Sabtu, 15 Mac 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


PTP peruntuk dana lebih RM500,000

Posted: 14 Mar 2014 11:16 AM PDT

Oleh NURUL HUDA HASSAN
hassan@utusan.com.my

Azharuddin Nordin (tujuh dari kiri) bersama pelajar sekolah yang terpilih selepas merasmikan Program Pembangunan Bahasa Inggeris Bagi Murid Sekolah Menengah di Gelang Patah, Johor Bahru, kelmarin. - UTUSAN/AMIN FARIJ HASAN

JOHOR BAHRU 14 Mac - Dalam usaha menggerakkan program menerusi tanggungjawab sosial korporat (CSR), Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP) memperuntukkan lebih RM500,000 bagi tujuan tersebut berbanding RM250,000 tahun lalu.

Ketua Pegawai Korporatnya, Azharuddin Nordin berkata, jumlah yang diperuntukkan untuk tahun ini adalah bagi menjayakan pelbagai program CSR berkaitan pendidikan, aktiviti bersama komuniti setempat dan alam sekitar.

Menurutnya, PTP sentiasa merancang pelbagai aktiviti dan pada masa sama memperluaskan program sedia ada sebagai perancangan menjayakan program CSR syarikat setiap tahun dengan memberi tumpuan kepada komuniti setempat.

Kita sentiasa menjayakan program bersama-sama dengan masyarakat yang menetap berdekatan kawasan Gelang Patah di mana PTP terletak, namun kita berharap dapat memperluas apa jua rancangan sedia ada ke kawasan lain pula di masa akan datang.

Ini penting untuk PTP dalam memastikan kita dapat berkongsi serta membantu mereka yang memerlukan menerusi program kami," katanya selepas merasmikan Program Pembangunan Bahasa Inggeris Bagi Murid Sekolah Menengah di Gelang Patah di sini semalam.

Yang turut hadir Timbalan Pegawai Pendidikan Johor Bahru, Ab. Hafith Ismail dan Pengarah Bahagian Program Pembangunan Profesional Universiti Teknologi Malaysia (UTM) SPACE, Prof. Madya Dr. Abdul Halim Abdul Raof.

Mengulas mengenai program itu, Azharuddin berkata, program seumpama itu sudah dimulakan PTP sejak 2009 dengan memberi tumpuan bagi membantu pelajar tingkatan empat mempersiapkan diri sebelum menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Tambahnya, program tahunan PTP yang sebelum ini dikenali sebagai Tuisyen Bahasa Inggeris mendapat sambutan menggalakkan sekali gus mendorong PTP melakukan perubahan serta penambahbaikan ke atas program yang dijalankan.

Jadi, pada tahun ini ada tiga program yang sudah dirangka iaitu Kelas Tutorial bermula Mac hingga November, Kem Intensif Bahasa Inggeris pada Jun dan Bengkel Komunikasi akan dijalankan pada Jun hingga November.

Kita berharap program yang dijalankan ini dapat membantu pelajar bukan hanya bertutur dan menulis dalam bahasa Inggeris tetapi yang paling penting adalah keyakinan mereka ketika bercakap dan menulis dalam bahasa tersebut," katanya.

Beliau berkata, lebih 400 pelajar tingkatan empat dari empat buah sekolah menengah terpilih di Gelang Patah bakal dipilih untuk memanfaatkan ketiga-tiga program yang dijalankan dengan kerjasama UTM dan Pejabat Pendidikan Daerah Johor Bahru.

Larian Frost the Trail di Iskandar Malaysia

Posted: 14 Mar 2014 11:16 AM PDT

NUSAJAYA 14 Mac - Acara larian Frost the Trail yang sudah lapan kali dianjurkan di Singapura dan empat kali di Kuala Lumpur kini buat julung kalinya dianjurkan di Iskandar Malaysia pada 13 April ini.

Cabaran korporat membabitkan perlumbaan dengan jarak sembilan kilometer (km) bagi kategori individu dan lima km bagi kategori berpasukan itu bertujuan mewujudkan kesedaran sosial dalam kalangan sektor korporat di Nusajaya.

Pengarah Urusan Asia Pasifik Frost & Sullivan, Manoj Menon berkata, bayaran dikenakan ke atas setiap penyertaan akan disumbangkan kepada OrphanCARE sebagaimana matlamat penganjuran sejak dimulakan di Singapura pada 2006.

Frost the Trail mempunyai matlamat untuk mewujudkan kesedaran pihak korporat terhadap alam sekitar menerusi pendidikan, pertandingan dan penyertaan.

Kejayaan Singapura telah mendorong penganjuran di Kuala Lumpur pada 2009," katanya dalam sidang akhbar di Hotel Traders di sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nusajaya, Dr. Zaini Abu Bakar.

Penganjuran Frost the Trail cabaran Iskandar Malaysia itu mendapat sokongan dan sumbangan daripada penaja serta penyumbang seperti Medini, i2M Ventures selain meraih sumbangan UM Land, Yayasan Mah Sing, Columbia Asia, IUVO Solutions, Level 3, iProperty dan Hotel Traders.

Selain itu, acara turut mendapat sokongan The Little Red Cube, Lucky Music, MCT, Top Stainless Steel, eBizway Research dan Princeton Hotel.

Menurut Manoj, semua peserta kategori individu atau berpasukan akan dilepaskan secara serentak ketika hari perlumbaan dan setiap empat anggota berpasukan akan dijumlahkan masa mereka dengan yang terpantas dipilih sebagai pemenang.

Menerusi acara ini, Frost & Sullivan berhasrat menyumbang semula kepada komuniti, meningkatkan kerjasama, menekankan kepentingan gaya hidup sihat selain menyediakan medium interaksi antara pihak industri korporat.

Kami berharap dapat menyediakan keperluan menerusi sumbangan derma 100 peratus kepada penerima iaitu OrphanCARE. Misi OrphanCARE adalah menempatkan anak yatim di tempat perlindungan yang selesa di samping khidmat jagaan bayi yang dibuang," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved