Isnin, 7 April 2014

Utusan Online - Dalam Negeri


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Dalam Negeri


Pendapatan pelaburan KWSP lebihi sasaran

Posted: 07 Apr 2014 02:26 AM PDT

KUALA LUMPUR 7 April - Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 mendapati prestasi pelaburan hartanah Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) pada tahun 2013 baik dan memperoleh pendapatan pelaburan melebihi sasaran.

Menurut laporan yang dibentangkan di Dewan Rakyat di sini hari ini, KWSP menerima RM1.14 bilion pendapatan pelaburan kasar bagi hartanah dan infrastruktur tahun lepas berbanding sasaran tahunan berjumlah RM930 juta, iaitu pencapaian sebanyak 122.5 peratus, selaras dengan peningkatan dalam pelaburan hartanah dan infrastruktur.

Pelaburan KWSP dalam sektor hartanah dan infrastruktur meningkat 10 peratus atau RM1.31 bilion kepada RM14.36 bilion pada 2013, berbanding RM13.05 bilion pada 2012.

Peningkatan ini disumbangkan oleh pertambahan pelaburan hartanah luar negara. di United Kingdom, Australia, Singapura dan Eropah. - BERNAMA

Sultan Selangor 'tegur' wakil rakyat

Posted: 07 Apr 2014 02:13 AM PDT

SHAH ALAM 7 April - Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini menitahkan semua wakil rakyat tidak berbalah antara satu sama lain, sebaliknya menumpukan kepada kebajikan dan kesejahteraan rakyat serta negeri ini.

Baginda bertitah, adalah tidak wajar sekiranya terdapat mana-mana wakil rakyat atau kakitangan awam cuba merosakkan perjalanan pentadbiran kerajaan negeri.

"Beta berharap pentadbiran kerajaan negeri sekarang dapat memberi tumpuan kepada kebajikan rakyat di negeri ini yang berjumlah lebih 5.5 juta orang.

"Beta juga mahu ahli-ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri, wakil-wakil rakyat, penjawat awam, semua pemimpin masyarakat, sektor korporat dan swasta bekerjasama untuk melaksanakan dasar-dasar serta program-program pembangunan bagi meningkatkan kualiti hidup rakyat dan memacu pembangunan negeri," titah baginda.

Baginda bertitah demikian ketika berucap dalam majlis perasmian pembukaan mesyuarat pertama penggal kedua Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Ke-13 di sini hari ini. - UTUSAN ONLINE

Fasa pertama pembinaan 400 menara telekomunikasi akan dimulakan

Posted: 07 Apr 2014 01:59 AM PDT

KUALA TERENGGANU 7 April - Kerajaan akan memulakan pembinaan 400 menara telekomunikasi di seluruh negara di bawah fasa pertama yang melibatkan perbelanjaan kira-kira RM500 juta bagi mempertingkatkan lagi kadar penembusan jalur lebar.

Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari berkata, pembinaan menara itu adalah sebahagian daripada 1,000 menara seumpama itu yang disasarkan pembinaannya dengan kos keseluruhan RM1.5 bilion.

Beliau memberitahu, kesemua 1,000 menara itu dibina membabitkan tiga fasa dan dijangka siap sepenuhnya dalam tempoh tiga tahun.

``Bagi fasa pertama, 39 daripadanya akan dibina di Terengganu melibatkan kos RM58.5 juta. Cadangan pembinaan 1,000 menara telekomunikasi di negara ini diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada pembentangan bajet lalu,'' ujarnya.

Beliau berkata demikian selepas majlis perasmian projek perintis Terengganu Open WiFi di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di sini semalam yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Said.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved