Khamis, 24 April 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Pembangunan kekalkan ciri-ciri tradisi, kebudayaan Melayu

Posted: 23 Apr 2014 11:57 AM PDT

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru (PITPKB) 2020 bakal membangunkan Kampung Baru sebagai model baharu penempatan moden orang Melayu di tengah-tengah ibu negara.

KUALA LUMPUR 23 April - Dikenali dengan imej sebagai kampung di tengah-tengah kesibukan ibu negara, Kampung Baru di sini pasti akan berubah wajah sekiranya Pelan Induk Terperinci Pembangunan Kampung Baru (PITPKB 2020) dapat direalisasikan bagi memajukan penempatan orang Melayu itu.

Berdasarkan perancangan yang digariskan PITPKB 2020, hampir 39 buah projek akan dibangunkan dengan setiap projek menelan kos pembinaan antara RM200 juta hingga RM300 juta.

Sebagai salah satu perkampungan Melayu yang masih kekal di Kuala Lumpur, PITPKB 2020 telah digubal oleh Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) dengan mengambil kira pelbagai elemen terutama sekali mengekalkan ciri-ciri tradisi dan kekampungan kawasan itu namun dalam masa yang sama memodenkannya.

PKB ditubuhkan pada 2011 untuk memaju, menyelaras dan menyelia pembangunan Kampung Baru yang seluas 121.7 hektar.

Mengikut pelan tersebut, Kampung Baru akan dibangunkan dengan sebagai sebuah ruang bandar moden bercirikan Melayu-Islam dengan penekanan kepada aspek kebudayaan dan warisan.

Dengan kata lain, kemodenan akan menjadi tema kepada pembangunan Kampung Baru tetapi pada hakikatnya, ciri-ciri kampung tetap akan dikekalkan.

Ini termasuklah pengekalan unit-unit kediaman unik bercirikan seni bina rumah Melayu yang akan ditempatkan semula sebagai ruang perniagaan, inap desa, kedai-kedai berkonsepkan butik, pusat informasi pelancongan dan sebagainya.

GAMBARAN artis mengenai Pusat Kebudayaan dan Pengajian Islam yang akan dibina di Kampung Baru, Kuala Lumpur.

Bangunan-bangunan warisan dan unik seperti Masjid Pakistan, Kelab Sultan Sulaiman dan Gurdwara Sahib akan diberi perhatian.

Turut dikekalkan adalah nama-nama jalan yang mempunyai nilai sejarah seperti Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Jalan Raja Muda Musa dan Jalan Haji Yaakob.

Salah satu cadangan PITPKB 2020 adalah konsep Menghijaukan Kampung Baru yang akan menjadi agenda utama dalam perancangan pembangunannya. Ia bakal menyaksikan pembentukan 15 peratus kawasan lapang di atas tanah, 15 peratus lagi di atas bumbung dan penanaman 10,000 pokok-pokok yang mewujudkan suasana segar.

Selain itu, sebuah tasik rekreasi berkeluasan 6.9 hektar akan dibina sekali gus menyelamatkan semula pengaliran air Sungai Bunos.

Orang ramai pasti akan terpikat dan mengagumi usaha-usaha bagi memberikan wajah baharu kepada Kampung Baru termasuk mengekalkan tradisi penduduk antaranya amalan memasak bubur lambuk di Masjid Jamek Kampung Baru.

Terdapat tujuh peringkat pelaksanaan PITPKB 2020 yang perlu dijayakan terlebih dahulu sebelum sebarang pembangunan dapat dimulakan.

Ia melibatkan program turun padang, penyediaan draf, hari terbuka dan sesi maklum balas pemilik atau pewaris tanah, penambahbaikan, memuktamad, menerima pakai dan pelaksanaan PITPKB 2020.

Mengikut rancangan, ia akan bermula pada tahun hadapan yang melibatkan empat fasa projek pembangunan yang mengambil masa selama 20 tahun untuk disiapkan iaitu pada tahun 2035.

Sehubungan itu, pemilik dan pewaris tanah di Kampung Baru dijemput meneliti draf PITPKB 2020 di pejabat PKB di Rumah Rohas, Jalan Raja Abdullah, di sini.

Mereka boleh mengemukan sebarang cadangan bagi tujuan pembangunan itu sehingga hujung bulan Mei ini.

Isu pemilikan tanah perlu diselesaikan segera

Posted: 23 Apr 2014 11:57 AM PDT

Dua pemilik tanah melihat pelan pembangunan Kampung Baru di Ibu Pejabat PKB di Kuala Lumpur, baru-baru ini. - UTUSAN/MD.SHAHJEHAN MAAMIN

KUALA LUMPUR 23 April - Hartanah di Kampung Baru akan bernilai tinggi sekiranya dibangunkan secara penyatuan lot bagi membolehkan projek komersial berskala besar dijalankan di kawasan itu.

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB), Datuk Astaman Abdul Aziz menjelaskan, harga tanah akan meningkat jika terdapat prospek dan corak pembangunan di tanah tersebut selain tiada kemelut pemilikan hak tanah.

Pelabur dan pemaju akan lebih berminat untuk melabur sekiranya telah tersedia lot-lot sekurang-kurangnya 30,000 kaki persegi atau tanah yang luas bagi menjayakan pembangunan bersifat ikonik.

Mereka tidak akan membangunkan mana-mana tanah yang bersaiz kecil, tidak strategik dan bermasalah.

Jika kita selesaikan dahulu soal pemilikan tanah dan kesemuanya dapat disatukan, maka dengan sendirinya berlaku kenaikan pada nilai tanah.

Ini kerana ada sebuah lot tanah yang dimiliki oleh lebih daripada 200 individu," katanya di sini, baru-baru ini.

Beliau mengulas permintaan pemilik dan waris tanah di Kampung Baru supaya aset mereka itu dapat ditawarkan pada harga yang tinggi sehingga mencecah RM4,000 bagi setiap kaki persegi sebelum dimajukan oleh pemaju dengan projek Pembangunan Kampung Baru 2020.

Astaman berkata, kekangan utama bagi penduduk Kampung Baru adalah untuk menjual tanah kerana aset tersebut merupakan tanah kurnia dan hak milik kekal.

Bagaimanapun, jelasnya, jika para pemilik tanah bersetuju untuk lot mereka disatukan, PKB akan bertindak sebagai Badan Pendaftar yang bertanggungjawab menjaga hak untuk membangunkannya bagi pihak mereka.

Katanya, PKB tidak menetapkan secara khusus sebarang nilai atau harga asas tanah (kosong) milik penduduk Kampung Baru kerana pada amnya nilai mana-mana lokasi di bandar raya Kuala Lumpur ialah RM500 bagi satu kaki persegi.

Ini dapat dilihat pada pembinaan bangunan KLCC milik Petronas yang dibangunkan pada nilai RM400 bagi satu kaki persegi.

Bagaimanapun, setelah dibangunkan, nilai hartanah di antara pusat komersial utama di Kuala Lumpur itu telah mencecah sehingga RM2,000.

Pada asalnya tapak KLCC itu hanyalah tempat lumba kuda, jika tidak dibangunkan untuk sebarang pembangunan sehingga sekarang harga atau nilai tanah di situ hanyalah RM400 bagi satu kaki persegi," jelasnya.

Astaman memberitahu, dengan keluasan 121.96 hektar atau 1,335 lot yang dimiliki 5,300 pemilik tanah berdaftar, adalah sukar untuk menetapkan nilai tanah secara sama rata di Kampung Baru.

Sudah tentu tanah yang terletak berhampiran Jalan Sultan Sulaiman lebih tinggi nilainya berbanding lokasi yang agak ceruk di Kampung Baru," katanya.

Pastikan pembangunan tidak ragut hak orang Melayu

Posted: 23 Apr 2014 11:57 AM PDT

Kiri umrah Kassim, Zulkifly

KUALA LUMPUR 23 April - Pemilik tanah di Kampung Baru menyambut baik hasrat membangunkan kawasan itu, namun mahu pemilikan tanah dan warisan orang Melayu dikekalkan.

Seorang warga emas, Umrah Kassim, 81, mahu melihat Kampung Baru dibangunkan supaya ia menjadi mercu tanda kepada penempatan orang Melayu di tengah-tengah kemajuan ibu negara.

Saya sudah tua dan tiada apa yang boleh ditinggalkan untuk anak cucu kecuali tapak rumah dan tanah di Jalan Raja Abdullah.

Justeru, bangunkanlah tapak tersebut mengikut apa yang dirasakan sesuai tetapi manfaatnya mestilah dirasai oleh anak cucu saya," katanya selepas melihat pelan pembangunan kawasan itu di Ibu Pejabat Perbadanan Pembangunan Kampung Baru (PKB) di Rumah Rohas, Jalan Raja Abdullah di sini, baru-baru ini.

Sementara itu, seorang pewaris tanah di Kampung Baru, Zulkifly Razali 49, berkata, pada dasarnya dia bersetuju untuk memberikan kerjasama kepada PKB bagi membangunkan tanah miliknya seluas 10,000 kaki persegi di kampung itu.

Bagaimanapun, tanah saya terletak bersebelahan pejabat sebuah syarikat permotoran dan sudah tentu akan timbul isu untuk menyatukan lot kedua-dua tanah tersebut. Saya tidak pasti sama ada syarikat tersebut mahu mengosongkan tanahnya untuk dibangunkan," katanya.

Seorang pengusaha syarikat penyediaan makanan, Nazwan Mohd. Saaie, 62, berkata, dia bersedia untuk membenarkan tanah miliknya seluas 10,000 kaki persegi Jalan Raja Alang dimajukan dalam usaha mengubah landskap Kampung Baru.

Saya harap pembangunan itu nanti tidak akan menghilangkan hak milik dan identiti warisan orang Melayu di kawasan ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved