Isnin, 7 April 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


'Tan Sri' hadapi 75 tuduhan

Posted: 07 Apr 2014 12:28 PM PDT

Oleh Farabi Sheikh Said al Jabri
pengarang@utusan.com.my

Anggota polis membawa Ibrahim Saidon yang berkerusi roda ke Mahkamah Sesyen, Seremban 2, Negeri Sembilan, semalam. - UTUSAN/ASWAD YAHYA

SEREMBAN 7 April - Seorang warga emas yang mendakwa dirinya Tan Sri dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Seremban dekat sini selepas menghadapi 75 pertuduhan menipu seorang ahli perniagaan membabitkan kerugian berjumlah RM208,900, tiga tahun lalu.

Tertuduh, Ibrahim Saidun, 60, yang berkerusi roda mengangguk faham dan mengaku tidak bersalah bagi semua pertuduhan tersebut yang dibacakan di hadapan Hakim Datuk Jagjit Singh Bant Singh.

Mengikut pertuduhan, Ibrahim yang merupakan pengarah urusan sebuah syarikat swasta didakwa menipu Rusman Sulaiman, 51, de-ngan memperdaya lelaki itu bahawa tertuduh adalah Ketua Pengarah Unit Strategik di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan berpangkat Tan Sri.

Tertuduh mendakwa dapat membantu mangsa menjadi calon Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Menanti, Kuala Pilah bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) pada Mei tahun lalu.

Perbuatan tersebut mendorong mangsa menyerahkan wang yang dimasukkan ke dalam akaun bank tertuduh untuk membeli tiket penerbangan dan bil penginapan hotel yang kesemuanya berjumlah RM208,900 antara tahun 2011 dan 2012.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Abu Hasan Tamli mengemukakan pendakwaan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun dan denda, jika sabit kesalahan.

Muhamad Abu Hasan memohon mahkamah mengenakan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap pertuduhan tersebut dengan alasan ia melibatkan nilai kerugian yang besar.

Ibrahim yang tidak diwakili peguam bagaimanapun merayu jumlah jaminan dikurangkan selain meminta dia dikembalikan ke wad hospital dengan alasan sakit dan tidak boleh berjalan.

Jagjit membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM300,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin.

Beliau menetapkan 7 Mei depan bagi tarikh sebutan semula untuk pihak pendakwaan mengemukakan dokumen-dokumen selain memberi peluang kepada tertuduh melantik peguam bela.

Hina Islam: Kassim Ahmad dibicara 6 Mei

Posted: 07 Apr 2014 12:29 PM PDT

Kassim Ahmad

PUTRAJAYA 7 April - Mahkamah Tinggi Syariah di sini menetapkan 6 dan 7 Mei depan, perbicaraan terhadap bekas aktivis politik dan sosial, Dr. Kassim Ahmad atas dua tuduhan iaitu menghina agama Islam dan mengingkari pihak berkuasa agama dalam sebuah seminar pada Februari lalu.

Hakim Syarie, Azzeman Omar menetapkan tarikh tersebut ketika sebutan semula kes itu hari ini.

Ketua Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi), Ibrahim Deris memberitahu, pihaknya akan memanggil lebih daripada 10 saksi pendakwaan pada perbicaraan tersebut.

Ketika ditanya pemberita di luar mahkamah sama ada pendakwa akan memanggil Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai saksi, beliau menyatakan setakat ini pihaknya belum merekod keterangan bekas Perdana Menteri itu.

Ibrahim turut memaklumkan bahawa pihak pendakwaan belum me-nerima wakalah pelantikan peguam syarie, Akbardin Abdul Kader yang bakal mewakili Kassim.

Bagaimanapun, Kassim memberitahu mahkamah, wakil kepada peguam Akbardin, Ummi Kartini Abd. Latiff hadir pada prosiding hari ini.

Kassim, 81, mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan yang didakwa dilakukan dalam Seminar Pemikiran Kassim Ahmad: Suatu Penilaian 'Hala Tuju Bangsa dan Negara Malaysia Untuk 30 Tahun Akan Datang'.

Seminar tersebut diadakan di Yayasan Kepimpinan Perdana, No. 1, Jalan PBH, Presint 8 di sini antara pukul 9 pagi dan 5 petang, 16 Februari lalu.

Bagi pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menghina agama Islam ketika membentangkan satu skrip ucapan yang bertajuk 'Ucapan Kepada Konferensi Politik Nasional Untuk Menentukan Hala Tuju Malaysia Untuk 30 tahun Akan Datang' dengan mengatakan Nabi Muhammad tidak perlu dimuliakan dan rambut wanita bukan aurat.

Pada masa yang sama, Kassim turut didakwa mengingkari pihak berkuasa agama dengan memetik dua buku tulisannya yang telah diharamkan oleh Fatwa Wilayah-Wilayah Persekutuan iaitu 'Hadis Suatu Penilaian Semula' dan 'Hadis Jawapan Kepada Pengkritik'.

Pertuduhan pertama dibuat mengikut Seksyen 7(B) dan pertuduhan kedua, Seksyen 9, masing-masing di bawah Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun atau denda maksimum sehingga RM3,000 atau kedua-duanya.

Kassim yang mencetuskan kontroversi berhubung kenyataannya berunsur anti hadis baru-baru ini, ditahan penguat kuasa Jawi dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) di rumahnya, di Taman Kulim Perdana, Kelab Golf Kulim, Kedah pada 26 Mac lalu.

Polemik mengenainya tercetus selepas Kassim dalam seminar itu mengeluarkan kenyataan mendakwa Islam di negara ini diseleweng selain mengkritik sistem ulama Islam yang disamakan dengan 'kasta paderi'.

Ekoran kenyataan berkenaan, pelbagai pihak mengecam Kassim sehingga menyebabkan Jakim dan Jawi menahannya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved