Isnin, 7 April 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Tambahan RM60j selenggara jalan

Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT

Oleh NAZARUDIN SHAHARI
nazarudin.shahari@utusangroup.com.my

Mohamad Hasan bersalaman dengan kakitangan Negeri Roadstone Sdn. Bhd. pada sambutan ulang tahun ke-40 syarikat tersebut di Nilai, Negeri Sembilan, kelmarin.

SEREMBAN 6 April - Sebanyak RM60 juta peruntukan tambahan telah disalurkan oleh kerajaan negeri bagi menyelenggara jalan raya di negeri ini tahun lalu yang membolehkan rakyat menikmati kemudahan prasarana baik.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, jumlah itu adalah tambahan daripada RM170 juta yang diterima oleh kerajaan negeri daripada dana Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) oleh Kerajaan Pusat.

Beliau berkata, tambahan peruntukan itu dibuat oleh kerajaan negeri hanya kerana semata-mata mahu melihat rakyat mendapat kemudahan jalan raya yang baik dan selesa.

"Dana yang diterima melalui Marris bukan sahaja digunakan sepenuhnya, malah kita tambah kira-kira RM60 juta lagi kepada RM230 juta bagi menurap dan membaik pulih jalan raya yang rosak," katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan sambutan ulang tahun ke-40 syarikat Negeri Roadstone Sdn. Bhd. di Nilai, dekat sini semalam.

Yang turut hadir Pengurus Besar Negeri Roadstone, Aslan Othman dan Ahli Lembaga Pengarah syarikat itu, Datuk Mohamad Haslah Mohamad Amin.

Mohamad berkata, memandangkan belanja yang besar telah dikeluarkan, kerajaan negeri mengharapkan pulangan yang sepatutnya iaitu dalam bentuk kualiti tinggi kerja-kerja penyelenggaraan tersebut.

"Sudah tentu kita akan kecewa sekiranya jalan yang dibaik pulih atau diturap itu didapati rosak dalam jangka masa tidak wajar.

"Kita tidak mahu jalan yang baharu diselenggara rosak dan rakyat menyalahkan kerajaan apabila perkara itu berlaku.

"Oleh kerana itu, saya akan ambil perhatian secara dekat supaya perkara ini tidak berlaku sewenang-wenangnya," katanya.

Jelasnya, beliau tidak mahu menuding jari kepada sesiapa tetapi perlu diambil peringatan oleh kontraktor yang dianugerahkan projek menyelenggara jalan raya di negeri ini.

Dalam majlis tersebut, Mohamad turut menyampaikan hadiah penghargaan kepada kakitangan yang telah lama berkhidmat di Negeri Roadstone serta 20 pelanggan utama syarikat berkenaan.

Beliau juga mengucapkan tahniah kepada pengurusan syarikat yang menguruskan dengan baik dan cekap Negeri Roadstone.

Cadang wujud kompleks masyarakat Jawa

Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT

Md. Yunos Husin (depan, lima dari kanan) bersama sebahagian masyarakat Jawa pada Program Santai Bicara Jati Diri dan Kesenian Masyarakat Jawa di Melaka, kelmarin.

MELAKA 6 April - Kerajaan negeri bercadang mewujudkan Kompleks Kesenian dan Warisan Etnik Jawa sebagai usaha mengekal dan mengembangkan seni budaya masyarakat berkenaan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin berkata, kompleks itu juga adalah sebagai penghargaan kepada masyarakat Jawa yang telah bertapak di negeri ini sejak tahun 1900.

Menurutnya, kerajaan negeri memilih Kampung Paya Dalam di sini sebagai lokasi cadangan pembinaan kompleks itu memandangkan kawasan ini dihuni hampir 90 peratus masyarakat Jawa.

"Penubuhan kompleks ini dilihat bertepatan dengan langkah mempromosikan kebudayaan serta kesenian masyarakat Jawa sebagai warisan yang harus dipertahankan dan dimanfaatkan sebagai produk pelancongan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Santai Bicara Jati Diri dan Kesenian Masyarakat Jawa Negeri Melaka di Auditorium Muzium Hang Tuah, Duyong di sini semalam.

Yang turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia dan Warisan negeri, Datuk Norpipah Abdol; Pengurus Besar Perbadanan Muzium Melaka (Perzim), Datuk Khamis Abas dan Timbalan Pengerusi Sekretariat Dunia Melayu Dunia Islam, Datuk Dr. Mohd. Jamil Mukmin.

Md. Yunos berkata, Kampung Paya Dalam terletak 13 kilometer (km) dari bandar raya Melaka menghala Muar, Johor melalui Lebuh Raya AMJ dan berkeluasan lebih kurang 20km persegi dengan 18 solok dan empat kariah masjid.

Menurutnya, kampung berkenaan diteroka sekitar tahun 1890 oleh masyarakat Jawa yang datang dari Pulau Jawa, Indonesia.

"Kebanyakan penghuni di kampung berkenaan ada yang datang dari Jawa Tengah dan Jawa Timur seperti Magelang, Pachitan, Kebumen, Banyu Mas, Ponorogo dan Solotigo," katanya.

Beliau berkata, masyarakat Jawa di negeri ini dan penduduk Kampung Paya Dalam khususnya perlu memberikan sokongan jitu terhadap kerajaan negeri bagi merealisasikan hasrat mewujudkan kompleks berkenaan.

Katanya, projek pembinaan kompleks itu kelak akan memperlihatkan keunikan seni bina Jawa, makanan tradisional, pakaian serta seni dan budaya masyarakat itu serta disifatkan sebagai sebuah muzium hidup.

Karnival pendidikan jadi pusat sehenti

Posted: 06 Apr 2014 12:12 PM PDT

MELAKA 6 April - Karnival Pendidikan, Kerjaya dan Inovasi yang berlangsung empat hari sejak Khamis lalu dilihat mampu menjadi pusat sehenti bagi membolehkan pengunjung terutama lepasan sekolah mendapatkan maklumat tentang pengajian serta pekerjaan yang bersesuaian dengan kelulusan.

Pengarah Pendidikan negeri, Md. Rashid Hussin berkata, karnival yang dianjurkan untuk kali kelapan sejak tahun 2005 itu menawarkan pelbagai peluang kerjaya serta melanjutkan pelajaran sama ada di institusi pengajian tinggi (IPT) awam mahupun swasta.

"Menerusi karnival ini, para pencari kerja boleh membuat carian kerja dengan melawat gerai agensi-agensi pekerjaan yang disediakan.

"Pencarian kerja kini dilihat telah memasuki fasa baharu dan tidak lagi terikat dengan kaedah konvensional, sebaliknya menerusi karnival seperti ini adalah lebih cepat, telus dan meyakinkan masyarakat.

"Tidak hairanlah apabila karnival seperti ini dapat dijadikan sebagai pusat sehenti kepada para pengunjung, sekali gus mendapatkan pelbagai maklumat berkaitan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam majlis perasmian karnival oleh Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka (MITC), Ayer Keroh di sini baru-baru ini.

Menurutnya, penganjuran karnival itu juga dilihat sebagai medan bagi melahirkan modal insan yang peka terhadap pelbagai isu pendidikan serta berani menghadapi cabaran globalisasi.

Kata Md. Rashid, karnival yang pertama kali mendapat kerjasama daripada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi itu menyasarkan objektif utamanya iaitu melahirkan generasi yang mengamalkan budaya membaca serta bermaklumat, di samping menyemai semangat keusahawanan dalam kalangan pelajar.

Pelbagai aktiviti turut diadakan sepanjang karnival itu. Antaranya pertandingan kalam jamaee, deklamasi sajak, kawad kaki, tulisan jawi dan khat, mewarna serta seni silat, boria, dikir barat dan ceramah agama.

Kata Md. Rashid, kesemua aktiviti yang diadakan akan memberi pendedahan bukan hanya kepada pelajar sekolah yang terlibat, malah ibu bapa serta pengunjung tentang kepelbagaian maklumat terkini dalam dunia pendidikan.

"Penglibatan pelajar tanpa mengira kaum dalam aktiviti yang disediakan juga dapat menyemai dan memupuk semangat keusahawanan, setiakawan dan perpaduan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved