Sabtu, 15 Mac 2014

Utusan Online - Rekreasi


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Rekreasi


Helikopter kawalan kegilaan ramai

Posted: 14 Mar 2014 11:16 AM PDT

Oleh syukri shaari
pengarang@utusan.com.my

Ahmad Tamusi (tengah) menunjukkan cara membaiki helikopter kawalan jauh kepada Man (kiri) dan Azman (kanan).

KETIKA kebanyakan pihak terutamanya yang telah berkeluarga lebih selesa duduk di rumah menghabiskan cuti hujung minggu mereka, terdapat juga yang tidak boleh duduk diam dan mengambil kesempatan daripada masa terluang itu untuk melakukan aktiviti kegemaran masing-masing.

Di bandar raya Ipoh, Perak, sejak beberapa tahun kebelakangan ini, wujud satu kegilaan dalam kalangan kaum Adam terhadap permainan helikopter dan kapal terbang kawalan jauh.

Bunyinya seperti kebudak-budakan tetapi itulah hakikatnya apabila pada setiap hujung minggu, kawasan tanah lapang di Bandar Seri Botani dekat Simpang Pulai dibanjiri peminat alat permainan kawalan jauh yang semakin popular itu.

Bukan sahaja setiap hujung minggu, malah pantang ada masa terluang walaupun hari Isnin hingga Jumaat, pasti peminat tegar permainan itu akan turun mempamerkan skil kawalan kapal terbang serta helikopter yang mengagumkan.

Yang terjebak dengan permainan ini juga bukan calang-calang orang. Kesemuanya telah mahir dan mempunyai skil kawalan yang boleh membangkitkan adrenalin sesiapa sahaja yang melihatnya.

Menurut Ahmad Tamusi Ismail, 33, dia terjebak dengan permainan alat kawalan jauh itu sejak 2009 apabila terpengaruh dengan permainan tersebut ketika melintasi kawasan tanah lapang berkenaan.

Katanya yang mesra disapa Mad, ketika itu dia tertanya-tanya kenapa ada ramai orang berkumpul di situ.

Saya terpegun melihat kebolehan sekumpulan pemain helikopter kawalan jauh mempamerkan skil masing-masing," katanya kepada S2.

Sejak itu, Mad yang merupakan seorang anggota bomba mula berjinak-jinak dengan permainan tersebut dengan membeli set helikopter serta belajar cara mengawalnya dengan menggunakan asimilasi daripada perisian komputer yang dikhaskan untuk sesiapa sahaja yang baru berjinak-jinak dengan permainan tersebut.

Nampak macam senang mahu kawal helikopter ini..., tetapi sebenarnya susah. Saya belajar asas kawalan menggunakan perisian komputer terlebih dahulu sebelum turun ke kawasan lapang dan meminta tunjuk ajar daripada orang-orang lama di sini.

Kalau tidak sabar, memang tidak akan berjaya. Saya ambil masa beberapa tahun untuk mengasah skil kawalan helikopter ini. Bukan pegang alat kawalan sahaja boleh terus kawal, kena belajar teknik yang betul bagaimana mahu menerbangkan halikopter, membuat pelbagai jenis pusingan dan macam-macam lagi," katanya.

Menurut Mad, pada peringkat awal, dia menerima tentangan daripada isterinya memandangkan kos untuk memiliki permainan itu amat tinggi, tetapi dia berjaya meyakinkan pasangannya itu untuk merestui minatnya.

Memang tidak dinafikan kosnya agak mahal, harganya boleh mencecah RM7,000. Saya sudah habiskan kira-kira RM15,00 sejak mula bermain helikopter ini pada 2009.

Seperti model helikopter kawalan jauh yang saya guna hari ini, ia menelan kos sekitar RM3,000. Helikopter ini sahaja sudah mencecah harga lebih RM1,000 manakala alat kawalan jauh juga pada harga serupa.

Sebab itu, sesiapa yang mahu serius menjadikan permainan ini sebagai hobi perlu bersabar. Ia bukan setakat kita main alat kawalan jauh sahaja tetapi kepuasan apabila berjaya mempamerkan skil-skil yang rumit serta susah untuk dilakukan," jelasnya.

Berkongsi minat yang sama, seorang kakitangan Telekom Malaysia yang hanya mahu dikenali sebagai Man, 43, memberitahu, dia mula meminati permainan itu ketika berada di Kedah.

Katanya, ketika itu dia hanya bermain kapal terbang sahaja tetapi sejak berpindah ke Ipoh, dia terpengaruh dengan helikopter kawalan jauh pula.

Masing-masing ada keistimewaan tersendiri tetapi saya rasa lebih mencabar mengawal helikopter berbanding dengan kapal terbang kawalan jauh," ujarnya.

Dalam pada itu, menurut seorang guru yang dikenali sebagai Azman, 35, buat masa ini dia lebih banyak meluangkan masa untuk bermain kapal terbang kawalan jauh.

Katanya, dia masih belum puas hati dengan skil-skil yang ada. Justeru, dia mahu mengasah skil kawalan, selain membeli sebuah kapal terbang kawalan jauh yang lebih besar serta canggih.

Saya mula main kapal terbang ini sejak 2008 dan telah berhabis sebanyak RM5,000. Biasanya saya akan membeli kapal terbang yang tidak begitu mahal dan kemudian menambah inovasi pada kapal terbang berkenaan supaya sesuai dengan skil," jelasnya.

Azman memberitahu, sebelum ini terdapat beberapa rakan lain yang sama-sama bermain alat kawalan jauh itu dan meminta tunjuk ajar daripadanya tetapi terpaksa berhenti kerana tidak mendapat restu daripada isteri masing-masing.

Kebanyakan mereka minat tetapi tidak dapat buat apa-apa apabila pasangan (isteri) tidak suka dan menjadikan pembaziran sebagai alasan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved