Ahad, 13 April 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Tingkatkan mutu pengangkutan awam

Posted: 12 Apr 2014 11:46 AM PDT

Oleh MOHAMAD FAIZAL HASHIM
utusanjohor@utusan.com.my

Mohamed Khaled Nordin (berdiri tengah) bersama sebahagian pelajar pada Program Kembara Ilmu di Pasir Gudang, Johor, semalam.

JOHOR BAHRU 12 April - Kerajaan negeri mengarahkan ke semua 14 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Johor untuk merangka pelan pengangkutan awam bagi meningkatkan sistem pengangkutan di negeri tersebut.

Menteri Besar Johor, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, Perbadanan Pengangkutan Awam Iskandar Malaysia (PAIM) akan membantu PBT bagi merangka pelan tersebut agar diselaraskan dengan polisi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

"Bagi merangka pelan tersebut, PBT perlu menyediakan satu unit pengangkutan awam di kawasan mereka dalam kadar yang segera. Buat masa ini, masih terdapat beberapa PBT di Johor masih belum mempunyai unit pengangkutan awam yang bertanggungjawab dalam membangunkan sistem pengangkutan di kawasan berkenaan.

"Pelan pengangkutan awam yang dirangka ini akan dijadikan rujukan oleh kerajaan Pusat bagi meningkatkan sistem pengangkutan awam yang lebih cekap dan efisien," katanya selepas merasmikan penyediaan perkhidmatan kemudahan WiFi di dalam Bas Trans Inskandar dan Program Kembara Ilmu di Pasir Gudang di sini hari ini.

Yang turut hadir Ketua Eksekutif PAIM, Mohd. Gadaffied Abd. Aziz.

Pada program tersebut, sebanyak 100 pelajar menerima skim bantuan pengangkutan awam dengan kad tanpa tunai sebanyak RM720 setahun oleh Bas Iskandar Malaysia bagi membantu meringankan beban kos sara hidup yang kian meningkat.

Mohamed Khaled bagaimanapun mengakui perangkaan pelan pengangkutan awam tersebut akan mengambil sedikit masa kerana berlainan bagi setiap kawasan bandar-bandar.

Katanya, PAIM akan mengadakan pertemuan dengan PBT dalam masa terdekat sebagai pemudah cara untuk membantu merangka pelan tersebut yang bakal meringankan beban masyarakat pada masa akan datang.

"Kita mahu setiap PBT merangka pelan itu sendiri kerana mereka lebih arif tentang keperluan di kawasan masing-masing serta potensi sistem pengangkutan awam di tempat sendiri," katanya.

Sementara itu, Mohamed Khalid memuji usaha dilakukan PAIM yang menyediakan perkhidmatan WiFi di dalam bas Trans Iskandar bagi memudahkan pengguna mengakses Internet tanpa batas.

"Projek perintis dengan usahasama 3i Communications Sdn. Bhd., melibatkan 16 buah bas beroperasi di Iskandar Malaysia merupakan langkah merasionalisasikan pengangkutan awam yang bersifat mesra pengguna," katanya.

Polis tahan 8 lelaki, selesai 24 kes - Ketua Polis Johor

Posted: 12 Apr 2014 11:46 AM PDT

JOHOR BAHRU 12 April - Polis percaya dapat menyelesaikan 24 kes melibatkan samun tepi jalan, menyamar polis, pecah rumah dan curi kenderaan di sekitar daerah ini dengan tertangkapnya lapan lelaki dalam dua serbuan, di sini pada 2 April lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mohd. Mokhtar Mohd. Shariff berkata, empat lelaki ditahan di Jalan Petaling Kampung Sri Paya, Larkin pukul 7.30 pagi, manakala bakinya ditangkap di sebuah rumah di Jalan Kebun Teh pada hari yang sama.

Beliau berkata, berdasarkan siasatan awal, kesemua lelaki yang berusia 27 hingga 48 tahun itu dipercayai bergerak aktif dalam kegiatan jenayah samun, menyamar polis, samun jalanan dan pecah rumah.

"Turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah sepasang pakaian seragam polis berpangkat lans koperal, sepucuk pistol tiruan, satu kelopak peluru mengandungi tiga biji bola besi, satu sarung pistol bertulis 'police', sebuah monitor dan sebuah televisyen LCD.

"Barangan lain yang dirampas adalah sebilah pisau lipat, 14 utas jam tangan pelbagai jenama, 22 telefon bimbit pelbagai jenama, sebuah kamus elektronik jenama Besta, sebuah kamera Kodak dan sebuah perakam kamera litar tertutup (CCTV)," katanya kepada pemberita di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini baru-baru ini.

Beliau berkata, semakan rekod jenayah lampau juga mendapati empat daripada suspek mempunyai rekod kesalahan jenayah dan dadah selain dikehendaki dalam kes pecah rumah.

Mereka kini ditahan reman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 395/397, Seksyen 457, Seksyen 379A dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, polis berjaya menahan 11 lelaki berusia antara 17 hingga 34 tahun yang dipercayai terlibat dengan kes pecah rumah dan curi motosikal dalam beberapa siri serbuan di sekitar Tampoi pada 3 April lalu, katanya.

Mohd. Mokhtar memberitahu, turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah lima buah motosikal curi, sebuah kereta, tiga rangka motosikal, 11 telefon bimbit, masing-masing sebuah komputer riba, komputer LCD dan video kamera serta satu gulung kabel.

"Tujuh suspek mempunyai rekod jenayah lampau melibatkan kes jenayah dan dadah, manakala dua lagi tersenarai dalam nama dikehendaki polis untuk membantu siasatan kes dadah dan samun.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved