Khamis, 20 Mac 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Papan iklan LED 'mengganggu'?

Posted: 19 Mar 2014 12:10 PM PDT

Oleh MOHD. ZULFADLI SHARIFUDIN
kota@utusangroup.com.my

PAPAN iklan elektronik LED yang dipasang di tiang-tiang lampu dikatakan boleh menjejaskan tumpuan pemandu di Lebuhraya Persekutuan, Kuala Lumpur, semalam.- UTUSAN/Nasirruddin Yazid

KUALA LUMPUR 19 Mac - Pemasangan papan iklan elektronik yang menggunakan lampu putih diod pemancar cahaya (LED) kini dilihat sudah menjadi trend khususnya di tempat tumpuan awam di Lembah Klang.

Selain menjadikan keadaan persekitaran lebih ceria dan berwarna-warni, ia juga merupakan kaedah terbaik untuk memikat tumpuan orang ramai terhadap sesuatu produk yang diiklankan di atasnya.

Bagaimanapun, pemasangan papan iklan elektronik LED di Lebuhraya Persekutuan di sini mendapat reaksi negatif daripada segelintir pengguna jalan raya yang merasakan kemudahan tersebut mengganggu tumpuan semasa memandu pada waktu malam.

Rata-rata mereka tidak selesa ekoran pantulan cahaya yang terlalu terang sehingga pandangan mereka terganggu disebabkan papan iklan itu kerap bertukar warna dan imej.

Tinjauan Utusan Malaysia bermula dari pintu gerbang Kota Darul Ehsan sehingga Subang Jaya dari kedua-kedua arah dekat sini mendapati aduan itu ternyata berasas.

Papan iklan itu dipasang pada setiap tiang lampu jalan dan mengandungi pelbagai iklan yang berkemungkinan menjadi punca pemandu hilang fokus selain penglihatan turut terganggu.

Menurut Ahli Majlis Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MKJR), Tan Sri Lee Lam Thye, beliau menerima banyak aduan daripada pengguna jalan raya berhubung gangguan tersebut.

"Mereka mengadu pandangan dan tumpuan sedikit terjejas dan silau akibat pencahayaan yang terlalu terang.

"Papan iklan elektronik yang berwarna-warni dan terang itu boleh mengundang kemalangan kepada pengguna kenderaan," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Lam Thye juga berharap pihak yang bertanggungjawab supaya mengkaji dan meneliti semula penggunaan kemudahan tersebut agar keselamatan para pengguna jalan raya dapat diutamakan.

Dalam perkembangan sama, seorang pengguna lebuh raya itu, R. Gobinathan, 33, berpendapat, papan iklan menggunakan lampu LED itu tidak sesuai dipasang di sepanjang laluaan tersebut.

"Penggunaannya mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya. Lampu tersebut terlampau terang sehingga menjejaskan tahap penglihatan pemandu," katanya.

Pekerja swasta, Azlan Mohd. Noor, 25, pula berkata, papan iklan elektronik itu mempunyai kebaikan dan keburukannya.

"Ia menjadikan kawasan itu nampak hidup dengan diterangi cahaya lampu berwarna-warni. Malangnya, ia membuatkan penglihatan menjadi silau. Jika pemandu leka, boleh mengakibatkan kemalangan," ujarnya.

Paras air di semua empangan di Selangor masih kritikal

Posted: 19 Mar 2014 12:10 PM PDT

PARAS air di Empangan Sungai Selangor, Hulu Selangor masih berada pada paras kritikal walaupun hujan sejak beberapa hari lalu.

KUALA LUMPUR 19 Mac - Paras air di semua empangan di Selangor masih berada pada paras kritikal walaupun hujan turun di negeri ini sejak beberapa hari lalu.

Pengarah Lembaga Urus Air Selangor (LUAS), Md. Khairi Selamat berkata, tiada peningkatan kapasiti air di keenam-enam empangan di negeri itu kerana kadar hujan yang masih kurang dan tidak memberikan kesan signifikan kepada kapasiti empangan.

Menurutnya, kapasiti Empangan Sungai Selangor, Hulu Selangor misalnya masih berada pada tahap 30 peratus iaitu 69 juta meter padu manakala Empangan Klang Gates, Ampang mengalami sedikit peningkatan daripada 51.16 peratus kepada 51.30 peratus hari ini.

"Kekurangan air itu juga disebabkan kadar pengewapan yang tinggi dalam cuaca panas ketika ini," katanya dalam kenyataan akhbar di sini, hari ini,

Katanya, pembenihan awan secara intensif dengan kerjasama pihak Jabatan Meteorologi dan pihak swasta lain akan diteruskan bagi meningkatkan kadar hujan di kawasan tadahan Empangan Sungai Selangor.

"Langkah-langkah lain termasuklah penjadualan atau catuan bekalan air oleh Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn. Bhd. yang dilaksanakan selain mengurangkan pelepasan air dari Empangan Sungai Selangor secara berperingkat-peringkat daripada 100 juta liter sehari (JLH) kepada 500 JLH," katanya.

Tambahnya, LUAS dengan kerjasama Kumpulan Semesta Sdn. Bhd. turut melakukan pelepasan air dari Kolam Kampung Hang Tuah di Bestari Jaya ke dalam Sungai Selangor untuk meningkatkan kadar aliran air sungai sekali gus mengurangkan keperluan kepada pelepasan air dari empangan.

Pusat barang lusuh diserbu

Posted: 19 Mar 2014 12:10 PM PDT

Oleh MOHAMAD HARITH MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

SEBUAH jentolak MPS merobohkan bangsal yang digunakan oleh warga asing di pusat pengumpulan barangan lusuh di Taman Greenwood, Gombak, semalam. - UTUSAN/MOHD. NAIM AZIZ

KUALA LUMPUR 19 Mac - Majlis Perbandaran Selayang (MPS) menyerbu sebuah pusat mengumpul barang lusuh yang diusahakan oleh beberapa warga asing di Lot 379, Kampung Changkat, Greenwood dekat sini, hari ini.

Dalam operasi itu, kehadiran penguatkuasa MPS pada awalnya tidak disedari oleh empat warga asing yang bagaimanapun terkejut apabila mendapati tempat itu diserbu.

Ketika pihak MPS mengangkut barang-barang lusuh itu, ada warga asing terbabit meminta belas kasihan agar barangan yang berharga ditinggalkan, namun rayuan mereka tidak diendahkan.

Pegawai Penguatkuasa MPS, Mohd. Salleh Mohd. Said berkata, barang-barang lusuh itu tidak sepatutnya dilonggokkan di kawasan yang terletak berdekatan dengan perumahan kerana mengganggu keselesaan penduduk.

"Kami menerima beberapa aduan daripada penduduk yang menyatakan kawasan ini menimbulkan masalah dan mengganggu ketenteraman awam. Tindakan merampas barangan dan merobohkan bangsal yang terdapat di kawasan ini diambil mengikut Akta Kerajaan Tempatan 1976 di bawah Seksyen 80 iaitu kacau ganggu keamanan.

"Dalam tempoh tiga bulan lalu, kami sudah memberi sekurang-kurangnya lima amaran kepada mereka supaya berhenti daripada menjalankan kegiatan mengumpul barangan lusuh dan berpindah dari kawasan ini. Bagaimanapun, mereka berdegil dan mengingkari arahan tersebut," katanya ketika mengetuai operasi tersebut di sini, hari ini.

Utusan Malaysia yang menyertai operasi tersebut mendapati kawasan itu terlalu kotor dan memang tidak sesuai untuk sesiapa tinggal di situ ekoran dipenuhi sampah-sarap malah berpotensi menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

Sementara itu, seorang penduduk, Mohd. Othman Siom, 55, memberitahu, pusat mengumpul barangan lusuh itu dipercayai terlah beroperasi selama lima tahun.

"Tempat itu bukan sahaja kotor, malah kegiatan mereka mengakibatkan jalan masuk ke sini kadangkala terganggu akibat beberapa lori yang menghalang jalan," katanya yang tinggal di kawasan itu sejak 10 tahun lalu.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved