Rabu, 9 April 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Tapak pembinaan diarah tutup

Posted: 08 Apr 2014 11:59 AM PDT

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

Ab Rahaman Ab. Karim (tengah) berkata sesuatu kepada wakil kontraktor, manakala Dr. Rusdi Abd. Rahman (kanan) menampal notis penutupan tapak pembinaan untuk kerja-kerja pembersihan daripada nyamuk aedes dan sampah sarap selama dalam Ops Gempur Aedes di salah sebuah kawasan tapak pembinaan di Ayer Keroh, Melaka, semalam. - UTUSAN/azli ahad

MELAKA 8 April - Sebuah tapak pembinaan pusat perniagaan dan hotel di Taman Tasek Utama, Ayer Keroh di sini diarahkan tutup serta-merta selama tujuh hari kerana didapati menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, tindakan drastik penutupan tapak pembinaan tersebut dikeluarkan oleh Jabatan Kesihatan negeri di bawah Seksyen 8(3)(aa) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 (Pindaan 2000).

Menurutnya, tindakan itu diambil selepas pemeriksaan lanjut di bangunan tersebut mendapati kebersihannya berada di tahap rendah dan tidak memuaskan.

"Justeru, kontraktor berkenaan diberi notis penutupan premis selama tujuh hari bagi membersihkan kawasan terutamanya yang berisiko menjadi tempat pembiakan aedes.

"Kerajaan negeri amat memandang serius perkara itu dan tindakan lebih tegas bakal dikenakan terhadap kontraktor jika mereka gagal membersihkan kawasan tersebut dalam tempoh diberikan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam Ops Gempur Khas Banteras Aedes di tapak pembinaan bangunan pusat perniagaan di Taman Tasik Utama, Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang hadir sama Pegawai Kesihatan Daerah Melaka Tengah, Dr. Rusdi Abd. Rahman; Setiausaha Majlis Perbandaran Hang Tuah Jaya (MPHTJ), Shadan Othman dan Penolong Pengurus Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) Melaka, Sulaiman Md. Isa.

Operasi bersepadu siri keempat yang dilaksanakan itu turut melibatkan seramai 80 pegawai dan anggota dari Pejabat Kesihatan Melaka Tengah, MPHTJ dan CIDB Melaka.

Jelas Ab. Rahaman, antara lokasi yang mempunyai tempat pembiakan jentik-jentik di kawasan tersebut termasuklah di dalam bangunan, saluran air, longkang dan lubang lif.

"Selain itu, pemeriksaan di rumah kongsi pekerja tapak binaan itu turut mendapati kebersihan persekitarannya sangat rendah termasuk terdapat banyak sampah dan bekas plastik bertaburan, longkang tersumbat dan sebagainya," ujarnya.

Sementara itu, beliau mengingatkan semua kontraktor pembinaan di negeri ini tidak memandang remeh kebersihan kawasan kerja mereka bagi mengelak peningkatan kes demam denggi di negeri ini.

"Janganlah kita membangunkan negeri dengan mengabaikan aspek keselamatan semua penduduk kerana akhirnya akan memberi kesan buruk bukan sahaja kepada kesihatan penduduk malah menjejaskan nama baik negeri ini," tambahnya.

Katanyanya lagi, negeri ini kini berada di tempat kelima kes demam denggi paling tinggi di Malaysia manakala daripada segi kes berulang, negeri ini berada di tangga kedua.

Dua premis makanan abai kebersihan diperintah tutup

Posted: 08 Apr 2014 11:59 AM PDT

Pegawai Kesihatan PKDJ menampal notis perintah tutup premis makanan dalam Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Makanan bersama Majlis Perbandaran Jasin (MPJ), Melaka, kelmarin. - UTUSAN/NURSURAYA ZULKIFLI

JASIN 8 April - Dua buah kedai makan di daerah ini diperintah tutup ekoran kegagalan pengusahanya mematuhi tahap piawaian kebersihan dan kesihatan dalam Operasi Bersepadu Pemeriksaan Premis Makanan Pejabat Kesihatan Daerah Jasin (PKDJ) bersama Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) di sini kelmarin.

Pengarah Jabatan Kawalan Perniagaan MPJ, Juairiah Sulaimen berkata, operasi itu dijalankan secara berkala bersama PKDJ dalam usaha memastikan pemilik premis makanan mematuhi peraturan dan tahap kebersihan yang ditetapkan.

Beliau berkata, pihaknya menekan aspek kebersihan dan kesihatan dan tidak akan berkompromi dalam soal berkenaan yang merupakan asas utama untuk dipatuhi pengusaha ketika menjalankan perniagaan.

"Jika premis itu kotor dan tidak mengamalkan aspek-aspek kesihatan, sudah pasti akan mendatangkan kemudaratan sekali gus memberi kesan terhadap kesihatan pelanggan.

"Peniaga perlu bertanggungjawab dengan tidak mengejar keuntungan semata-mata hingga mengabaikan aspek kebersihan selain perlu mematuhi garis panduan penyediaan makanan yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menjamin keselamatan makanan," katanya.

Operasi selama tiga jam itu membabitkan lapan pegawai dan anggota Jabatan Kawalan Perniagaan MPJ, Penguatkuasa MPJ dan Pegawai Kesihatan PKDJ.

Juairiah berkata, MPJ akan meneruskan operasi itu di seluruh daerah Jasin bagi memberi kesedaran kepada orang ramai khususnya pengusaha kedai makanan supaya mengutamakan kebersihan dalam penyediaan makanan kepada pelanggan.

"Kita amat mengambil berat terhadap aspek kebersihan serta mewajibkan peraturan menyediakan perangkap makanan kepada semua pengendali makanan di daerah ini.

"Jika peniaga ingkar, kita berhak mengeluarkan kompaun dan mengarahkan peniaga supaya menutup premis mereka dengan kadar segera," katanya.

Dalam pada itu, Juairiah turut menasihati orang ramai supaya membuat aduan kepada pihaknya sekiranya terdapat pengusaha premis makan dan minuman yang tidak menjaga kebersihan supaya tindakan segera dapat diambil.

GST tidak bebankan rakyat - MB

Posted: 08 Apr 2014 11:59 AM PDT

SEREMBAN 8 April - Rakyat tidak perlu bimbang terhadap penguatkuasaan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) seperti yang didakwa pembangkang mampu membebankan rakyat.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, dakwaan itu tidak benar sama sekali kerana sistem percukaian itu sebenarnya membawa banyak faedah kepada rakyat terutamanya golongan yang kurang berkemampuan.

"GST yang bakal dikuatkuasakan oleh kerajaan bermula 2015 sebenarnya bukan sistem yang baharu, malah 160 negara telah melaksanakannya dan ternyata berkesan.

"GST hanya dikenakan kepada barangan tambah nilai, bukan kepada barangan asas. Majoriti barangan asas seperti beras, gula, tepung, minyak, ikan, sayur-sayuran termasuk aspek kesihatan serta pelajaran dan banyak lagi langsung tidak dikenakan cukai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar Penerangan dan Pemahaman Tentang GST anjuran Kelab UMNO Pesara Kanan Kerajaan Malaysia (KUPKK) di sini hari ini.

Mohamad menjelaskan, orang ramai tidak perlu berasa risau atau terkeliru dengan dakyah serta pembohongan pembangkang berhubung pelaksanaan GST.

"Jangan dengar cakap pembangkang bahawa GST akan membebankan orang terutamanya golongan susah.

"Sebenarnya mereka (pembangkang) takut kerana memiliki kepentingan dalam perniagaan. Sebab itu DAP paling lantang mempersoalkan GST kerana parti itu sebenarnya disokong oleh siapa," ujarnya.

Tambahnya lagi, penguatkuasaan GST bakal melancar serta melicinkan sistem percukaian negara kerana bersifat progresif.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved