Selasa, 8 April 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Didik kakitangan perangi rasuah

Posted: 07 Apr 2014 12:29 PM PDT

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA
utusanmelaka@utusan.com.my

Sebahagian daripada ketua jabatan anak syarikat kerajaan negeri Melaka menandatangani Ikrar Intergriti Korporat dalam usaha memerangi gejala rasuah dalam kalangan kakitangan kerajaan sempena Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan Negeri di Dewan Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, semalam.

MELAKA 7 April - Sebanyak 78 jabatan dan agensi kerajaan di negeri ini akan menandatangani Ikrar Integriti Korporat (CIP) sebagai langkah mendidik serta memerangi gejala rasuah tahun ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, setakat hari ini, sebanyak 21 agensi dan jabatan kerajaan di negeri ini telah menandatangani ikrar itu.

"Selain itu, kerajaan negeri akan mewajibkan kesemua pengerusi agensi, pengerusi jawatankuasa kecil perolehan, kewangan dan sebagainya untuk menyertai program-program kesedaran anjuran Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

"Perkara ini telah diaturkan oleh Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Naim Abu Bakar dan kerajaan negeri juga telah pun mengadakan perbincangan dengan SPRM," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Pentadbiran Kerajaan negeri di Seri Negeri di sini hari ini.

Dalam majlis yang sama, beliau turut menyaksikan 10 agensi dan jabatan kerajaan di negeri ini menandatangani CIP.

Agensi dan jabatan yang terlibat adalah Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM), Pejabat Daerah dan Tanah Melaka Tengah, Yayasan Melaka, Pejabat Daerah dan Tanah Jasin, Pejabat Daerah dan Tanah Alor Gajah, Pusat Zakat Melaka, Perbadanan Kemajuan Tanah Adat Melaka (Pertam), Perbadanan Muzium Melaka, Institut Pengurusan dan Integriti Negeri Melaka dan Lembaga Perumahan Melaka.

Dalam pada itu, kata Idris, kerajaan negeri telah menyediakan empat ruang membuka pusat informasi serta kaunter aduan rasuah SPRM di negeri ini iaitu di Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Pusat Transformasi Bandar (UTC) Jalan Hang Tuah, Majlis Perbandaran Jasin (MPJ) dan Majlis Perbandaran Alor Gajah (MPAG).

Beliau berkata, pembukaan pusat informasi dan kaunter aduan itu merupakan langkah kerajaan negeri dalam merakyatkan SPRM secara tidak langsung mendidik masyarakat untuk tidak melakukan rasuah.

Katanya, kerajaan negeri hanya mendapat sedikit maklumat tentang rasuah di negeri ini dan perkara itu dibimbangi berkurangan disebabkan ramai yang masih tidak tahu tentang cara membuat laporan.

"Walaupun ada yang kata bagus sebab jumlah sedikit, namun bagi kerajaan negeri ini bukanlah satu petunjuk yang baik, itulah tujuan kaunter diadakan dan saya yakin dengan adanya SPRM, niat untuk melakukan kegiatan rasuah dan tanda-tanda awal dapat diminimumkan" katanya.

Melaka sedia kongsi pengalaman anjur Sukma

Posted: 07 Apr 2014 12:29 PM PDT

Azman Man (kiri) menyampaikan cenderahamata Sukan Malaysia berbentuk singa utara kepada Idris Haron pada majlis kunjungan hormat di pejabat Ketua Menteri Melaka Seri Negeri, Ayer Keroh, Melaka, semalam. - utusan/Azli Ahad

MELAKA 7 April - Kerajaan negeri bersedia menawarkan apa juga bentuk sokongan dari segi moral, pengetahuan dan pengalaman kepada Perlis yang bakal menganjurkan Sukan Malaysia (Sukma) 2014 tidak lama lagi.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, sokongan tidak berbelah-bahagi itu dinyatakan hasil pengalaman Melaka yang pernah menjadi tuan rumah bagi kejohanan sama pada 2010.

Menurutnya, komitmen tersebut yakin untuk dijayakan memandangkan terdapat banyak persamaan antara Melaka dengan Perlis terutamanya dari segi saiz.

"Justeru, melalui sokongan serta kerjasama yang diberikan oleh pelbagai pihak, diharapkan Perlis akan berjaya menjadi penganjur terbaik kejohanan sukan tahunan tersebut," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar sempena lawatan kerja Menteri Besar Perlis, Azlan Man ke pejabatnya di Seri Negeri, Ayer Keroh di sini hari ini.

Yang turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim; Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan Perlis, Jamil Saad dan Pengarah Majlis Sukan Negeri Melaka, Ismail Abdol Jalil.

Jelas Idris, kerajaan negeri turut akan memberi sokongan padu terhadap setiap acara sukan yang dipertandingkan, malah akan datang beramai-ramai ke Perlis bagi memeriahkan kejohanan tersebut.

Sementara itu, Azlan memberitahu, kerajaan negeri Perlis menyambut baik sokongan yang diberikan Melaka dalam usaha menjayakan Sukma 2014 tidak lama lagi.

"Sebagai tuan rumah, kami berharap agar seluruh kepemimpinan kerajaan negeri Melaka termasuk orang ramai dapat berkunjung ke Perlis dalam usaha memberi sokongan terhadap acara sukan tersebut," ujarnya.

Sukma ke-17 di Perlis bakal berlangsung dari 24 Mei hingga 4 Jun bakal dirasmikan Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail pada 26 Mei.

Sebanyak 396 acara melibatkan 24 jenis sukan bakal dipertandingkan pada kejohanan yang melibatkan 4,747 atlet dari seluruh negara termasuk Brunei itu.

Kemudahan di Jelebu dinaik taraf demi keselesaan penduduk

Posted: 07 Apr 2014 12:29 PM PDT

Jalaluddin Alias (dua dari kiri) melawat Dewan Orang Ramai Simpang Pertang yang akan dibaik pulih di Jelebu, Negeri Sembilan, baru- baru ini. - Utusan/Nurul Husna Hamdan

JELEBU 7 April - Beberapa prasarana dan kemudahan di daerah ini akan dinaik taraf bertujuan memberikan keselesaan dan kesejahteraan kepada penduduk menerusi beberapa projek yang sedang dirancang.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias berkata, kerja-kerja menaik taraf itu sebahagian daripada projek di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 (RMK-10)

Jelas beliau, antara prasarana yang dinaik taraf termasuklah Pasar Awam Kuala Klawang melibatkan kos sebanyak RM500,000 selain membaiki bumbung gerai makan Majlis Daerah Jelebu (MDJ) di Kampung Puom dengan kos RM50,000.

"Turut terlibat dalam kerja naik taraf termasuklah Dewan Orang Ramai Simpang Pertang dengan kos sebanyak RM110,000 serta kerja mengecat semula Pasar Awam Simpang Pertang yang menelan belanja RM100,000," jelasnya.

"Kita juga akan melaksanakan pembinaan dua gerai baharu di Taman Bukit Pertang dengan kos RM145,000 yang turut menjadi keutamaan supaya peniaga dapat berniaga dengan selesa," katanya.

Beliau ditemui selepas mengadakan lawatan kerja di Pasar Awam Simpang Pertang di sini yang turut dihadiri Yang Dipertua MDJ, Mohamed Roduan Ujang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klawang, Datuk Yunus Rahmat.

Jalaluddin yang juga ADUN Pertang turut meninjau keadaan sungai di Kampung Hosapa, Titi yang menjadi punca banjir di kampung berkenaan telah meminta agar pihak MDJ memperbetulkan aliran sungai.

"Kawasan kampung tersebut sering dilanda banjir apabila hujan lebat dan antara punca yang dikenal pasti disebabkan laluan aliran sungai yang ditukar tanpa kebenaran.

"Peruntukan kerja-kerja naik taraf dan bina baharu diterima menerusi Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan," jelasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved