Selasa, 8 April 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


20 individu dilantik ahli 3P

Posted: 08 Apr 2014 11:59 AM PDT

Oleh M.RIZAL NOR
utusanktn@gmail.com

Ahmad Nazlan Idris menyiram pokok sambil diperhatikan oleh Rusli Che Husin (tiga dari kanan) sebagai tanda pelancaran Pasukan Pemantau Pencemaran Parlimen Jerantut di Taman i-City Jerantut, semalam. - Utusan/M. RIZAL NOR

JERANTUT 8 April - Sebanyak 20 individu dilantik sebagai ahli Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) peringkat Parlimen Jerantut di Taman i-City Jerantut di sini semalam.

Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) negeri, Rusli Che Husin berkata, daerah ini menjadi lokasi ke-10 bagi pihaknya melancarkan program berkenaan di negeri ini.

"Kita masih ada empat lagi kawasan yang belum mempunyai ahli 3P iaitu Parlimen Maran, Rompin, Pekan dan Paya Besar.

"Kita akan melancarkan ahli 3P di empat kawasan itu secara berperingkat selepas ini bagi membantu pihak JAS menangani masalah berkaitan alam sekitar," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis pelancaran 3P peringkat Parlimen Jerantut di Taman i-City Jerantut yang disempurnakan Ahli Parlimennya, Ahmad Nazlan Idris.

Majlis tersebut turut diserikan dengan beberapa aktiviti sampingan seperti senamrobik, pemeriksaan kesihatan percuma dan pameran oleh Jabatan Perhutanan negeri, JAS serta Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS).

Rusli berkata, daerah ini merupakan salah satu lokasi pelancongan popular di negeri ini kerana ramai pelancong datang untuk ke Taman Negara Pahang di Kuala Tahan dan ahli 3P mempunyai tugas berat untuk memastikan tidak ada kes pencemaran alam sekitar yang teruk berlaku.

"Ahli 3P perlu bergiat aktif bagi memastikan Jerantut yang mendapat jolokan Bandar Taman Negara bebas daripada sebarang isu alam sekitar sama ada di bandar, sungai dan hutan," ujarnya.

Katanya, ahli 3P perlu bertindak pantas untuk melaporkan kegiatan melibatkan pencemaran termasuk di sungai dan hutan kepada JAS negeri.

"Daerah ini mempunyai kilang, lombong dan kawasan perindustrian. Kita mahu ahli 3P sentiasa memantau keadaan sekeliling supaya tindakan pantas dapat diambil sekiranya wujud kes pencemaran alam sekitar," jelasnya.

Menurutnya, selain ahli 3P, masyarakat setempat harus memberi kerjasama mengatasi masalah pencemaran alam sekitar dan orang ramai boleh membuat aduan atau laporan kepada pihak JAS di talian 09-5165211.

Jabatan Khas MPK beri banyak manfaat

Posted: 08 Apr 2014 11:59 AM PDT

KUANTAN 8 April - Langkah Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) me-nubuhkan jabatan khas bagi mentadbir urus kawasan Perindustrian Gebeng di sini akan memberi banyak kebaikan kepada penduduk setempat.

Ketua UMNO Bahagian Indera Mahkota, Datuk Mustaffar Kamal Abdul Hamid berkata, kawasan perindustrian tersebut yang turut meliputi Chendor, Cherating dan Balok itu membolehkan jabatan berkenaan mengatasi masalah yang sering dihadapi penduduk terbabit.

Tambahnya, antara masalah yang berlaku di kawasan itu yang memerlukan perhatian daripada pihak berkuasa tempatan (PBT) tersebut adalah jalan raya, longkang serta kemudahan awam lain.

"UMNO Bahagian Indera Mahkota mengalu-alukan usaha dilakukan MPK itu dan berharap penduduk sekitar mendapat manfaat daripada penubuhan jabatan khas yang diluluskan baru-baru ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini baru-baru ini.

Beliau mengulas kenyataan Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaakob yang meluluskan penubuhan jabatan berkenaan bagi memantau serta menguruskan secara menyeluruh kawasan berkenaan.

Mustaffar Kamal berkata, keprihatinan MPK akan memudahkan penduduk menyelesaikan pelbagai masalah dengan lebih berkesan kerana boleh menyalurkan terus kepada PBT melalui jabatan berkenaan untuk tindakan segera .

"Sebelum ini, penduduk mungkin menghadapi pelbagai rintangan bagi menyalurkan maklumat dan masalah mereka tetapi selepas ini perkara seperti itu tidak berlaku lagi, sekaligus merapatkan hubungan penduduk dengan MPK," ujarnya.

Menurut beliau, usaha itu menunjukkan kerajaan tidak pernah mengabaikan kebajikan rakyat serta pembangunan infrastruktur walaupun Parlimen Indera Mahkota dikuasai parti pembangkang.

Katanya, kerajaan Barisan Nasional (BN) tetap mengambil berat masalah rakyat tanpa mengira fahaman politik, latar belakang kaum dan agama.

"Kelulusan jabatan ini jelas menunjukkan usaha ke arah kebaikan dan kebajikan orang ramai sentiasa diberi perhatian kerajaan dan UMNO Bahagian Indera Mahkota sedia memberi kerjasama kepada jabatan tersebut sekiranya diperlukan," katanya.

UMP rungkai sejarah Islam di Pahang

Posted: 08 Apr 2014 11:59 AM PDT

Oleh ZAMZURINA AHMAD
zamzurina.ahmad@utusan.com.my

Dr. Abd. Jalil Borham (tiga, kanan) berkongsi penyelidikannya dengan pelajar Universiti Malaysia Pahang dalam menjejaki tapak terawal legasi Islam di Pahang sempena Majlis Syarahan Profesor bertemakan Wadah Transformasi Jati Diri Umat Gemilang yang berlangsung di Dewan Astaka, Kuantan, baru-baru ini.

KUANTAN 8 April - Universiti Malaysia Pahang (UMP) berjaya merungkai sejarah kedatangan Islam di negeri ini dalam kajiannya sempena Majlis Syarahan Profesor yang bertemakan Wadah Transformasi Jati Diri Umat Gemilang di Dewan Astaka UMP kampus Gambang di sini baru-baru ini.

Naib Canselor UMP, Prof. Datuk Dr. Daing Nasir Ibrahim berkata, Dekan Pusat Bahasa Moden dan Sains Kemanusiaan (PBMSK), Prof. Dr. Abd. Jalil Borham berkongsi penyelidikannya untuk menjejaki tapak terawal legasi Islam di Pahang dalam majlis tersebut.

"Abd. Jalil mendedahkan kajiannya mengenai kedatangan Islam dan perkembangannya di alam Melayu khususnya di negeri ini dan terbukti Pahang menerima kedatangan Islam di rantau ini lebih awal apabila menemui catatan pada batu nisan di Kampung Permatang Pasir, Pulau Tambun, Pekan dekat sini.

"Penemuan batu nisan yang tertera waktu Subuh, Rabiulawal 419 hijrah atau 1,028 masihi berserta beberapa potongan ayat al-Quran dan syair Arab. Jika dibuat perbandingan dengan tarikh pada batu bersurat di Kuala Berang Terengganu iaitu tahun 702H (1303M) bermakna negeri ini lebih awal menerima kedatangan Islam iaitu 275 tahun lebih awal daripada Terengganu, " katanya.

Beliau hadir bersama kira-kira 500 staf dan penuntut UMP pada majlis syarahan tersebut.

Yang turut hadir Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Datuk Dr. Mortaza Mohamed; Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumnio), Prof. Datuk Dr. Yuserrie Zainuddin dan Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi), Prof. Dr. Mashitah Mohd. Yusoff.

Dalam pada itu, menurut Abd. Jalil, lokasi penemuan batu nisan tersebut hanya beberapa kilometer daripada kampus UMP di Pekan.

"Begitu juga tentang sejarah Lubuk Pelang, Bukit Ketupat di Jerantut yang merupakan sebuah pusat pengajian yang diiktiraf kerajaan Melayu Nusantara menunjukkan pada 1640 Hamzah Fansuri telah pergi ke sana untuk mendalami ilmu Hakikat dan Tasawuf.

"Kajian pengesanan ini telah dilakukan oleh tiga orang yang dianggap penting iaitu Zakaria Hitam, Halim Nasir dari Muzium Negara; bekas Kadi Kuantan, Sulaiman Husain dan Abdul Wahab Abdullah yang merupakan Nazir Sekolah-Sekolah Menengah Agama Pahang pada 1980," jelasnya.

Menurutnya, beliau akan bekerjasama dengan pihak Muzium Negeri dalam memastikan fakta yang ditemui ini dapat disahkan dalam catatan sejarah.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved