Khamis, 24 April 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Tujuh keldai dadah dijel 12 tahun sebatan 15 kali

Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT

TUJUH warganegara Iran dihukum penjara 12 tahun dan sebatan 15 kali atas kesalahan memiliki dadah di Mahkamah Tinggi, Shah Alam, semalam. - UTUSAN/Mohd. Shaharani Saib

SHAH ALAM 24 April - Tujuh keldai dadah warga Iran yang nekad menelan keseluruhan 572 kapsul mengandungi dadah jenis methamphetamine ke dalam badan mereka dihukum penjara 12 tahun dan sebatan 15 kali oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.

Hakim Datuk Ghazali Cha menjatuhkan hukuman tersebut terhadap kesemua mereka yang mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan memiliki keseluruhan 3,018 gram dadah tersebut.

Tertuduh-tertuduh ialah Ebrahim Sattari Norouz, Mohammad Pakdel Hamzah, Ahmad Ahmadi, Ghader Shahmehrmo Sayyeb, Vahed Khezri Ali, Farhad Saberi dan Mehdi Behrouzi yang berusia antara 26 dan 43 tahun.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu di tandas Hospital Serdang dan tandas Hospital Kajang antara 24 dan 28 September 2010.

Pertuduhan pilihan ke atas mereka dibuat mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan dihukum di bawah Seksyen 39A(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara seumur hidup dan sebatan sekurang-kurangnya 10 kali.

Sebelum ini mereka didakwa mengedar dadah yang sama di bawah Seksyen 39B yang membawa hukuman mati mandatori, jika sabit kesalahan.

Terdahulu, peguam S. Silas yang mewakili Ebrahim Sattari memohon semua yang berada di dalam mahkamah bertafakur selama seminit bagi menghormati mendiang peguam Karpal Singh yang mewakili tertuduh ketiga, Ahmad.

Hakim Ghazali membenarkan permohonan itu.

Peguam lain yang mewakili tertuduh-tertuduh ialah Saladin Mohd. Yasin, L.A. Gomez, C.W. Chan, Imran Hadzalie Abdul Hamid dan Datuk N. Sivananthan.

Dalam rayuan meringankan hukuman, peguam-peguam menyatakan anak guam mereka menjadi mangsa pengedar dadah dan dipergunakan sebagai keldai dadah untuk membawa bahan terlarang itu memasuki negara ini.

Timbalan Pendakwa Raya, Siti Noorbaya Jamil pula memohon hukuman berat dikenakan memandangkan negara ini menganggap dadah sebagai musuh nombor satu yang perlu ditangani dengan serius.

'Tuhan Harun' mohon gugur semua tuduhan

Posted: 24 Apr 2014 11:50 AM PDT

KUANTAN 24 April - Ketua kumpulan ajaran sesat Tuhan Harun, Harun Mat Saat mengemukakan representasi kepada pihak pendakwaan bagi menggugurkan semua 10 pertuduhan dihadapinya di Mahkamah Rendah Syariah di sini atas alasan masalah kesihatan.

Surat representasi itu dikemukakan oleh Harun, 48, melalui peguam syarie, Abdullah Sidek yang mewakilinya.

Pada prosiding di hadapan Hakim Syarie, Abdul Wahid Md. Ali Al-Fakwie hari ini, Pendakwa Syarie Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), Mohd. Fahmi Abd. Jalil berkata, pihaknya menerima dokumen representasi itu pada 21 April lalu dan memerlukan masa untuk meneliti laporan tersebut.

Katanya, pihaknya juga harus meneliti sama ada benar tertuduh telah hilang upaya atas masalah kesihatan dialaminya.

Harun kini menggunakan kerusi roda akibat diserang angin ahmar selepas diberkas oleh pihak polis hujung tahun lalu.

Berikutan itu, Abdul Wahid menetapkan 22 Julai ini sebutan semula kes terhadap Harun bersama enam lagi pengikutnya bagi memberi peluang kepada pihak pendakwaan membuat keputusan berhubung permohonan itu.

Pada 24 April tahun lalu, Harun mengaku tidak bersalah terhadap kesemua 10 pertuduhan iaitu menghina agama Islam dengan mengaku diri sebagai Tuhan 2013, menyebarkan ajaran sesat Tuhan Harun atau Tuhan 2013 dan mencetak, menerbit serta menyimpan dokumen berkaitan ajaran tersebut.

Sementara itu, Abdul Wahid turut menangguhkan kes melibatkan tiga pengikut Harun iaitu Husin Ismail, 44, Mohd. Khalilie Zazali, 32, dan Mohd. Nizam Mohd. Salleh, 44, pada tarikh yang sama bagi membolehkan mereka memfailkan wakalah (pelantikan peguam oleh Mahkamah Syariah).

Ketiga-tiga tertuduh didakwa memiliki dan menyimpan dokumen yang bertentangan hukum syarak di premis B16-1st, Lorong Pandan Damai 2/201 di sini pada pukul 6.50 petang pada 4 April tahun lalu.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 165, Enakmen Pentadbiran Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang 1982 yang memperuntukkan hukuman denda RM2,000 atau penjara satu tahun atau kedua-duanya.

Ketiga-tiga mereka mengaku tidak bersalah atas pertuduhan tersebut.

Abdul Wahid turut membenarkan waran tangkap terhadap tiga lagi pengikut ajaran sesat itu yang menghadapi pertuduhan sama iaitu Pius Anahong@Mahdi Abdullah, Syahiszam Soid dan Mohd. Shahril Mohd. Jaafar dilanjutkan kerana gagal hadir ke mahkamah buat kali ketiga hari ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved