Khamis, 20 Mac 2014

Utusan Online - Jenayah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Jenayah


Mayat disimen dalam tong

Posted: 20 Mar 2014 11:21 AM PDT

Oleh TERMIZI CHE ANUAR
pengarang@utusan.com.my

ANGGOTA polis membawa suspek untuk membuat pengecaman mayat seorang ahli peniagaan di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban, Negeri Sembilan, semalam.

KUALA LUMPUR 20 Mac - Penahanan enam suspek termasuk seorang wanita warga Thailand di sekitar Lembah Klang pada malam tadi dan hari ini membawa kepada penemuan mayat seorang ahli perniagaan yang dibunuh dan mayatnya disimen dalam tong.

Mayat mangsa ditemui di dalam tong tersebut yang dicampak di tepi jalan di Bukit Pelanduk, Lukut, Negeri Sembilan kira-kira pukul 6 petang.

Menurut sumber, penemuan itu berikutan dua daripada suspek terlibat mengaku telah membunuh ahli perniagaan itu.

"Dua suspek terbabit menunjukkan polis lokasi mayat tersebut disembunyikan iaitu di kawasan Bukit Pelanduk.

"Polis kemudian menemui tong di mana mayat mangsa yang dilaporkan hilang di Batu 9, Cheras tiga bulan lalu disimen di dalamnya," katanya.

Difahamkan, satu sidang akhbar akan dibuat oleh pihak polis berhubung penemuan mayat itu.

3,900 peluru kosong dirampas

Posted: 20 Mar 2014 11:21 AM PDT

Oleh HANIZA HASSAN
pengarang@utusan.com.my

Mohd. Mokhtar Mohd Shariff (kiri) bersama anggotanya menunjukkan sebahagian daripada 3,900 butir peluru kosong yang dirampas dalam Ops Cantas di sebuah premis menjual barangan lusuh selepas sidang akhbar di Johor Baharu, Johor, semalam. - UTUSAN/Amin Farij Hasan

JOHOR BAHRU 20 Mac - Polis negeri ini berjaya merampas 3,900 butir peluru kosong jenis SME 5.56 milimeter selepas menahan lima lelaki termasuk tiga warga asing di sebuah kedai jual barangan lusuh, di sini Selasa lalu.

Ketua Polis negeri, Datuk Mokhtar Mohd. Shariff berkata, kesemua lelaki berusia antara 15 hingga 39 tahun itu ditahan dalam Ops Cantas Khas di Ulu Tiram, di sini pukul 11.10 pagi.

"Turut dirampas dalam serbuan tersebut ialah kabel jenis PRS 0.5 milimeter sepanjang 25 meter dipercayai milik sebuah syarikat telekomunikasi.

"Kita sedang menjalankan siasatan bagaimana mereka memperoleh peluru kosong berkenaan dan apakah kegunaannya. Hasil siasatan awal juga mendapati mereka menjalankan perniagaan barangan lusuh tanpa permit selain dipercayai terlibat menjual barangan curi," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor, di sini hari ini.

Mohd. Mokhtar berkata, walaupun itu peluru kosong, namun jika diisikan dengan bebola besi boleh mendatangkan kecederaan atau kematian.

"Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 8(a) Akta Senjata Api 1960, Seksyen 6 Akta Sekendhend 1946 dan Sekysen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63," katanya sambil memberitahu kesemua suspek kini ditahan reman hingga Sabtu ini untuk membantu siasatan lanjut.

Dalam kes berasingan, polis turut menahan tiga lelaki termasuk dua warga asing berusia 39 hingga 56 tahun dalam satu serbuan pukul 10.30 pagi di sebuah kedai barangan lusuh di Ulu Tiram, Isnin lalu.

Mohd. Mokhtar berkata, turut dirampas dalam serbuan tersebut adalah kabel penyuap aluminium 7/8 inco anggaran berat 103 kilogram (kg), 'jumper' kabel 1/2 inci anggaran berat 26 kg, kabel tembaga (35 kg) dan kabel aluminium (empat kg) yang dipercayai dicuri.

"Semakan jenayah lampau juga mendapati salah seorang daripada mereka mempunyai rekod jenayah di bawah Seksyen 6 Akta Sekendhend 1946 dan kesemua suspek direman sehingga esok untuk membantu siasatan," katanya.

Kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 29(1) Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 55D dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved