Selasa, 22 April 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Perjalanan merakyatkan integriti

Posted: 22 Apr 2014 11:40 AM PDT

Sebahagian kakitangan MARDI melakukan ikrar Integriti MARDI pada majlis menandatangani Ikrar Integriti MARDI bersama SPRM di Serdang, baru-baru ini.

PADA 20 Mei 2013, Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah bertitah bahawa integriti dapat diperkasakan jika pentadbiran negara diterasi atas tiang perundangan, dikuatkuasakan tanpa gentar - tanpa pilih kasih; tanpa halangan - tanpa campur tangan politik.

Malah menurut baginda, kesungguhan pemimpin menangani rasuah dan langkah tegas pemimpin berani mengeluarkan sel rasuah dari anatomi pentadbiran sebenarnya akan lebih mengukuhkan kedudukan pemimpin, di samping membina imej positif kerajaan, serta meningkatkan penghormatan dan keyakinan rakyat terhadap pemimpin, sekali gus meningkatkan integriti pemimpin di mata rakyat.

Dalam perkara ini, Pelan Integriti Nasional (PIN) dan Institut Integriti Malaysia (IIM) memikul amanah dan tanggungjawab untuk membudayakan integriti dalam kalangan masyarakat Malaysia secara berterusan. Bulan ini genap 10 tahun kedua-dua inisiatif ini menjadi kenyataan.

Dalam erti kata lain, individu yang maju dan sempurna bermaksud memiliki jasmani, emosi, rohani, intelek yang baik secara konsisten. Menyedari kepentingan perkara ini, bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad meletakkan usaha melahirkan masyarakat bermoral dan beretika, kukuh dalam nilai agama dan kejiwaan dan didorong oleh tahap etika yang tinggi, sebagai salah satu daripada sembilan cabaran Wawasan 2020.

Cabaran keempat Wawasan 2020 dan semangat serta prinsip Perlembagaan Persekutuan dan falsafah Rukun Negara dijadikan ramuan oleh pengganti beliau, Tun Abdullah Ahmad Badawi untuk melancarkan PIN dan disusuli dengan penubuhan IIM pada 23 April 2004.

Sebelum pelancaran PIN dan penubuhan IIM, kita jarang mendengar penggunaan perkataan integriti, sebaliknya sering mendapat perhatian adalah amalan nilai-nilai murni. Pelancaran PIN dan penubuhan IIM memungkinkan rakyat untuk menyebut dan memahami serta menghayati maksud integriti.

Di peringkat awal penubuhan, IIM dengan amanah yang besar dibatasi dengan bilangan kakitangan bertekad mempromosikan PIN dan kewujudan IIM kepada semua lapisan masyarakat melalui taklimat, ceramah, seminar, bengkel, pembentangan kertas kerja, muncul di kaca televisyen dan radio sebagai tetamu undangan.

Dalam memartabatkan integriti institusi keluarga, komuniti, pertubuhan bukan kerajaan dan golongan remaja di peringkat akar umbi, Institut Integriti Negeri dilancarkan di peringkat kebangsaan.

Bagi mengembangkan lagi kefahaman tentang kepentingan integriti dalam kalangan pelajar sekolah rendah dan menengah, buku nilai-nilai integriti sebagai bahan bacaan tambahan diterbitkan dan diedarkan ke semua sekolah.

Untuk membimbing dan meningkatkan kefahaman integriti dalam kalangan pendidik pula, IIM menganjurkan Seminar Integriti Warga Pendidik (SIWP). Dalam proses ini, guru-guru pelatih juga diutamakan. Pertandingan Pidato Integriti dianjurkan setiap tahun sebagai landasan untuk mengembangkan maklumat mengenai pengamalan integriti.

Usaha pemantapan integriti diteruskan dalam kalangan penuntut institut pengajian tinggi. Golongan ini ialah pemangkin pembangunan negara masa hadapan.

Sehubungan itu, Rakan Integriti Mahasiswa (RIM) dibentuk bagi membuka ruang dan peluang yang baik kepada pelajar-pelajar IPTA untuk melaksanakan program dan aktiviti kesedaran dan kepentingan pengamalan integriti di kampus masing-masing.

Gerakan pemantapan integriti yang diterajui IIM terus mendapat sambutan dan kerjasama baik daripada jentera perkhidmatan awam. Rakyat mengharapkan sistem perkhidmatan awam yang cekap dan berkesan, urus tadbir kerajaan yang baik dapat memerangi pembaziran dana kerajaan.

Untuk meningkatkan kesedaran dan penghayatan integriti dalam kalangan penjawat awam, IIM dengan kerjasama semua kementerian dan jabatan menganjurkan program dan bengkel pemantapan integriti bagi meningkatkan kesedaran integriti penjawat awam.

Bantuan dan bimbingan juga diberikan kepada jabatan dan badan-badan berkanun untuk menggubal Pelan Integriti Organisasi bagi mempertingkatkan tadbir urus yang baik, kompetensi dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan.

Hasil usaha bersama, kerajaan bersetuju untuk mewujudkan Unit Integriti dalam semua agensi kerajaan sebagai satu mekanisme kawalan dalaman bagi menilai dan memantau penjawat awam mengamalkan budaya kerja yang unggul dengan ciri-ciri moral dan etika yang kukuh hatta meningkatkan semangat patriotisme.

Usaha pemantapan integriti maju ke hadapan apabila agensi penguatkuasaan seperti Polis Diraja Malaysia, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Jabatan Imigresen Malaysia, dan Jabatan Pengangkutan Jalan menandatangani memorandum persefahaman dengan IIM bagi memperkukuhkan bidang latihan untuk mempertingkatkan kualiti penguatkuasaan.Dalam perkara ini, bertindak pantas dengan meletak "Integriti Amalan Kita" dalam lencana anggota polis.

IIM dengan kerjasama semua pihak yang berkaitan menganjurkan program peningkatan tadbir urus korporat dan etika perniagaan yang baik bagi membantu mengurangkan kes-kes penipuan korporat.

Kes-kes penipuan dalam organisasi boleh dibendung sekiranya organisasi mempunyai Lembaga Pengarah dan pegawai-pegawai yang berintegriti serta mengamalkan audit dalaman dan pemantauan yang berkesan.

Integriti dalam bidang politik juga diberi fokus utama. Program pengukuhan integriti politik terus dijalankan di semua peringkat tanpa mengira parti, budaya dan agama. Dengan terlaksananya program ini, tahap kefahaman dan pengetahuan mengenai kepentingan pengamalan integriti dalam politik meningkat.

Ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) yang mewakili parti-parti politik dan badan bukan kerajaan yang menjadi pemimpin tempatan terpenting juga diutamakan melalui program pengukuhan integriti.

Sebagai langkah menyemak, menilai dan memastikan program pemantapan integriti berdasarkan PIN dijalankan secara berkesan, IIM telah membangunkan Kajian Indeks Persepsi Integriti Nasional (IPIN).

IPIN merupakan pengukuran bagi mengenal pasti indeks persepsi masyarakat terhadap gejala rasuah, kualiti penyampaian khidmat awam, etika perniagaan dan tanggungjawab sosial, kemantapan institusi keluarga dan komuniti, kualiti hidup serta budi bahasa rakyat di negara ini.

Cadangan dan syor-syor dalam kajian tersebut dapat menghasilkan polisi dan tindakan pihak tertentu untuk menuju penambahbaikan serta mempertingkatkan keberkesanan fungsi IIM sebagai penyampai mesej integriti di peringkat nasional dan antarabangsa.

Pelan Transformasi Kerajaan, Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dan Gagasan 1Malaysia yang diperkenalkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, merupakan agenda terpenting bagi mempertingkatkan integriti rakyat Malaysia supaya dapat mencapai cita-cita wawasan 2020.

Komitmen kerajaan untuk membentuk negara maju mengikut acuan sendiri terbukti apabila Perdana Menteri mewujudkan jawatan menteri tadbir urus dan integriti.

Usaha memperkasa dan membudayakan integriti masyarakat Malaysia dapat dilaksanakan dengan lebih berkesan dan sempurna untuk melihat impak positif serta progresif secara strategik sekiranya mempunyai kesungguhan politik.

Pengamalan nilai berani berubah dan berani bertindak untuk kepentingan awam khususnya dalam kalangan pemimpin politik di semua peringkat, merupakan cabaran besar ke arah membudayakan integriti rakyat Malaysia.

Kita berharap untuk melihat lebih banyak kemajuan dalam usaha memupuk nilai-nilai integriti dalam kalangan rakyat Malaysia dalam dekad akan datang. Ia hanya dapat dicapai jika setiap anggota masyarakat dan agensi berganding bahu.

Loganathan Veerasamy

Institut Integriti Malaysia (IIM)

Demi kelangsungan institusi pondok

Posted: 22 Apr 2014 11:40 AM PDT

Oleh JAMLIAH ABDULLAH

JULUNG-JULUNG kali berlangsung satu perhimpunan ulama dan warga pondok bersama cendekiawan agama, tokoh akademik dari dalam dan luar negara melalui program Ijtimak Pondok Malaysia 2014 bagi membincangkan mengenai arah tuju dan masa depan institusi pondok di Malaysia.

Sebagai institusi pengajian tertua di negara ini, pondok yang cukup gemilang suatu ketika dahulu dilihat menghadapi zaman naik turun dan kebimbangan mengenai kemerosotan institusi ini yang berkemungkinan pupus seringkali disuarakan ramai pihak termasuk tokoh agama itu sendiri.

Memetik kata, Mufti Kedah, Datuk Syeikh Muhamad Baderudin Ahmad, ''Sekolah pondok ada juga yang 'mati' dahulu sebelum tok guru pondok itu mati.''.

Ia sekali gus membayangkan kerapuhan institusi ini jika tidak dimartabat dan diangkat semula kegemilangannya yang mempunyai kedudukan teristimewa dan tertinggi di kalangan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu.

Sesuatu yang pasti, bila menyentuh tentang institusi pondok ia bukan sekadar tentang pendidikan malah berkait juga tentang perjuangan ulama yang dianggap sebagai benteng mempertahankan tradisi Islam Ahli Sunnah Wal Jamaah untuk mengekalkan wasatiyyah.

Sejujurnya, tatkala muncul individu-individu yang bukan sahaja semakin celupar memburukkan nama Islam di mata masyarakat dunia tetapi juga akan menyebabkan berlakunya perpecahan dan permusuhan sesama Islam di manakah tokoh-tokoh pondok ini yang boleh memainkan peranan besar untuk menyedar dan menyatukan umat Islam dalam berhadapan dengan ancaman semasa yang tidak pernah putus.

Sedangkan di institusi pondok inilah lahirlah ulama-ulama tersohor dan pemimpin agama yang menjadi sumber rujukan ilmu-ilmu agama.

Kita juga pernah membaca tentang ketokohan tok-tok guru pondok ini seperti Tok Kenali di Kelantan yang kehebatan dan kemasyhurannya menyemarakkan syiar Islam sehingga negeri itu dikenali sebagai "Serambi Mekah".

Di Kedah sendiri ada Tok Guru Haji Idris yang juga ulama hebat termasuk mempunyai sumbangan kemasyarakatan membabitkan pembangunan ekonomi setempat.

Demikian dalam usaha memastikan institusi pondok terus segar dan memberi sumbangan kepada pembangunan komuniti, pendidikan Islam dan kemajuan negara seperti peranan mereka berabad-abad dahulu, program seumpama Ijtimak Pondok Malaysia 2014 ini sangat tepat.

Program ini merupakan inisiatif Yayasan Pembangunan Pondok Malaysia(YPPM), iaitu sebuah badan bukan kerajaan (NGO) yang walaupun baru ditubuhkan pada 2012 namun dilihat agresif dalam memperkasa dan memartabatkan institusi pondok ini.

Menurut Pengerusi YPPM, Datuk Dr. Mashitah Ibrahim, ijtimak ini adalah program yang dirancang sebagai usaha untuk memartabat, memperkasa dan mengarus perdanakan institusi pengajian pondok.

''Ijtimak cuba mengupas cabaran terbesar dalam menentukan kelangsungan pondok ini antaranya berada dalam dilema untuk menjadi pondok tradisi atau berubah menjadi pondok moden.

''Apa yang diharapkan dalam ijtimak kita akan memperoleh solusi tertentu bahawa pondok perlu mengekalkan ciri-ciri pondok itu sendiri yang bukan bergantung kepada ciri fizikal tetapi ciri-ciri penting termasuk nilai sufinya kerana asal pondok inilah yang jadi benteng kepada Islam dan Melayu,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Menerangkan lebih lanjut kata beliau, ijtimak pondok ini juga langkah pertama YPPM untuk menghimpunkan semua tok guru pondok, mudir dan pemimpin-pemimpin pondok bagi mencari kata sepakat, walaupun ada dalam kalangan mereka ini yang mempunyai pandangan berbeza dalam politik.

''YPPM adalah NGO, isu-isu agama akan dibincangkan dalam konteks agama, bukan mengikut pendirian politik. Jadi kita mahu mereka semua bersatu sebagai umat Islam demi kelangsungan institusi pondok ini,'' katanya.

Lebih menarik, ijtimak ini juga yang bakal dihadiri lebih 1,200 peserta turut mengundang tokoh agama tersohor dari pondok di Thailand dan pasentren Indonesia.

Kehadiran dua lulusan pondok iaitu seorang ahli akademik di Universiti Oxford dan bekas menteri luar sebuah negara jiran dijangka mengubah prejudis dan persepsi negatif sesetengah pihak terhadap pelajar dan institusi pondok.

Mereka akan berkongsi pandangan dan pengalaman peribadi bersama ulama pondok, tokoh agama dan akademik serta beberapa mufti jemputan dalam majlis itu.

Ucaptama di ijtimak yang bertema "Institusi Pondok di Abad 21: Cabaran dan Masa Depan" akan disampaikan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Tun Dr. Mahathir yang turut akan merasmikan pembukaannya di Dewan Seri Mentaloon.

Tidak ketinggalan satu forum perdana khas akan diadakan yang membariskan beberapa pendakwah terkenal membincangkan tajuk "Aku Terror Bukan Terroris" dengan panel jemputan Ustaz Kazim Elias dan Ustaz Badlishah Alauddin.

Seiring dengan iltizam kerajaan yang berazam untuk memelihara dan memartabatkan institusi pondok negara ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang juga Penaung YPPM akan menyampaikan beberapa anugerah khas semasa merasmikan majlis penutupan esok.

Calon-calon yang telah disenarai pendek akan dipilih oleh Lembaga Mustasyar Yayasan Pondok untuk menerima Anugerah Warga Emas Mithali dan Pelajar Pondok Cemerlang.

Beberapa pondok akan dipilih untuk menerima Anugerah Kasih yang berupa bantuan langsung daripada Perdana Menteri berdasarkan sumbangan, peranan dan keperluan.

Perdana Menteri juga akan melancarkan satu siri televisyen baharu bertajuk "Bicara Pondok" yang dihasilkan oleh YPPM.

Menurut Mashitah, pihaknya berdepan pelbagai cabaran dalam usaha menghimpunkan warga-warga pondok dari seluruh negara antara membabitkan sentimen politik walaupun hakikatnya ia merupakan usaha ikhlas NGO ini untuk mengajak institusi ini bersatu dalam platform pendidikan dan agama.

''Harapan besar YPPM melalui usaha kecil ini adalah pondok akan terus bertahan jadi benteng dan tegar menghadapi pelbagai arus perubahan demi kepentingan syiar Islam negara ini,'' katanya.

Usai perhimpunan dan perbincangan bersejarah ini kelak, apa diharapkan dapat diterjemahkan dalam bentuk pelan mahupun aktiviti yang mampu menjadikan institusi pengajian pondok ini bukan saja relevan malah berwibawa.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved