Isnin, 7 April 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Graduan lepasan Mara dibantu

Posted: 07 Apr 2014 12:29 PM PDT

Oleh SYAH HAIRIZAL KAMALUL ARIFN
utusanktn@gmail.com

Tugimon Abdul Hamid (empat kiri) melawat Pasar Tani Siswazah 2 anjuran Kolej Poly Tech Mara di Dewan Mat Kilau, Kuantan, semalam. - UTUSAN/SYAH HAIRIZAL KAMALUL ARIFIN

KUANTAN 7 April - Graduan lepasan institusi pengajian Majlis Amanah Rakyat (Mara) boleh memohon pinjaman tanpa syarat serta faedah untuk menceburkan diri dalam perniagaan di negeri ini.

Pengarah Bahagian Pembangunan Usahawan Mara Negeri Pahang, Tugimon Abdul Hamid berkata, pinjaman itu dilaksanakan awal tahun ini dengan menyasarkan sebanyak 100 peserta dengan jumlah pinjaman maksimum sebanyak RM10,000.

Menurutnya, langkah ini bertujuan melahirkan lebih ramai golongan usahawan bumiputera di negeri ini dan mencipta peluang pekerjaan baharu kepada penduduk setempat.

"Pinjaman itu diberikan kepada graduan yang telah mendaftarkan perniagaan dan mereka hanya akan membayar jumlah sama kepada Mara selama tiga tahun tanpa sebarang faedah dikenakan.

"Kelayakan lain bagi peserta adalah mereka perlu berumur lebih 18 tahun dan tidak melebihi 40 tahun," katanya selepas merasmikan Pasar Tani Siswazah anjuran Kolej Poly Tech Mara (KPTM) Kuantan di Dewan Mat Kilau di sini hari ini.

Sebanyak 20 peserta menyertai program itu sebagai pendedahan kepada penuntut KPTM Kuantan tentang dunia perniagaan serta cara berkomunikasi dengan masyarakat setempat.

Menurut Tugimon, selain bantuan pinjaman tersebut, mereka juga perlu berfikir dengan lebih kreatif dalam mewujudkan sesuatu produk dan meluaskan perniagaan.

"Banyak bidang intelektual yang masih belum diterokai dan dijadikan perniagaan seperti industri bioteknologi, pertanian dan banyak lagi.

Beliau berharap golongan itu perlu menggunakan ruang yang ada ini dengan mula berfikir sebagai seorang usahawan.

"Mereka perlu berfikir bahawa bukan hanya belajar untuk memenuhi keperluan sesebuah industri tetapi membangunkan sesuatu bidang perniagaan yang dapat memberi manfaat kepada umum, sekali gus mengurangkan kadar pengangguran," Ujarnya.

Projek herba 600 hektar di Kampung Chegar Perah

Posted: 07 Apr 2014 12:29 PM PDT

Sebahagian sukarelawan UMNO Bahagian Lipis bertahlil selepas membersihkan tanah perkuburan di Kampung Chegar Perah, Kuala Lipis, baru-baru ini. - UTUSAN/HARIS FADILAH AHMAD

KUALA LIPIS 7 April - Sebuah projek tanaman herba untuk tujuan pengkomersialan dan perubatan akan dimajukan di kawasan seluas 600 hektar di Kampung Chegar Perah di sini tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Lipis, Datuk Abdul Rahman Mohamad berkata, penduduk daerah ini perlu merebut peluang tersebut kerana industri herba dan aromatik mempunyai pasaran tinggi di dalam dan luar negara.

Menurut beliau, projek itu akan dilaksanakan secara berskala besar dan diselenggarakan oleh seorang pengusaha yang membantu dari segi kemahiran, sekali gus memberi pendapatan tambahan kepada pekebun kecil serta petani di daerah ini.

"Pengusaha berkenaan mempunyai pengalaman dan kepakaran tentang produk secara komersial di luar negeri dan berminat memilih lokasi kampung tersebut untuk projek herba komersial.

"Projek ini merupakan perintis tanaman herba bernilai tinggi antara usaha transformasi pembangunan sektor pertanian bagi meningkatkan pendapatan penduduk luar bandar," katanya kepada pemberita selepas program gotong-royong membersihkan tanah perkuburan di Kampung Chegar Perah di sini baru-baru ini.

Seramai 200 orang menyertai aktiviti itu yang merupakan Program Membara anjuran UMNO Bahagian Lipis dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long dan Ketua Kampung Chegar Perah, Rahimi Ismail.

Menurut beliau, projek berkenaan antara intipati pelan rancangan pembangunan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Padang Tengku dalam sektor pertanian bagi mewujudkan pusat pertumbuhan baharu di kampung tradisional kawasan itu.

Sehubungan itu katanya, Pejabat Parlimen Bahagian Lipis menerusi agensi Jabatan Pertanian mengalu-alukan langkah pengusaha berkenaan melabur dalam bidang tanaman herba untuk produk perubatan secara komersial.

RM9 juta tunggakan cukai pintu di Temerloh

Posted: 07 Apr 2014 12:29 PM PDT

TEMERLOH 7 April - Jumlah tunggakan cukai pintu yang belum dibayar kepada Majlis Perbandaran Temerloh (MPT) kini mencecah RM9 juta.

Yang Dipertua MPT, Datuk Syed Mohd. Nor Syed Jaafar berkata, jumlah itu merangkumi tunggakan cukai yang belum dibayar pemilik premis perniagaan dan kediaman dalam kawasan bandar ini sejak beberapa tahun lalu.

"Setakat ini, kami belum membuat sebarang tawaran kepada awam untuk mengutip semua cukai itu tetapi akan memberi lebih banyak penerangan kepada orang awam untuk tujuan itu.

"MPT bertegas dalam kutipan cukai tertunggak ini dan tidak menolak kemungkinan untuk mengambil tindakan guaman luar bagi menyelesaikan isu ini," katanya di sini baru-baru ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved