Selasa, 8 April 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Bagai dilanda 'gempa bumi'

Posted: 07 Apr 2014 12:29 PM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

Seorang penduduk dan anaknya menutup telinga selepas mendengar bunyi letupan dari kawasan kuari berhampiran rumah mereka.

HULU LANGAT 7 April - Kira-kira 1,000 keluarga di Taman Kajang Perdana 2, Kajang dekat sini hidup dalam kebimbangan sejak beberapa tahun lalu ekoran sebuah kuari beroperasi berhampiran kawasan kediaman mereka.

Penduduk mendakwa, kesan gegaran bahan letupan daripada kuari tersebut yang diibaratkan gempa bumi bukan sahaja merosakkan harta benda, bahkan mengancam keselamatan dan kesihatan mereka.

Difahamkan, kuari itu telah wujud kira-kira 23 tahun lalu sebelum kawasan perumahan teres dua tingkat itu dibangunkan pada penghujung 90-an.

Kegagalan pihak bertanggungjawab melakukan pemantauan mahupun tindakan sewajarnya walaupun aduan dikemukakan sebelum ini terus menimbulkan keresahan penduduk terutamanya yang tinggal berhampiran kuari tersebut.

Penduduk turut mendakwa, saban hari mereka menghadapi masalah gegaran apabila kerja-kerja meletupkan batu dilakukan dan segelintir rumah di situ mempunyai kesan retak selain bahagian tingkap pecah.

Tinjauan Utusan Malaysia ke lokasi terbabit hari ini mendapati, kedudukan rumah penduduk dengan kuari hanya kira-kira 500 meter.

Kebanyakan penduduk terpaksa menutup pintu dan tingkap sepanjang masa ekoran pencemaran bunyi dan habuk berpunca dari operasi kuari tersebut.

Utusan Malaysia yang berada di kawasan perumahan penduduk turut merasai gegaran kesan kerja-kerja letupan daripada kuari berhampiran itu. Difahamkan kerja-kerja letupan dilakukan seawal pukul 9 pagi.

Seorang penduduk, M. Samy, 62, berkata, keadaan bertambah buruk semasa cuaca panas dan berangin kerana debu akan berterbangan sehingga ke dalam rumah.

"Ketika saya berjoging pada waktu pagi atau petang, kesan habuk begitu jelas selain meninggalkan rasa tidak selesa dan gatal pada kulit. Keadaan ini memberi kesan buruk terutama kepada warga tua atau kanak-kanak yang mempunyai penyakit asma," katanya yang menetap di kawasan perumahan itu sejak 12 tahun lalu.

Katanya, penduduk difahamkan, operasi kuari itu sepatutnya ditutup sebaik sahaja kawasan perumahan dibuka di kawasan itu, namun sehingga kini tiada sebarang tanda-tanda ia akan ditutup.

Pelajar, Faez Akmal Mohd. Muhaiyiddin, 16, pula berpendapat operasi kuari itu perlu segera dihentikan ekoran pencemaran habuk dan bunyi yang boleh memudaratkan kesihatan serta keselamatan penduduk.

"Saya dan rakan-rakan sering bermain bola sepak di padang berhampiran kuari berkenaan dan kami seolah-olah bermain dalam habuk dan debu. Kediaman rakan saya juga retak termasuk tingkap pecah ekoran gegaran daripada letupan tersebut," jelasnya.

Sementara itu, pengusaha kedai cetak, Lee Teck Kiong, 41, pula berkata, walaupun kediamannya terletak jauh dari kuari itu, dia melihat ada kewajarannya operasi kuari itu dihentikan demi keselamatan dan kesihatan penghuni.

"Sebelum apa-apa kejadian buruk terjadi, lebih baik langkah pencegahan awal diambil. Pihak bertanggungjawab perlu memantau seterusnya mengambil tindakan sekiranya operasi kuari itu tidak sesuai untuk diteruskan," katanya.

Sehubungan itu, para penduduk menggesa pihak Majlis Perbandaran Kajang, Jabatan Alam Sekitar dan wakil rakyat turun padang meninjau serta mengambil tindakan terbaik demi keselesaan dan keselamatan penduduk.

Syabas mula longgarkan catuan bekalan air

Posted: 07 Apr 2014 12:29 PM PDT

Che Desa Ahmad mengakui keluarganya terpaksa berjimat-cermat untuk menggunakan air ekoran pelan catuan di Flat PPR Kampung Limau, semalam. - UTUSAN/KAMAL BASIR

KUALA LUMPUR 7 April - Jadual catuan bekalan air di kawasan terlibat sekitar ibu negara, Selangor dan Putrajaya telah dilonggarkan dan beberapa Loji Rawatan Air (LRA) telah meningkatkan pengeluaran air terawat masing-masing.

Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. (Syabas), Priscilla Alfred berkata, ia berikutan hujan yang turun di sekitar kawasan Sungai Selangor sejak beberapa hari lalu.

"LRA yang terlibat ialah di LRA Sungai Selangor Fasa 1, LRA Sungai Selangor Fasa 2, LRA Sungai Selangor Fasa 3, LRA Sungai Rasa dan LRA Rantau Panjang.

"Apabila operator loji terbabit meningkatkan operasi pengeluaran mereka, pihak Syabas telah menyalurkan bekalan air ke kawasan catuan peringkat ketiga dan keempat seperti biasa," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau menegaskan, langkah tersebut hanya boleh dilakukan secara konsisten jika hujan turun berterusan sepanjang jadual catuan bekalan air dilaksanakan.

"Keadaan itu masih bersifat sementara kerana paras aliran air di Sungai Selangor akan menurun kembali jika tiada hujan dan berdasarkan maklum balas daripada Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), paras empangan sungai tersebut kekal pada paras yang rendah, katanya.

Sementara itu, tinjauan Utusan Malaysia mendapati, orang ramai yang berharap catuan bekalan air yang bermula sejak 27 Februari lalu dapat ditamatkan dengan segera walaupun mengakui ia tidak menjejaskan hidup mereka.

Pengerusi Persatuan Penduduk Projek Perumahan Rakyat (PPR) PPR Kampung Limau, Ahmad Long berkata. penduduk sudah memahami dengan baik konsep catuan yang dilaksanakan oleh Syabas.

Katanya, pada mulanya segelintir penduduk sukar memahami dan ada yang langsung tidak mengetahui tentang catuan tersebut.

"Selepas diberi penerangan mengenainya penduduk sudah mula faham selain merujuk notis catuan yang ditampal di setiap pangsapuri. Tidak dinafikan kami juga berhadapan dengan kemarahan segelintir penduduk terutama jika ada kenduri atau majlis perkahwinan yang memerlukan jumlah penggunaan air yang banyak," katanya,

Seorang pesara, Che Desa Ahmad, 63, pula menyifatkan kerjasama Syabas dengan persatuan penduduk dalam menyampaikan maklumat berhubung catuan amat dihargai.

Katanya, sepanjang tempoh catuan dilaksanakan dia dan keluarga belajar untuk berjimat cermat dan menggelakkan pembaziran air.

Taman Dusun Bandar dinaik taraf

Posted: 07 Apr 2014 12:29 PM PDT

Oleh NORMAIRAH JAMALUDDIN
kota@utusangroup.com.my

DBKL akan bekerjasama dengan MARDI bagi menaik taraf Taman Dusun Bandar di Jalan Bellamy sebagai salah satu lokasi pelancongan di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR 7 April - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalinkan kerjasama dengan Institut Penyelidikan Pembangunan Pertanian Malaysia (MARDI) bagi melakukan kajian dalam menaik taraf dan meningkatkan kesuburan pokok buah-buahan di Taman Dusun Bandar di Jalan Bellamy di sini.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, langkah itu bertujuan menjadikan taman tersebut sebagai lokasi pelancongan baharu berkonsepkan dusun buah-buahan di tengah bandar sekali gus menampilkan kelainan berbanding taman-taman rekreasi di sekitar ibu negara .

"Selain menyediakan taman-taman awam dan kawasan hijau, kita juga mengambil inisiatif mewujudkan taman yang berkonsepkan dusun bagi memberi pengalaman berbeza kepada pengunjung.

"Konsep ini akan diperluas ke pusat bandar raya jika ia berjaya dilaksanakan. Sebagai contoh di Bandung, Indonesia, mereka menanam pokok cempedak dan nangka di tengah-tengah bandar manakala di China, mereka menanam pokok mempelam," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara DBKL dengan MARDI di sini, hari ini.

Pada majlis tersebut, MARDI diwakili Ketua Pengarahnya, Datuk Dr. Sharif Haron.

Projek Taman Dusun Bandar yang dibangunkan dengan kos RM17.25 juta itu sebelum ini mengalami masalah ekoran pokok buah-buahan yang ditanam diserang makhluk perosak dan tidak subur.

Kawasan itu terletak di bekas kawasan setinggan Kampung Delima di Jalan Bellamy dan mempunyai keluasan 7.6 hektar.

Ahmad Phesal memberitahu, kerjasama antara DBKL dan MARDI bagi tempoh tiga tahun dengan peruntukan RM500,000 setahun itu, merangkumi dua skop utama iaitu Dusun Bandar dan Pertanian Bandar.

"Bagi Dusun Bandar, MARDI akan memberi nasihat serta menyediakan perkhidmatan teknikal, latihan dan kursus kepada kakitangan DBKL dalam bidang berkaitan.

"Bagi Pertanian Bandar pula akan melibatkan pembangunan landskap vertikal dan tanaman fungsian di kawasan dan bangunan DBKL termasuk kajian pemilihan spesies yang sesuai," ujarnya.

Sementara itu, Sharif berkata, pertanian dalam bandar telah lama dilaksanakan oleh negara-negara lain dan menjadi salah satu tarikan pelancongan.

"Di Rome, Itali mereka menanam pokok lemon di dalam bandar bagi mewujudkan bandar yang wangi dan tidak mustahil kita boleh melaksanakannya di Kuala Lumpur sekiranya orang ramai turut serta menjaga kelestariannya," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved