Khamis, 20 Mac 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Hazli tabah biak anak angsa, ayam

Posted: 19 Mar 2014 12:10 PM PDT

Oleh Mohamed Saari
utusan.johor@gmail.com

HAZLI Makmur membersihkan kawasan reban bagi memastikan haiwan peliharaannya tidak dijangkiti penyakit dan menimbulkan rasa kurang selesa kepada jiran.

PAGOH 19 Mac - Semakin sukar untuk melihat angsa dipelihara berbanding 30 tahun lalu yang banyak dibiak di kawasan kampung walaupun spesies burung berkenaan senang dijaga dan tidak mudah dijangkiti penyakit.

Kesukaran mendapatkan benih atau anak angsa kerana tidak banyak proses penetasan telur antara faktor utama angsa kurang dipelihara walaupun hakikatnya masih ramai yang berminat untuk memeliharanya terutama di kawasan kampung.

Menyedari tiada pengusaha bumiputera yang menjadi pembekal anak angsa dan potensi besar bidang tersebut mendorong seorang pekebun di Kampung Kechik, Bukit Kepong dekat sini, nekad mengusahakan pembiakan anak angsa.

Hazli Makmur, 41, mengakui berminat membekalkan anak angsa kerana bidang tersebut masih belum diterokai oleh kaum bumiputera di sekitar daerah Muar dan Segamat.

"Hasrat saya untuk memulakan usaha menetaskan telur angsa dan pelbagai unggas seperti ayam kacukan, itik dan ayam belanda mendapat galakan abang yang membantu mengeluarkan modal sebanyak RM15,000 setahun lalu.

"Wang tersebut saya gunakan untuk membina beberapa buah reban dan memagar kawasan belakang rumah berkeluasan 0.5 hektar selain mendapatkan induk angsa, itik, ayam dan ayam belanda," katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Kechik, baru-baru ini.

Pada awal pembabitannya dalam usaha tersebut, pelbagai cabaran terpaksa diharungi Hazli terutama ketika cuba menghasilkan alat penetas telur dengan berbekalkan pengalaman dan sedikit pengetahuan dalam bidang elektronik.

Kegagalan untuk mendapatkan bantuan mesin penetas telur memaksanya mencari jalan untuk menghasilkan alat tersebut dengan membuat rujukan menerusi internet dan beberapa kali menemui kegagalan semasa membuat penyelarasan suhu tepat alat tersebut.

Namun usahanya itu akhirnya berjaya menghasilkan alat penetas telur dengan modal kira-kira RM100 bagi sebuah mesin berkapasiti 60 biji telur berbanding alat tersebut dalam pasaran yang mencecah sehingga RM3,000 dan boleh menetaskan 500 biji telur dalam satu masa.

Dia pernah mengalami kerugian apabila ratusan telur angsa, itik dan ayam kacukan yang hampir menetas rosak akibat gagal menyelaraskan tahap kelembapan dalam alat penetas yang tidak tepat ketika usaha awalnya setahun lalu.

"Jika kadar kelembapan tidak mencukupi kulit telur akan menjadi keras dan anak angsa atau ayam tidak akan menetas dan rosak, sebaliknya jika kadar kelembapan mencukupi kulit telur akan menjadi lembut dan memudahkan proses penetasan," katanya.

Namun semua masalah tersebut berjaya diatasi dan dia kini mampu menetaskan kira-kira 300 biji telur pelbagai jenis unggas sebulan termasuk itik, ayam belanda, ayam kacukan dan ayam mutiara yang mendapat sambutan baik daripada pembeli.

"Daripada jumlah tersebut, kira-kira 20 hingga 30 biji telur yang menetas adalah angsa yang boleh dijual dengan harga RM80 seekor, sementara lain-lainnya bergantung kepada usia dan jenis bermula dari RM2.80 sehingga RM50 seekor.

"Alhamdulillah, setakat ini saya tidak mempunyai masalah memasarkan semua benih unggas yang dihasilkan dan berjaya memberi hasil pulangan yang boleh dikatakan lumayan, berbaloi dengan tenaga dan modal yang saya keluarkan," kata bapa kepada dua cahaya mata yang berhasrat menjadi pembekal anak puyuh suatu masa nanti.

Hazli mengakui memelihara angsa tidak begitu sukar kerana unggas itu tahan lasak dan tidak mudah dijangkiti penyakit selain tidak cerewet dalam soal makanan selain tidak memerlukan reban khas seperti ayam atau itik, cukup sekadar kawasan yang berpagar.

Bagi mengelakkan gangguan serta rasa kurang selesa dalam kalangan jirannya, dia sentiasa menjaga kebersihan kawasan reban selain memastikan ternakannya tidak terlepas dan mengganggu tanaman jiran.

"Walaupun setakat ini ternakan saya tidak pernah menyebabkan penularan atau dijangkiti penyakit, saya tetap memberi perhatian terhadap aspek kebersihan dan setiap hari akan membersihkan kawasan sekitar," katanya.

Menurutnya, ramai yang tidak tahu angsa sebenarnya boleh berfungsi sebagai pengawal rumah kerana akan membuat bising jika melihat kehadiran orang atau binatang selain boleh menghindarkan ular kerana reptilia itu tidak suka dengan najisnya serta menjadi mesin rumput di halaman rumah kerana angsa suka memakan rumput.

Sokong suami walaupun awalnya kurang yakin

Posted: 19 Mar 2014 12:10 PM PDT

Rohayu Mat Nasir bersama suaminya, Hazli Makmur memeriksa anak angsa bagi memastikannya sihat dan tidak dijangkiti sebarang penyakit sebelum dijual.

PAGOH 19 Mac - Walaupun pada mulanya terkejut dan kurang yakin, namun Rohayu Mat Nasir, 45, tetap menyokong usaha suaminya, Hazli Makmur untuk menternak dan membiak pelbagai jenis unggas untuk dijual.

"Sebagai isteri, saya tidak mahu mematahkan semangat suami dan tetap memberi sokongan kepadanya serta membantu seboleh mungkin seperti mengumpul maklumat cara menghasilkan anak unggas termasuk di dalam internet.

"Sekarang saya semakin yakin dengan apa yang dilakukan oleh suami kerana bidang ini mempunyai potensi untuk dimajukan pada masa depan berikutan permintaan yang semakin bertambah dari hari ke hari," katanya yang mengakui tidak biasa menternak unggas sebelum ini.

Rohayu berkata, walaupun hanya bergantung kepada pelanggan yang pernah membeli anak angsa daripada mereka untuk memperkenalkan usahanya kepada rakan lain, namun dia bersyukur permintaan terhadap anak angsa yang dihasilkan suaminya semakin bertambah.

Pada peringkat awal, dia mengakui agak kurang selesa setiap kali membantu suaminya menjaga ternakan berkenaan, namun kini semakin selesa malah berasa tidak lengkap sekiranya tidak memberi ternakan itu makan.

"Dahulu saya begitu takut dengan angsa yang sering datang, seolah-olah hendak menyondol setiap kali saya ke reban untuk membantu suami melakukan kerja-kerja di kawasan tersebut.

"Tetapi sekarang, semua perasaan takut hilang kerana saya sudah semakin memahami sifat angsa yang sebenarnya bukan mahu menyerang, sebaliknya meminta makanan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved