Khamis, 20 Mac 2014

Utusan Online - Rencana


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rencana


Tamatkan cengkaman si pengacau

Posted: 20 Mar 2014 11:21 AM PDT

KENYATAAN Presiden Majlis Peguam, Christopher Leong berhubung keputusan kes liwat Datuk Seri Anwar Ibrahim membuka lembaran baru dalam fokus isu ini yang seringkali digembar-gemburkan oleh puak pembangkang sebagai konspirasi politik terhadap beliau.

Kenyataan Christopher bahawa Anwar tidak patut dihukum "kerana ia berlaku atas dasar suka sama suka di antara dua orang dewasa" menyentak banyak pihak. Peliknya, sehingga kini tidak ada komen balas daripada pihak Anwar berhubung kenyataan itu.

Dalam wawancara dengan Utusan Malaysia, bekas Presiden ABIM selama dua penggal, DR. YUSRI MOHAMAD, yang juga bekas Pensyarah Kanan di Kulliyyah Undang-undang Ahmad Ibrahim, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), mengupas isu ini dan dominasi imej Anwar dalam minda khalayak.

Apa pandangan saudara mengenai kenyataan Christopher Leong?

YUSRI: Kita tak terkejut dengan pendirian beliau kerana mereka yang berpegang kepada fahaman hak asasi manusia yang bebas agama dan bebas nilai memang berpendirian begitu. Kadangkala mereka merujuk kepada kes jenayah suka sama suka sebagai jenayah tanpa mangsa (victimless crime). Maksudnya bagi mereka, kes sebegini sebenarnya bukan jenayah yang patut dikenakan pendakwaan. Majlis Peguam sejak beberapa tahun ini sering berpegang kepada fahaman hak asasi aliran ini.

Bagi kita orang Islam dan beriman pula, sikap kita terhadap pendirian sebegini adalah selari dengan firman Allah dalam surah al-Kafirun yang bermaksud; "Bagi kamu agama/pegangan kamu dan bagi kami agama/pegangan kami". Dalam Islam, maksiat seperti zina ataupun liwat walaupun secara suka sama suka adalah tetap jenayah yang boleh didakwa dan dihukum demi kebaikan individu dan masyarakat secara amnya.

Seterusnya, walau apapun fahaman hak asasi manusia individu atau kumpulan di Malaysia, akhirnya semua pihak harus tunduk dan menurut Perlembagaan dan undang-undang sedia ada selagi mana ianya berkuat kuasa. Terutama jika sesuatu isu itu sudah jelas diperuntukkan oleh Perlembagaan sehingga boleh dianggap sebagai salah satu tiang asas Perlembagaan itu sendiri.

Pada masa sama, saya rasa beliau silap bila mengkategorikan kes Anwar lwn Saiful sebagai suka sama suka. Sepatutnya sebagai peguam, beliau lebih sensitif kepada elemen paksaan atau desakan tidak langsung wujud dalam kes melibatkan majikan dan pekerja seperti dalam kes ini. Gangguan seksual di tempat kerja melibatkan majikan dan pekerja bukanlah isu yang baru mahupun asing dalam mana-mana masyarakat.

Anwar masih gunakan skrip lama dengan menuduh mahkamah tidak berlaku adil kepadanya dan konspirasi berlaku. Apa pandangan saudara sebagai lulusan undang-undang dan syariah?

Saya rasa sesiapa pun yang bersedia menilai episod terakhir ini dengan objektif dan neraca yang betul akan sukar untuk menerima skrip konspirasi ini sekali lagi. Malangnya, apabila melibatkan Anwar, ada kalangan masyarakat kita tidak mahu atau tidak sedia untuk bersikap objektif dan kritikal kerana pelbagai sebab.

Ada yang masih belum bebas atau lepas daripada pesona dan aura zahir politik dan peribadi Anwar. Mereka ini meminati beliau sebagai tokoh karismatik sehingga sampai sekarang gagal melihat sisi buruk beliau.

Ada pula yang tidaklah terlalu fanatik kepada Anwar tetapi terlalu membenci seteru politiknya sehingga sanggup terus membela Anwar supaya seteru politik beliau mesti sentiasa dipakaikan dengan imej seburuk dan sejahat mungkin.

Ada juga yang terus membela Anwar kerana berlatar Islam-Melayu, Anwar dilihat sebagai alat yang sangat berkesan untuk melemahkan agenda Islam dan Melayu dari dalam.

Anwar pasca 1998 jelas konsisten mempromosi pencairan agenda Islam dan Melayu serta menjadi faktor besar yang menghalang kesatuan suara Islam-Melayu di negara kita. Bagi kelompok anti-Islam-Melayu ini, memang benarlah Anwar itu Anugerah Tuhan bagi agenda mereka.

Ada juga yang masih membela Anwar kerana terkeliru memilih acuan atau formula dalam menilai kes Anwar terutamanya tersilap menganggap Anwar dilindungi oleh hukum qazaf dan prinsip umum larangan aib-mengaib dalam Islam. Kalaulah tidak dikelabui oleh sentimen dalam menilai kes Anwar dan Saiful ini, nescaya kita akan menemukan banyak fakta yang menunjukkan bahawa ini bukanlah konspirasi.

Sesudah menilai bukti dan hujah kedua-dua pihak, ketiga-tiga hakim Mahkamah Rayuan sebulat suara mendapati beliau bersalah. Hakim Mahkamah Tinggi sebelum itu pun membebaskan beliau atas alasan teknikal sahaja yang kemudiannya disanggah di peringkat rayuan. Majlis Peguam dan beberapa badan guaman antarabangsa sendiri tidak mempertikaikan kredibiliti penghakiman tersebut.

Cuma tidak bersetuju dengan undang-undang yang menjenayahkan perlakuan tersebut yang mereka fahami sebagai suka sama suka. Seolah-olah mereka ini pun menerima sabitan fakta dalam kes tersebut.

Dari segi sisi agama dan syariah pula beberapa perkara perlu ditegaskan. Meskipun forum yang lebih baik adalah Mahkamah Syariah, tidak pula bererti penghakiman di Mahkamah Sivil langsung tidak ada makna dan nilainya bagi kita orang Islam.

Kita masih boleh menerima hukuman Mahkamah Sivil dalam kes ini sebagai takzir kerana kes ini bukannya kes hudud zina atau liwat biasa. Kes ini melibatkan konteks tersendiri dan lebih tepat dikategorikan sebagai kes gangguan seksual tempat kerja. Dalam kes seumpama itu, kes sumbang mahram atau kes rogol, hukum yang terpakai adalah berbeza kerana konteks jenayah tersebut melibatkan faktor paksaan atau desakan (undue influence).

Oleh itu, persoalannya di sini bukan hendak mensabitkan Anwar dengan kesalahan hudud zina atau pun liwat yang memerlukan beban bukti empat orang saksi yang adil. Beban bukti dalam kes beliau tidak semestinya saksi sahaja tetapi boleh juga dalam bentuk bahan-bahan bukti lain yang diterima oleh hukum syarak.

Sebenarnya yang lebih utama dalam kes Anwar bukanlah menghukum beliau dari segi jenayah tetapi menilai kredibiliti beliau sebagai pemimpin. Sejak mula kes beliau timbul di akhir 1998 hingga sekarang, beliau tetap aktif dalam politik.

Sangatlah wajar masyarakat menilai kesesuaian beliau sebagai pemimpin berdasarkan kes atau isu-isu yang melibatkan beliau walaupun yang bersifat moral. Beliau tidak patut dibenarkan berselindung di sebalik prinsip umum larangan mendedahkan aib dalam Islam.

Soal integriti berkait rapat dengan isu pemimpin. Saudara pernah bekerja dengan Dr. Wan Azizah, apakah penilaian terhadap beliau sebagai proksi Anwar di PRK DUN Kajang?

Benar, di awal gelombang reformasi selepas pemecatan Anwar pada 1998, saya turut terpanggil untuk membela dan membantu beliau. Sikap itu diambil berasaskan persepsi dan maklumat yang ada pada saya ketika itu. Selepas mendapat gambaran dan fakta yang lebih lengkap serta mengikuti perkembangan susulan selepas Anwar dibebaskan, saya tidak boleh lagi dengan jujur mempertahankan sikap yang awal.

Di tahun-tahun reformasi itu memang saya sempat berperanan membantu Dr. Wan Azizah secara rapat. Ketika itu Anwar masih dipenjara. Saya percaya ramai yang mengenali Dr. Wan Azizah akan bersetuju bahawa beliau tidak cukup berwibawa sebagai pemimpin politik.

Anwar menggunakan beliau sejak dahulu untuk meraih simpati dan sebagai proksi aura peribadinya. Imej luaran Dr. Wan Azizah dan ahli keluarganya digunakan semaksimum mungkin oleh Anwar untuk menyelamatkan imej peribadi beliau yang dilanda skandal demi skandal.

Anwar sangat bersandar kepada propaganda bahawa jikalau isteri dan keluarganya tetap teguh bersamanya, itu tanda yang beliau tidak bersalah. Mereka yang mengenali keluarga ini secara dekat tahu bahawa Dr. Wan Azizah dan keluarga sebenarnya tidak cukup kuat mengatasi cengkaman dan dominasi Anwar. Mungkin juga kerana sudah terlalu lama dan terbiasa berada dalam dominasi Anwar, Dr. Wan Azizah dan keluarga tidak nampak adanya pilihan selain menurut percaturan Anwar. Betul atau salah bukan lagi asas pertimbangan.

Berat kalimah-kalimah ini hendak saya ucapkan tetapi saya tak rela mengutamakan mana-mana individu atau keluarga dengan menggadai nasib agama, bangsa dan negara.

Apa harapan saudara terhadap pengundi Kajang supaya yang dipilih ialah orang yang boleh mendukung aspirasi rakyat?

Bukan sahaja Kajang tetapi seluruh negara sebenarnya perlu dimerdekakan daripada sandiwara politik Anwar yang sudah terlalu meleret dan banyak mengharu-birukan negara. Anwar cenderung menimbulkan sisi terburuk dalam diri dan masyarakat kita. Demi agenda peribadi beliau, pelbagai prinsip dan tonggak negara bangsa dimanipulasi dan dirombak demi memainkan sentimen dan emosi masyarakat.

Sebahagian masyarakat pula begitu gemar menari mengikut irama yang beliau mainkan kerana terpedaya oleh sihir beliau atau terdorong oleh nafsu perkauman, agama dan kelompok yang Anwar suburkan.

Kita semua mahukan politik dan pemerintahan yang adil, amanah dan berwibawa. Kita juga mahu mengekalkan serta meningkatkan lagi kemakmuran, kesejahteraan yang bersendikan perpaduan dan persefahaman antara kaum dan agama di Malaysia. Ini semua kerja besar yang menuntut tumpuan dan kesungguhan. Ia juga menuntut kita untuk berjiwa besar dan berlapang dada dalam membina kehidupan secara bersama.

Anwar dan politik beliau menjadi pengacau kita daripada memberi tumpuan terhadap kerja-kerja besar ini. Wajarlah beliau direhatkan agar kita pun dapat bertenang dan membuka lembaran baru politik negara yang lebih segar dan membina.

Kajang saksi harga sebuah janji

Posted: 20 Mar 2014 11:21 AM PDT

Budiman Mohd. Zohdi

Chew Mei Fun dan Wan Azizah Wan Ismail bergandingan tangan sambil melambai kepada media selepas menghantar borang pencalonan bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Kajang, di Kompleks Sukan Majlis Perbandaran Kajang (MPKJ), Seksyen 15, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 11 Mac lalu. - BERNAMA

ORANG tua memang cukup arif dalam hal berkaitan janji. Sebab itu wujud pepatah, kalau kerbau dipegang pada tali, manusia pula dipegang pada janji. Manusia yang berjanji tetapi tidak menunaikan apa yang telah dijanjikan ialah golongan yang tidak boleh dipercayai dan tidak mempunyai kredibiliti. Golongan seperti ini sememangnya tidak layak untuk bergelar pemimpin.

Pada Januari 2011, sekumpulan 2,020 orang ibu tunggal telah memfailkan saman menuntut kerajaan pakatan DAP-PKR-Pas di Selangor supaya menunaikan janji yang terkandung di dalam manifesto Pilihan Raya Umum Ke-12 (PRU-12) pada 2008. Janji mereka, jika pakatan menang maka ibu-ibu tunggal di Selangor akan diberikan elaun bulanan.

Nasib mungkin menyebelahi kerajaan Selangor kerana walaupun Mahkamah Tinggi menolak permohonan kerajaan negeri dan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membatalkan saman tersebut, Mahkamah Rayuan Putrajaya pada 13 Mei 2013 memutuskan bahawa sebuah manifesto pilihan raya tidak boleh dikuatkuasakan secara sah.

Malah dalam afidavit balasnya kerajaan pakatan Selangor menyatakan bahawa manifesto bukanlah suatu janji tetapi cuma pernyataan biasa sebuah parti politik.

Panel tiga hakim diketuai Datuk Mohd. Hishamudin Mohd. Yunus yang bersidang bersama Datuk Abdul Aziz Abd. Rahim dan Datuk Mohamad Ariff Md. Yusof membenarkan rayuan kerajaan Selangor dan Abdul Khalid supaya mengetepikan keengganan Mahkamah Tinggi untuk membatalkan saman tersebut.

Hishamudin bersetuju dengan hujahan yang dikemukakan oleh peguam A. Vishnu Kumar, yang mewakili kerajaan Selangor dan Abdul Khalid bahawa manifesto itu bukan sebuah dokumen yang terikat di sisi undang-undang sehingga membolehkan seseorang yang tidak berpuas hati dengan kegagalan memenuhi janji pilihan raya untuk menuntut penguatkuasaan manifesto tersebut. Mahkamah kemudiannya memerintahkan responden membayar kos guaman sebanyak RM1,000 kepada kerajaan Selangor dan Abdul Khalid.

Kes di atas adalah satu daripada beberapa contoh janji-janji kerajaan pakatan Selangor yang ditabur semasa PRU-12. Namun setelah berjaya mengambil alih tampuk pemerintahan Selangor, sebahagian besar daripada janji tersebut hanya tinggal janji. Selain pemberian elaun kepada ibu tunggal, kerajaan negeri juga gagal melaksanakan janji mereka untuk menurunkan cukai pintu, memberi bantuan RM75 sebulan bagi setiap anak yang dihantar ke nurseri, memberi bantuan RM50 seorang bagi pendidikan prasekolah dan memberi elaun khas kepada setiap suri rumah yang memilih untuk menjaga sepenuh masa anak-anak mereka.

Ini menunjukkan bahawa puak pakatan pembangkang ini bercakap tanpa berfikir. Mereka berjanji tanpa memikirkan kesan daripada janji itu. Apabila menyedari bahawa peruntukan yang besar diperlukan untuk melaksanakan segala janji tersebut, kerajaan pakatan Selangor berusaha mengalih perhatian rakyat Selangor daripada menuntut janji-janji tersebut dengan memberikan gula-gula kepada rakyat dalam bentuk pemberian air percuma untuk pengunaan 20 meter padu yang pertama atau lebih kurang RM12 sebulan. Itu pun tidak sampai separuh isi rumah di Selangor yang menikmatinya terutama mereka yang tinggal di pangsapuri yang menggunakan meter air pukal.

Akibat sampingan daripada subsidi air tersebut, kerajaan Selangor juga kehilangan pendapatan hampir RM140 juta setahun. Pendapatan yang boleh digunakan untuk menampung kos penambahbaikan paip-paip usang dan loji-loji rawatan air.

Malah Abdul Khalid sendiri mengakui pemimpin mereka perlu mengurangkan janji yang sukar dilaksanakan dan meningkatkan prestasi kerja untuk kebajikan rakyat. Menurutnya, manifesto seperti penurunan cukai pintu sebanyak 20 peratus sebenarnya sukar dilakukan kerana akan menjejaskan operasi pihak berkuasa tempatan (PBT).

Seakan-akan terlupa dengan pelbagai janji lama yang masih belum ditunaikan kepada rakyat Selangor, pada PRK Kajang ini pelbagai janji ditabur lagi. Kalau pada 2008 sebagai pembangkang yang mengintai peluang tetapi yang anehnya kali ini sebagai kerajaan yang menerajui Selangor, mereka masih tidak habis-habis menabur janji. Masalah jenayah, kesesakan lalu lintas dan banjir di Kajang tiba tiba menjadi perhatian utama kerajaan negeri. Seolah-olah tanpa PRK Kajang, kedua-dua masalah ini bukan suatu keutamaan yang perlu ditangani oleh pakatan pembangkang yang menerajui Selangor.

Memang diakui kehebatan kilang-kilang pakatan pembangkang yang begitu efisien dan efektif dalam mengeluarkan produk janji selain cemuhan yang memberi label negatif. Setiap kali musim PRU atau PRK, kilang-kilang tersebut akan bekerja lebih masa untuk mengeluarkan produk yang sama. Yang berbeza cuma cara ia dibungkus, yang kebiasaannya di dalam pakej berwarna-warni yang mampu menarik perhatian pengundi.

PRK Kajang memberi warna kepada pelbagai janji. Beberapa hari lalu, Datin Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail telah melancarkan manifesto PRK Kajang untuk meningkatkan prestasi kutipan sampah di kawasan Kajang. Tiga teras lainnya adalah membanteras jenayah dan meningkatkan keselamatan, pembangunan anak muda dan usahawan kecil serta menangani masalah kesesakan lalu lintas.

Tentunya manifesto ini seperti memperlekeh kepimpinan kerajaan negeri pimpinan Abdul Khalid. Bahkan tindakan Wan Azizah menabur janji baharu kepada rakyat memberi tamparan hebat kepada kerajaan sedia ada. Adakah ini membawa maksud kerajaan Selangor pimpinan Abdul Khalid gagal menyelesaikan masalah rakyat di Kajang sehingga terpaksa mengemukakan manifesto baharu khusus bagi meraih undi pengundi di sana?

Adalah sesuatu yang menghairankan apabila calon daripada kerajaan yang memerintah sesebuah negeri mengemukakan manifesto baharu sedangkan kerajaan negeri itu diperintah oleh parti yang dipimpinnya sendiri. Lazimnya, sebuah manifesto dibentangkan oleh calon parti pembangkang bagi menawarkan sesuatu yang lebih baik daripada apa yang diberikan parti memerintah. Bagaimanapun apa yang berlaku sekarang di Selangor adalah sebaliknya.

Jika diteliti tidak sesuatu yang baharu pun diperkenalkan oleh Wan Azizah selain masalah operasi seperti sampah dan banjir yang sepatutnya dalam perancangan awal kerajaan Selangor.

Benarkah mereka mahu membangunkan usahawan kecil? Apa tujuan notis pemberhentian berniaga penjaja kecil di Sungai Sekamat? Rakyat juga tidak boleh melupakan jurai air mata peniaga nasi lemak apabila warung mereka dirobohkan di Taman Mesra, Kajang oleh Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) di bawah pentadbiran kerajaan Selangor.

Calon BN, Datin Paduka Chew Mei Fun menggariskan empat ikrar sebagai teras utama perjuangannya jika dipilih menjadi wakil rakyat DUN tersebut. Empat ikrar tersebut adalah memperkuatkan semak dan imbang terhadap kerajaan negeri Selangor, membetulkan masalah hal ehwal tempatan, memainkan peranan sebagai pihak pembangkang yang konstruktif dan sebagai Duta Muhibbah untuk perpaduan rakyat.

PRK Kajang ialah pertembungan dua janji. Biarpun ada yang beranggapan manifesto bukan janji namun ia sebenarnya pendorong kepada sebab mengundi. Pilihlah janji oleh mereka yang mempunyai trek rekod perjuangan dan bukan mereka yang membuat janji baharu seperti menampal tempayan yang bocor. Pilihan di tangan pengundi Kajang. Mereka yang mengundi dan mereka juga yang menerima akibatnya.

Selamat Mengundi!

PENULIS ialah ADUN Sungai Panjang yang juga Setiausaha ADUN BN Selangor.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved