongan terhadap projek itu sambil mencadangkan kawasan tersebut dijadikan sebuah taman rekreasi.

"Di belakang kawasan St. Mary mempunyai banyak gerai makan tetapi persekitarannya agak kotor serta sentiasa gelap dan ini membuatkan orang ramai di situ bimbang akan keselamatan mereka," katanya.

1Razak Mansion: Penduduk terharu, berterima kasih kepada kerajaan

Posted: 21 Apr 2014 11:30 AM PDT

Rahayu Mohamed Sharir (kiri), Haniz Syazana Othman (dua dari kiri) dan Normaizatul Hanim Mansor (kanan) melihat poster perumahan 1Razak Mansion pada Majlis Pelancaran Upacara Pecah Tanah dan Penyampaian Surat Pengesahan Unit Rumah 1 Razak Mansion oleh Najib Tun Razak di Perumahan Awam Razak Mansion, Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 21 April - Penghuni Perumahan Awam Razak Mansion di sini melahirkan rasa syukur dan berterima kasih kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak atas keprihatinan beliau dalam menyediakan rumah mampu milik untuk rakyat.

Malah mereka turut meminta supaya Projek Pembangunan Semula 1Razak Mansion itu dapat dikekalkan namanya sebagai 1Razak Mansion atau digabungkan dengan nama Najib sebagai tanda penghargaan penduduk kepada pemimpin itu.

Seorang penduduk, Zainab Hashim 62, berkata kedua-dua nama tersebut jika digabungkan bakal memberikan makna besar kepada negara kerana projek ini melibatkan dua pemimpin iaitu bapa dan anak yang sangat berjasa kepada negara.

"Anak-anak muda sekarang akan lebih memahami susur galur sejarah projek perumahan ini yang dahulunya dirasmikan bapa kepada Perdana Menteri dan sekarang anaknya pula berusaha untuk membangunkan semula projek yang telah berusia hampir 46 tahun ini," katanya.

Dia ditemui selepas Majlis Pecah Tanah Projek Pembangunan Semula 1Razak Mansion dan penyampaian Surat Pengesahan tawaran Unit Rumah di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Dr. Loga Bala Mohan, Ketua Setiausaha Kementerian Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Adnan Md Ikhsan, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib, Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz dan Pengerusi Eksekutif Impianika Development Sendirian Berhad, Datuk Jeff B. K. Lee.

Zainab berkata, dia merupakan antara penduduk lama di projek perumahan ini sejak 35 tahun lalu yang terpaksa membayar sewa dari sebanyak RM36 sebulan, diikuti sebanyak RM72 sebulan dan RM124 sebulan pada hari ini.

"Jadi bayangkan sudah berapa lama saya menyewa di sini dan apabila mendapat tawaran pembelian rumah dengan harga RM42,000 seunit berbanding harga sebenar atau harga semasa iaitu RM250,000 saya sekeluarga berasa sungguh gembira.

"Walaupun usia saya telah lanjut tetapi insya Allah, saya akan merasa juga akhirnya menghuni di rumah sendiri," katanya.

Turut berkongsi kegembiraan, Siti Rubiah Abdul Razak, 59.

Katanya, dia dan ahli keluarganya sangat bersyukur kerana bakal memiliki rumah sendiri setelah sekian lama menyewa di situ.

"Bayangkan lebih dari 20 tahun, kami menyewa di sini dan akhirnya tanpa disangka kami hanya perlu menunggu tiga tahun sahaja dari sekarang untuk memiliki rumah sendiri," katanya.

Dia turut berharap rumah baharu itu nanti lebih memberi keselesaan kepadanya yang turut menjaga seorang anak cacat penglihatan berusia 22 tahun.

Bagi Sharifah Salwa Syed Mohd. Al Jufri, 64, berkata kadar kadar sewa sebanyak RM194 sebulan yang perlu dibayar pada hari ini cukup berpatutan.

"Tetapi tentulah jauh lebih baik lagi apabila dapat memiliki rumah sendiri," katanya.

Selain dibangunkan projek perumahan semula, kawasan projek perumahan 1Razak Mansion ini bakal memiliki pelbagai kemudahan lain yang disediakan oleh pihak pemaju.

Ini termasuklah pembinaan 23 unit kedai bersaiz 600 kaki persegi berbanding 400 kaki persegi sebelum ini, pasar yang mengandungi 110 lot perniagaan bersaiz 20,000 kaki persegi berbanding 11,000 kaki persegi sekarang ini.

Begitu juga dengan pembinaan Dewan Orang Ramai, Surau, Tadika KEMAS, Tadika Islam, Tadika Tengku Budriah, Pejabat Persatuan Penduduk, Pondok Polis dan Bilik Pengurusan Mayat yang kesemuanya akan mempunyai saiz yang lebih besar bagi memenuhi keperluan penduduk yang semakin bertambah.

Timbang cadangan kerajaan Pusat salur air mentah

Posted: 21 Apr 2014 11:30 AM PDT

SHAH ALAM 21 April - Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor diingatkan supaya mengetepikan soal politik dengan menerima pelan Kerajaan Pusat untuk menyalurkan air mentah secara terus dari Pahang sebagai usaha menamatkan catuan bekalan sumber itu yang dihadapi rakyat.

Ingatan itu ditegaskan Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Abdul Shukor Idrus.

Beliau menyifatkan pelan kerajaan Pusat itu mampu menangani masalah kekurangan air mentah di negeri ini tetapi sekali gus membantu menyelesaikan catuan bekalan sumber berkenaan untuk jangka masa pendek.

Tegasnya, rakyat Selangor termasuk di Kuala Lumpur dan Putrajaya difahamkan tidak lagi sanggup berdepan catuan bekalan yang mana majoriti menuntut kerajaan negeri menyelesaikan segera permasalahan itu serta mengembalikan hak mereka mendapatkan air bersih seperti dijanjikan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini.

"Setakat ini, difahamkan kerajaan negeri masih belum memberi maklum balas tentang pelan kerajaan Pusat untuk menyalurkan air mentah dari Pahang ke Selangor. Sepatutnya langkah itu perlu difikirkan oleh kerajaan negeri sebagaimana tanggungjawabnya kepada rakyat Selangor.

Bagaimanapun, kerajaan negeri sehingga ke hari ini tidak menyatakan apa-apa rancangan jangka masa pendek bagi menamatkan catuan bekalan air yang dihadapi rakyat di kawasan Lembah Klang yang difahamkan telah hampir tiga bulan.

"Sebaliknya, kerajaan negeri seolah-olah meletakkan tanggungjawab untuk menyelesaikan masalah tersebut sepenuhnya atas bahu kerajaan Pusat semata-mata. Kita mahu kerajaan negeri ketepikan soal politik dalam isu air ini, rakyat perlu diutamakan, bukannya perbezaan ideologi," katanya dihubungi di sini hari ini.

Semalam, Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, kerajaan Pusat menerusi Jawatankuasa Krisis Air diketuai Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air merancang penyaluran air mentah secara terus dari Pahang ke Selangor tanpa melalui loji rawatan air.

Menurutnya, usaha itu demi memastikan bekalan air mentah di Selangor, Kuala Lumpur dan Putrajaya mencukupi yang mana pelan tersebut akan melibatkan pemindahan air mentah dari Empangan Klau, Raub melalui saluran sepanjang 1.5 kilometer dan air itu akan dipindahkan ke Sungai Langat di Selangor.

Malah, Mahdzir turut menyatakan sekiranya pelan tersebut diluluskan, penyaluran air mentah melalui saluran itu dijangka siap pada Oktober atau November ini.

Dalam pada itu, Abdul Shukor menyatakan, kerajaan negeri tidak lagi boleh bersikap ego dalam soal bekalan air rakyat sebagaimana yang dilakukan dalam isu pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 (Langat 2) yang sengaja dihentikan oleh kerajaan negeri sebelum ini.

"Dalam keadaan sekarang ini, segala pelan atau rancangan perlu dan harus diterima oleh kerajaan negeri demi kepentingan rakyat," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved