Selasa, 8 April 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Penahanan lelaki warga Australia sah

Posted: 08 Apr 2014 11:59 AM PDT

PUTRAJAYA 8 April - Mahkamah Persekutuan hari ini memutuskan penahanan lelaki warganegara Australia, Dominic Jude Bird sementara menunggu rayuan pendakwa raya terhadap pembebasannya daripada tuduhan mengedar dadah, sah di sisi undang-undang.

Panel lima hakim diketuai oleh Hakim Besar Malaya, Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang bersidang bersama Tan Sri Ahmad Maarop, Datuk Zainun Ali, Datuk Jeffrey Tan Kok Wha dan Datuk Ramly Ali memutuskan demikian selepas menolak rayuan Bird.

Kuorum berkenaan secara sebulat suara berpuas hati, penahanannya di bawah Seksyen 56A Akta Mahkamah-Mahkamah Kehakiman (COJA) 1964 tidak bercanggah dengan kebebasan asasi yang termaktub di bawah Perkara 4, 5 dan 8 Perlembagaan Persekutuan.

Hakim Zulkefli ketika membacakan keputusan itu menyatakan, Bird, 34, perlu berada di negara ini kerana prosiding jenayah terhadapnya merupakan kesinambungan daripada perbicaraan dan wajar diteruskan ekoran tindakan pihak pendakwaan memfailkan notis rayuan.

Mahkamah berpendapat, rayuan tersebut masih boleh diteruskan walaupun pihak pendakwaan belum memfailkan petisyen rayuan ketika permohonan bagi menahan Bird dikemukakan di Mahkamah Rayuan.

Sehubungan itu, panel tersebut bersetuju dengan keputusan Mahkamah Rayuan yang mengarahkan agar Bird menyerahkan pasportnya sementara menunggu rayuan pendakwa raya terhadap pembebasannya dilupuskan.

Mahkamah Rayuan ketika memutuskan demikian turut membenarkan ahli perniagaan kelahiran Perth itu dibebaskan dengan jaminan RM50,000 berserta dua penjamin.

Tidak berpuas hati dengan keputusan itu, Bird memohon untuk mencabar Seksyen 56A yang dihujahkan sebagai melanggar kebebasan hak asasinya.

Pada 4 September tahun lalu, Bird dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas pihak pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap pertuduhan mengedar methamphetamine seberat 167.8 gram yang didakwa dilakukannya di sebuah kedai kopi di Jalan Yap Kwan Seng di ibu negara pada 1 Mac 2013.

Bagaimanapun, warga Australia itu ditahan oleh pegawai imigresen di Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang pada hari yang sama, kira-kira 10 minit sebelum menaiki pesawat untuk ke Australia kerana visanya sudah tamat tempoh.

Dua warga Algeria terselamat dari hukuman gantung

Posted: 08 Apr 2014 11:59 AM PDT

PULAU PINANG 8 April - Dua lelaki warga Algeria terselamat daripada hukuman di tali gantung setelah Mahkamah Tinggi di sini hari ini, melepas dan membebaskan mereka daripada tuduhan mengedar lebih 53 kilogram dadah jenis methamphetamine yang disembunyikan dalam 11 guni di sebuah gudang, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Zamani Abdul Rahim memutuskan demikian tanpa memanggil Ali Seghir dan Amar Benboteldja, kedua-duanya berusia 30-an, membela diri atas tuduhan tersebut selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap mereka.

Dalam penghakimannya, Hakim Zamani berkata, berlaku kesilapan pada kertas pertuduhan mengenai masa tertuduh ditangkap dan masa mereka didakwa mengedar dadah tersebut yang disimpan di antara 247 guni berisi serbuk simen.

Menurut beliau, adalah mustahil bagi kedua-dua tertuduh untuk mengetahui secara spesifik 11 guni yang berisi dadah di antara 247 guni terlibat.

Selain itu, ujar beliau, berlaku percanggahan keterangan saksi-saksi pendakwaan yang terdiri daripada tiga rakan tertuduh serta pegawai polis yang melakukan serbuan ke gudang tersebut.

"Setelah membaca hujahan bertulis daripada kedua-dua pihak, saya memutuskan pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap kedua-dua tertuduh.

"Oleh itu, tertuduh pertama dan kedua dilepas dan dibebaskan tanpa perlu dipanggil membela diri," kata beliau.

Kedua-dua tertuduh didakwa secara bersama mengedar dadah tersebut seberat 53,709 gram di sebuah gudang bernombor 286, Blok H Mukim 12, Jalan Batu Maung di sini pada pukul 12.15 pagi, 9 Disember 2011.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved