Khamis, 20 Mac 2014

Utusan Online - Hiburan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Hiburan


Rozita akan buat kenduri rai kejayaan anak

Posted: 20 Mar 2014 04:59 AM PDT

Oleh AIDA RIZMARIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Mac - Pelakon dan pengacara Rozita Che Wan, 41, hari ini berkongsi berita gembira mengenai keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) anak sulungnya Ammar Effendy,18.

Menerusi gambar yang dikongsi melalui laman Instagram miliknya itu, menunjukkan Ammar mendapat keputusan cemerlang dengan 8 A.

Bagaimanapun Rozita yang kini sibuk dengan rakaman program Primadona tidak dapat menjawab sebarang panggilan telefon untuk mengesahkannya.

Sementara itu suaminya, Zain Saidin, 30, ketika dihubungi Utusan Malaysia, memberitahu sebagai bapa tiri, dia turut bangga dengan pencapaian Ammar.

"Saya bangga dengan Ammar, sehari sebelum menerima keputusan SPM, Ammar kelihatan agak berdebar berbanding isteri saya.

"Kami akan buat kenduri kesyukuran, selain itu Ammar juga pernah memberitahu mengenai hasratnya untuk menyambung pengajian dalam bidang perbankan di luar negara," katanya. - UTUSAN ONLINE

Bukan salah isteri saya

Posted: 19 Mar 2014 11:17 PM PDT

Oleh GARRET DAWUM
garret.dawum@utusan.com.my
Gambar WAHIDAH ZAINAL

Sidang media Program Terima Kasih Sayang yang menampilkan Hisyam dan isteri (tiga dari kanan) serta Fizo Omar dan isteri.

ADA sahaja cerita kurang elok akan menjengah artis baru. Bagaikan sudah menjadi lumrah, kalau hendak menjadi artis, seseorang itu pasti dihambat kisah-kisah negatif terlebih dahulu. Kalau bernasib baik, perkara sebegini boleh juga menaikkan nama dan populariti. Jika sebaliknya, memanglah malang menimpa seseorang bakat terbaru tersebut kerana bakal menerima tempias dikaitkan sebagai artis baru bermasalah.

Terbaharu, pelakon Singapura yang belum setahun mengembangkan potensi dirinya dengan menjadikan Malaysia sebagai lubuk rezeki tidak terlepas dengan kontroversi.

Namun, tempias aura negatif itu bukan diterima oleh dirinya tetapi terhadap isteri, Rosmawati Hanafi yang juga pengurus kepada Hisyam.

Ada cakap-cakap mengatakan orang tersayang Hisyam itu sebenarnya seringkali bersikap lebih sudu daripada kuah. Dia dikatakan mula menunjukkan sikap sombong dan berlagak terhadap orang dalam industri setelah nama Hisyam dikenali menerusi watak Harith yang dibawanya dalam drama bersiri Ariana Rose.

Hisyam yang ditemui bersama isterinya dalam pelancaran program Terima Kasih Sayang baru-baru ini cuba menjelaskan situasi yang berlaku. Dia tampak begitu santai dan mesra serta tenang menjawab soalan pihak media. Sebagai lelaki dia perlu melindungi isterinya.

Kami sayang antara satu sama lain. Saya tidak mahu orang lain mengambil kesempatan terhadap isteri, yang juga pengurus saya. Sepanjang dia (isteri) menjadi pengurus saya di Malaysia, dia tidak pernah menunjukkan sikap berlagak.

Dia sangat memahami. Kadang-kadang dia tidak akan ikut saya ke lokasi penggambaran. Malah, kalau dia ikut pun, dia tidak akan buat kacau di set. Rasanya perkara ini tidak perlu dijadikan isu. Ketika mula-mula mendapat tahu tentang cerita ini, saya dan isteri betul-betul terperanjat.

Saya terkejut kerana selama dia menguruskan karier saya di sini, dia tidak pernah mengalami sebarang masalah ketika berurusan dengan mana-mana syarikat produksi tempatan," jelas Hisyam.

Tambah Hisyam, isterinya sudah mula menguruskan kariernya sejak dia aktif berlakon di Singapura lagi dan menyangkal dakwaan yang diberikan kepada isterinya.

Mungkin orang itu tidak mengenali saya dan isteri, jadi dia terus membuat andaian sendiri tanpa berbincang dengan kami terlebih dulu," katanya.

Tegas Hisyam, perkara yang paling penting adalah jika adanya kontroversi yang melanda dirinya, dia perlu bersikap terbuka.

Saya akan cuba harungi setiap kontroversi yang hadir. Cuma saya minta, jangan pernah libatkan keluarga saya terutama ibu bapa dan anak-anak saya dalam hal yang membabitkan kerjaya. Saya tidak mahu mereka kecewa dengan sikap saya jika kisah tidak elok tersebar luas di dalam media. Saya sudah korbankan masa bersama mereka dengan datang ke Malaysia demi rezeki bersama.

Sebab itu, sebagai manusia saya perlu bersikap positif dan tidak terlalu cepat memberi tindak balas negatif jika ada gosip membabitkan saya. Itu pegangan saya jika saya ingin terus dalam bidang ini dan apa yang penting fokus kepada kerja.

Lagipun, saya tidak suka membuat diri jadi stres. Lagi saya stres, selagi itulah kerja tidak akan menjadi," katanya yang memilih untuk terus berada di Malaysia.

Senang dengan pengurusan kerjaya yang dibuat isteri sendiri, figura berusia 29 tahun ini juga memutuskan untuk tidak mencari pengurus lain.

Bawa anak ke Malaysia

Ditanya perancangan terhadap anak-anak dan isteri lagi, Hisyam memberitahu hasratnya untuk membawa keluarganya berpindah ke Kuala Lumpur pada tahun hadapan.

Buat masa ini, saya tinggal di Shah Alam bersama ayah saya sementara anak-anak masih di Singapura. Jika ada kelapangan, saya akan menjenguk mereka di sana.

Januari 2015 kami akan bawa anak-anak pindah ke sini bagi memudahkan saya fokus terhadap bidang lakonan. Sebelum itu, kami harus pastikan bahawa urusan rumah dan sekolah untuk anak-anak selesai.

"Dalam masa yang sama saya kini sedang mencari rumah yang sesuai selain sekolah antarabangsa untuk kedua-dua anak saya nanti. Jika semuanya selesai baharulah saya akan bawa mereka datang ke sini," kata ayah kepada Nurish Syameliah, 7, dan Hayden, 5 tahun.

Jadual yang padat juga sebenarnya tidak menghalang Hisyam untuk meluangkan lebih masa bersama isteri dan anak-anaknya. Walaupun penat dengan penggambaran namun sekiranya mempunyai cuti dia akan sedaya upaya untuk kembali ke Singapura bagi bertemu dengan isteri dan anak-anaknya.

Dalam pada itu, ditanya mengenai tawaran lakonan yang kini saling tak putus Hisyam berkata, dia tidak memilih dengan sebarang peluang yang hadir.

Bagi saya semua tawaran yang datang, saya akan melihat kepada keutamaan yang datang dulu. Saya tidak mahu terlalu gelojoh dalam menerima tawaran. Kalau boleh, mana yang datang dulu, saya akan ambil dan buat.

Selain itu, saya juga akan melihat kepada jalan cerita dan skrip selain watak yang sesuai buat diri saya," katanya.

Perkembangan terkini pelakon ini adalah dia kini sedang sibuk menjalani penggambaran sebuah drama bersiri di Singapura berjudul Di Luar Garisan Cinta musim kedua sebelum kembali ke Kuala Lumpur untuk projek seterusnya.

Malah Hisyam dia juga bakal memasuki set penggambaran filem Sinaran bersama Neelofa dan Lisa Surihani arahan Osman Ali.

Program Terima Kasih Sayang adalah program yang memberikan pengiktirafan kepada kaum wanita itu turut menampilkan barisan artis seperti Hisyam Hamid bersama isteri, Fizo Omar dan Mawar selain Sharifah Aleya dan Sharifah Amani.

Ia bakal bersiaran setiap Jumaat pada pukul 6 petang bermula 28 Mac ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved