Khamis, 20 Mac 2014

Utusan Online - Pendidikan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pendidikan


Keputusan SPM terbaik

Posted: 20 Mar 2014 11:21 AM PDT

Oleh MAISARAH SHEIKH RAHIM
pengarang@utusan.com.my

Dr. Khair Mohamad Yusof menunjukkan analisis keputusan Sijil Pelajaran Malaysia 2013 pada sidang akhbar di Putrajaya, semalam. - UTUSAN/ Zaki Amiruddin

PUTRAJAYA 20 Mac - Pencapaian keseluruhan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2013 merupakan yang terbaik dalam tempoh lima tahun berdasarkan indeks nilai Gred Purata Nasional (GPN).

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof berkata, nilai GPN pada tahun ini ialah 4.93 mata berbanding 5.34 mata pada 2009.

Beliau berkata, jumlah yang memperoleh semua gred A (Cemerlang) juga menunjukkan peningkatan iaitu seramai 13,970 calon dengan 11,892 daripadanya merupakan calon sekolah kerajaan manakala 2,078 calon pula sekolah persendirian.

Menurut beliau, daripada jumlah itu, seramai 405 calon berjaya mendapat gred A+ (Cemerlang Tertinggi) bagi semua mata pelajaran yang diduduki.

"Jumlah yang memperoleh semua gred A lebih baik berbanding pada 2012 iaitu sebanyak 13,720 dengan peningkatan 0.05 peratus.

"Pada tahun ini, seramai 442,588 calon menduduki SPM berbanding 441,542 pada 2012 dengan penurunan sebanyak 1,046 calon," katanya ketika mengumumkan analisis keputusan SPM 2013 di sini hari ini.

Dalam pada itu, Khair berkata, dalam SPM 2013, mata pelajaran Sejarah dijadikan sebagai wajib lulus sebagaimana Bahasa Melayu bagi melayakkan calon mendapat sijil.

Berikutan itu, sejumlah 378,490 calon layak mendapat sijil berbanding 402,859 pada tahun sebelumnya dengan penurunan sebanyak 24,369 calon.

Walau bagaimanapun, katanya, penurunan jumlah calon layak mendapat sijil bukan hanya disebabkan mata pelajaran Sejarah sebaliknya berdasarkan keseluruhan prestasi semua mata pelajaran mengikut nilai Gred Purata Mata Pelajaran (GPMP).

"Berdasarkan GPMP, prestasi 61 mata pelajaran meningkat manakala 46 mata pelajaran menurun dan hanya satu subjek kekal prestasinya berbanding 2012.

"Walau bagaimanapun kesemua subjek teras meningkat kecuali Matematik yang menurun dengan 4.99 mata berbanding 4.91 mata tahun lalu," katanya.

Mengulas lanjut, Khair berkata, peningkatan calon luar bandar lebih tinggi berbanding pencapaian calon bandar sekali gus jurang pencapaian antara kedua-dua kawasan itu mengecil sebanyak 0.01 peratus mengikut nilai GPN.

Tambah Khir, SPM 2013 juga menyaksikan lapan calon berkeperluan khas mendapat sekurang-kurangnya gred A- (Cemerlang) membuktikan semua calon tanpa mengira kekurangan mereka berpeluang untuk cemerlang dalam peperiksaan SPM.

"Kementerian menggunakan khidmat pakar pentaksiran luar negara yang terlibat dalam SPM 2013 antaranya Cambrige International Examinations (CIE), United Kingdom bagi memastikan peperiksaan yang dikendalikan kami mendapat pengiktirafan antarabangsa.

"Pakar pentaksiran terlibat berpuas hati dengan proses pembinaan instrumen pentaksiran, pemeriksaan skrip jawapan calon dan penentuan standard yang telah dilaksanakan secara profesional dan memiliki kredibiliti tinggi.

"Kesemua proses tersebut menepati ciri-ciri piawaian pentaksiran pendidikan bagi memastikan kesahihan dan kebolehpercayaan keputusan peperiksaan adalah tinggi," katanya.

Punca gred Matematik merosot perlu dikaji-TPM

Posted: 20 Mar 2014 11:21 AM PDT

MUKAH 20 Mac - Tan Sri Muhyiddin Yassin telah mengarahkan supaya satu kajian dibuat bagi mengenal pasti punca penurunan gred diperoleh pelajar bagi mata pelajaran Matematik dalam keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2013.

Timbalan Perdana Menteri berkata, secara keseluruhannya, beliau berpuas hati dengan pencapaian pelajar dalam kedua-dua peperiksaan itu pada tahun lalu kerana menunjukkan peningkatan berbanding 2012.

"Saya ucapkan tahniah kepada pelajar yang cemerlang dalam STPM dan SPM 2013. Kedua-dua peperiksaan ini menunjukkan peningkatan dari segi pencapaian.

"Dalam peperiksaan SPM sebagai contoh seperti yang diumumkan oleh Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Dr. Khair Mohamad Yusof hari ini, kita dapati ada peningkatan bagi beberapa mata pelajaran teras kecuali Matematik," katanya.

Beliau yang juga Menteri Pendidikan berkata demikian dalam sidang akhbar semasa menghadiri program Pemimpin Bersama Rakyat dan Perasmian Simbolik Jambatan Batang Balingian di Sekolah Kebangsaan (SK) Parish, Balingian di sini hari ini.

Yang turut hadir, Menteri Kemudahan Awam negeri, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan yang mewakili Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem; Menteri Kewangan II negeri, Datuk Seri Wong Soon Koh; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak, Datuk Amar Awang Mohammad Asfia Awang Nassar dan calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Balingian, Yussibnosh Balo.

Di Putrajaya hari ini, Khair mengumumkan sebanyak 13,970 pelajar yang menduduki SPM 2013 berjaya memperoleh semua gred A (cemerlang).

Beliau berkata, jumlah itu meningkat sebanyak 250 calon berbanding keputusan tahun sebelumnya iaitu 13,720 calon.

Katanya, pencapaian keseluruhan calon SPM 2013 bertambah baik dengan nilai Purata Gred Nasional (GPN) 4.93 mata berbanding 5.08 mata pada 2012.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, beliau telah mengarahkan pegawai di Kementerian Pendidikan supaya meneliti dan mengkaji kenapa terdapat penurunan dalam mata pelajaran Matematik berbanding dengan subjek teras yang lain iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Moral, Sejarah dan Sains.

Katanya, kajian dijalankan itu meliputi dari segi guru yang mengajar, kandungan subjek seperti pemahaman pelajar dan perlukah tumpuan lebih diberikan kepada mereka yang mengalami masalah tersebut.

Bagaimanapun, ujar beliau, secara umumnya terdapat peningkatan prestasi bagi mata pelajaran yang lain seperti Sains Elektif, Matematik Tambahan, Fizik, Biologi, Sains Gunaan.

"Turut mencatatkan peningkatan prestasi ialah mata pelajaran teknikal seperti Pengajian Neuro Teknologi, Keusahawanan, Ekonomi Rumahtangga, Lukisan, Kejuruteraan Mekanikal dan Awam serta Bahasa Arab dan Tasawuf.

"Buat pertama kali juga, Sejarah yang dijadikan mata pelajaran wajib lulus mencatatkan 85.52 peratus pelajar mendapat sijil penuh iaitu kira-kira 378,490 orang," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved