Khamis, 24 April 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Substesen GIS perkukuh sistem grid

Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT

Oleh Johardy Ibrahim

Rozimi Remeli

ORANG ramai yang lalu lalang di Kampung Pandan Dalam, Kuala Lumpur pasti tidak terlepas pandang bangunan Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang besar bagaikan gudang.

Bangunan yang besar ini sebenarnya merupakan Pencawang Masuk Utama (PMU) berjenis Gas Insulated Switchgear (GIS) yang menyalurkan bekalan elektrik pada voltan 275 kilovolt(kV) dan 132kV bagi mengukuhkan sistem grid nasional.

Di Seksyen 8, Shah Alam menghala ke Taman Botani Negara, Shah Alam, terdapat PMU yang dibina di kawasan terbuka berjenis Air Insulated Switchgear (AIS).

Tahukah anda kos membina pencawang GIS menelan belanja kira-kira RM116 juta dan pencawang AIS bernilai RM60 juta?

Bagi orang awam seperti kita, mungkin meneka bahawa bangunan besar TNB seperti di Kampung Pandan Dalam itu dihuni ramai kakitangan. Tidak semestinya. Bangunan ini adalah pencawang penghantaran elektrik yang lengkap dengan segala pepasangan elektrik seperti alatubah voltan dan kabel.

Keputusan untuk membina sama ada PMU AIS yang terbuka atau pun PMU GIS yang berupa bangunan dibuat berdasarkan kriteria membabitkan keperluan kapasiti di kawasan tersebut, kewujudan tapak sesuai dan juga keselamatan.

Pelaburan sebegini dilaksanakan TNB secara terancang, mengikut unjuran permintaan terhadap keperluan pengguna dan termasuk dalam program penyediaan infrastruktur baharu, penyelenggaraan dan perbelanjaan modal (capex) setiap tahun yang bernilai sekurang-kurangnya RM7 bilion untuk memastikan bekalan tenaga elektrik yang cukup dan berkekalan.

Kewajaran patut dibuat memandangkan jumlah tersebut jelas lebih tinggi berbanding keuntungan syarikat utiliti itu sebanyak RM4.6 bilion bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2013.

Daripada RM7 bilion, TNB melabur kira-kira RM3.5 bilion hingga RM4 bilion setiap tahun untuk memenuhi keperluan bekalan baharu dan peningkatan sistem bagi rangkaian pembahagian, dan pelbagai saluran penyambungannya.

TNB juga melabur antara RM2 bilion dan RM2.5 bilion setiap tahun untuk meningkatkan rangkaian penghantaran dan pembangunan infrastruktur yang lengkap.

Sebagai syarikat yang memiliki aset RM99 bilion, keuntungan itu boleh dianggap minima memandangkan TNB hanya membuat keuntungan sebanyak RM4.6 bilion, berbanding konglomerat lain, yang untung sekurang-kurangnya separuh daripada nilai aset mereka.

Pelaburan seumpamanya termasuk dalam teknologi terbaru seperti self healing system adalah mahal dan perlu dilakukan, bagi mengurangkan bekalan elektrik terputus (blackout) dan memenuhi permintaan semakin tinggi di kawasan pertumbuhan baharu.

Perbelanjaan modal sebanyak RM1 bilion disediakan untuk projek pembangunan infrastruktur penghantaran elektrik di Nusajaya, Johor.

Malaysia bersaing dengan negara-negara membangun lain untuk menarik pelaburan asing baharu, terutamanya dalam industri berteknologi tinggi. Satu daripada kelebihan terbesar di Malaysia adalah prasarananya yang maju.

Tiada pelabur akan datang melabur ke Malaysia jika mereka mengalami blackout setiap hari. Kami (TNB) melabur dalam teknologi baharu seperti sistem pembaikan sendiri, alat-alat berteknologi tinggi dan sistem kawalan canggih, kata Naib Presiden (Penghantaran) TNB, Datuk Rozimi Remeli dalam taklimat tertutup baru-baru ini.

Daripada sejumlah RM8.48 bilion yang telah diperuntukkan dari tahun 2014 hingga 2017, sebanyak 93 peratus diperuntukkan untuk projek pembangunan, dan hanya 6 peratus untuk penyenggaraan aset dan satu peratus untuk pembelian pukal tenaga.

TNB akan membelanjakan sebanyak RM1.72 bilion dalam tahun kewangan semasa berakhir 31 Ogos 2014, bagi menambah baik prasarana penghantaran bekalan elektrik dan membayar bagi penyenggaraan peralatan bervoltan tinggi.

TNB telah mengemukakan pelan pelaburan kepada Suruhanjaya Tenaga. Sebanyak 20 projek utama untuk rangkaian Penghantaran di Semenanjung Malaysia akan mewakili RM3.97 bilion atau 46 peratus daripada dana yang diperuntukkan sehingga 2017, kata Rozimi.

TNB memiliki tiga teras perniagaan iaitu penjanaan, penghantaran dan pembahagian tenaga elektrik.

Bahagian penghantaran berperanan mengurus dan mengendalikan rangkaian 132 kV, 275kV dan 500kV iaitu sebahagian daripada grid nasional.

Antara projek utama di rangkaian penghantaran TNB sehingga tahun 2017 ialah pembinaan empat rangkaian 500kV iaitu Yong Peng ke Lenggeng di Perak bernilai RM803.40 juta; Ayer Tawar ke Tapah (RM695.76 juta); Tapah ke Bentong (RM387.20 juta) dan Bentong ke Lenggeng (RM233.34 juta).

Purata pertumbuhan permintaan terhadap bekalan elektrik dari 2014 hingga 2018 diunjurkan sebanyak 3.31 peratus. Pada 2013, permintaan elektrik ialah sebanyak 16,562MW dan dijangka mencecah 18,880MW pada 2017.

Panjang talian penghantaran dijangka tumbuh 5.6 peratus kepada 22,281 circuit kilometer (cct-km) pada 2017 daripada 21,092 cct-km, manakala bilangan pencawang dijangka bertambah kepada 464 pada 2017 daripada 404 pada 2013," kata Rozimi.

Grid nasional negara ini bersambung dengan sistem penghantaran elektrik Thailand dan di Senoko, Singapura. Pada masa ini, TNB giat menyambungkan Lembah Klang dengan Johor yang apabila siap, bakal menjadikan Malaysia berupaya membekalkan tenaga kepada rantau ASEAN sebelum 2020.

Menurut Rozimi, kabel elektrik adalah mahal iaitu boleh mencecah sehingga RM7 juta setiap kilometer manakala pencawang penghantaran adalah antara RM60 juta hingga RM116 juta untuk dibina.

TNB juga melabur dalam konduktor berkapasiti tinggi dan rendah risiko kehilangan tenaga, yang berpotensi mengurangkan kehilangan tenaga sebanyak 20 peratus semasa penghantaran elektrik. Namun, kosnya adalah 1.5 ganda lebih mahal berbanding konduktor yang digunakan sekarang.

Kos yang tinggi itu ditampan menerusi penjimatan dalam kehilangan penghantaran tenaga, dianggarkan RM2,258 setiap jam, bersamaan dengan RM593 juta dalam tempoh 30 tahun jangka hayat konduktor itu digunakan.

TNB juga telah melabur dalam sistem kawalan canggih di National Load Dispatch Centre (NLDC) yang disiap dibina pada 2009, dan dilengkapi dengan teknologi terkini yang membolehkan sekumpulan kakitangan mengendali dan memantau bekalan tenaga seluruh negara.

Keadaan muka bumi Malaysia, yang terdedah kepada kejadian kilat juga mendorong TNB untuk melabur lebih banyak dalam sistem perlindungan aset-asetnya, dipanggil self healing system iaitu grid dipasang sistem automatik menggunakan pengimbas canggih dan komputer, sistem komunikasi dan perlindungan yang membendung kemungkinan bekalan elektrik terputus berskala besar.

Kegagalan dakwah melalui drama

Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT

SAMPAH, jelik dan celaru. Itulah beberapa penilaian yang boleh dibuat terhadap nilai yang terhasil daripada beberapa siri drama tayangan petang setiap hari di kaca televisyen tempatan.

Dari aspek komersial, drama-drama tersebut mampu meningkatkan populariti sesebuah stesen televisyen, tetapi dari nilai budaya dan agama, terasa begitu mendukacitakan.

Tentunya ketika tayangan siri Bukan Kerana Aku Tak Cinta, adaptasi novel membuktikan betapa rendahnya moral dalam kehidupan masyarakat sekarang, kesemuanya kerana kesepaduan nilai agama begitu bercelaru. Sebelumnya, siri drama juga adaptasi novel popular Aku Isterinya mendapat sambutan menggalakkan.

Kini, drama bersiri berasaskan novel popular cukup berjaya memancing minat penonton, sayangnya hanya tertumpu kepada corak hidup yang tidak membawa kepada nilai kekeluargaan dan keagamaan.

Adaptasi novel dipenuhi dengan nilai dan konflik daripada masalah rumah tangga, perebutan cinta, dendam, perebutan harta, cinta yang terkandas, penipuan dan sebagainya. Semua nilai ini tidak membantu mengatasi kemelut budaya dalam masyarakat, yang semakin hari semakin parah dengan penceraian, masalah sosial, keruntuhan akhlak, kematian tragis, kecondongan politik berpuak-puak dan saling `membunuh, keserakahan akal budi dan jika diselitkan dengan nilai-nilai agama, ianya banyak tertumpu kepada konflik berpoligami.

Melihat perkembangan tersebut, tentunya mempamerkan gaya hidup masyarakat Malaysia kerana hasil seni dan kreativiti itu cerminan kehidupan, walaupun setiapnya membuat penafian tidak ada kaitan dengan sesiapa, sama ada yang masih hidup atau sudah meninggal. Ia adalah rekaan. Maksudnya, drama tersebut bukan kisah sebenar, tetapi jalur yang ditonjolkan tetap mempunyai hubungannya dengan apa yang telah dan sedang berlaku dalam masyarakat.

Bagaimanapun, akhir-akhir ini masyarakat kembali memperkatakan atas dasar seni, ia tidak wajar disekat kreativiti walaupun ada ketikanya gambaran watak tidak munasabah dan keterlaluan, seolah-olah terbatas nilai kemanusiaan dan keinsanan pelakonnya.

Cerita lebih memfokuskan kepada kekuatan watak, bukannya kepada kekuatan mesej walaupun drama ataupun sastera bertujuan menyemai nilai moral dan pemikiran positif kepada khalayak secara bersahaja, bermakna dan natural.

Sepatutnya, drama itu mampu memangkas dengan baik nilai agama dan menghormatinya sebagai sesuatu yang suci dan wajib dipertahankan. Atas dasar dan keinginan komersial, drama itu diselit dengan kisah cinta meskipun tidak sebebas drama-drama lain yang membabitkan adegan di kelab malam, bersekedudukan dan pergaulan bebas.

Sampai bilakah kita perlu menunggu untuk melihat lahirnya filem-filem hebat seperti Habibie dan Ainun (kisah kasih sayang sejati bekas Presiden Indonesia), Di bawah Lindungan Kaabah, Perempuan Berkalung Noda, Sang Pencerah atau The Peddler (Father) yang membawa anugerah antarabangsa kepada penggiat filem Iran dan medium itu adalah satu saluran dakwah yang berkesan kerana nilai agama diterapkan secara halus, bersahaja dan menepati fitrah.

Penerbit filem atau production house di Malaysia tidak memberikan perhatian besar kepada penerbitan filem atau drama yang berasaskan nilai-nilai murni Islam, mungkin khuatir tidak mampu meraih hasil yang baik atau tidak laku di pasaran. Apatah lagi filem-filem dengan nilai kehidupan yang rendah, mampu meraih keuntungan yang besar misalnya Ombak Rindu.

Penulis memahami masalah sekarang bukan semata-mata masalah media atau stesen penyiaran, tetapi masalahnya ialah tidak ada tenaga manusia yang berkemampuan untuk menyediakan rancangan-rancangan yang dikehendaki. Yang dimaksudkan dengan tenaga manusia dalam penerbitan drama ialah penulis skrip, pelakon, pengarah dan penerbit.

Kejayaan penghasilan sesebuah drama itu tidak bergantung semata-mata kepada skrip kerana ada unsur-unsur lain yang berperanan seperti pelakon, pengarah, gerak kerja kamera dan lain-lain.

Meskipun ada beberapa drama atau filem yang baik, sayang sekali di luar layar perak kehidupan sesetengah pelakonnya lupa diri, bercakaran sesama sendiri kerana berebut kekasih, hidup mewah dan mempamerkan sikap sombong, berebut memancing duda kaya atau hartawan, menganjurkan majlis kahwin yang mewah dan lebih jelik lagi memuat naik kata-kata kesat menyindir, mabuk gambar sendiri (selfie), berdua-duaan dengan pasangan bukan muhrim, berpakaian seksi di tepi pantai ketika bercanda dan sebagainya.

Bukan salah kalau seorang pendakwah turut menjadi hero dalam filem atau drama, tentunya ketinggian pendidikan agama boleh diterjemahkan dalam lakonan yang bersahaja dan terampil. Ia bukan sekadar kehadiran sebagai watak kecil yang memainkan peranan terhad, sekadar menguruskan jenazah, mengimamkan sembahyang berjemaah dan menjadi juru nikah.

Banyak lagi aspek yang wajar ditonjolkan misalnya, membingkaikan nilai-nilai agama ke dalam gerak kerja seharian. Kehadiran tokoh agama bukan dalam adegan yang bersifat khutbah atau mengajar secara langsung, ia perlulah ditampilkan secara natural sebagaimana prinsip Islam itu benar-benar membawa maksud `cara hidup.

Apa yang digarap di TV kita banyak menyentuh perkara-perkara remeh dan mempunyai gesaan yang keterlaluan. Kadang-kadang diselit pula hukum-hukum yang berbentuk negatif dan menakutkan. Slot seperti ini dapat diperhatikan ketika memperingati hari-hari penting dalam kalendar Islam dan disiarkan oleh stesen-stesen TV.

Pendekatan yang berbentuk psikologi dengan isu-isu yang menggembirakan kurang sekali ditekankan. Sedangkan dakwah seharusnya dilihat sebagai tumpuan yang menghiburkan selaras dengan ajaran silam dan persekitaran masyarakat.

Kita tidak mahu drama atau filem berunsur Islam hanya sekadar bermusim dan tempelan sehingga menampakkan perjalanan ceritanya tidak relevan dengan tuntutan Islam secara menyeluruh dan mendalam.

Mungkin kita boleh mencontohi kejayaan filem-filem biografi tokoh sehingga menampakkan realiti kehidupan sebenar watak, misalnya ketelitian David Attenborough menterjemahkan Mahatma Ghandi, seorang yang amat menekankan prinsip perjuangan tanpa keganasan meskipun akhirnya beliau sendiri terbunuh.

PENULIS ialah Pengurus Besar Analisa dan Pengurusan Isu Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim)

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved