Jumaat, 21 Mac 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Peniaga diperintah bela diri

Posted: 21 Mar 2014 10:56 AM PDT

Oleh SHAHRINNAHAR LATIB
nahar.latib@utusan.com.my

DARI KIRI: ASNI Omar, Stephanie Foray

KUANTAN 21 Mac - Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan seorang peniaga kecil membela diri atas tuduhan membunuh pelancong wanita warga Perancis, Stephanie Foray yang mayatnya ditemui ditanam di sebuah gua, empat bulan selepas kejadian itu di Kampung Tekek, Pulau Tioman, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Seri Mariana Yahya memutuskan demikian hari ini setelah meneliti keterangan 44 saksi pendakwa dan berpendapat pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap tertuduh, Asni Omar, 33.

Dalam penghakiman setebal 41 muka surat, Hakim Mariana berkata, mahkamah telah menilai semua keterangan saksi terbabit sebagai material (berkaitan dengan kes) dan mempunyai kredibiliti yang tidak boleh tergugat.

"Tertuduh juga telah membawa pihak polis ke lubang di dalam gua di mana mayat mangsa dijumpai dan turut menunjukkan tempat tertuduh menyimpan barangan kepunyaan mangsa di rumahnya di Kampung Tekek.

"Pihak pendakwaan juga berjaya membuktikan kecederaan yang dialami oleh mangsa yang menyebabkan kematiannya," kata beliau.

Selain itu, menurutnya, darah mangsa dijumpai di dinding rumah tertuduh.

"Saya tidak melihat ada alasan yang menolak bahawa tertuduh memang bersama mangsa pada waktu tersebut," ujar beliau.

Hakim Mariana menetapkan 28 April hingga 9 Mei ini untuk Asni memberi keterangan bela diri.

Asni didakwa membunuh Foray, 30, di antara pukul 8 malam, 10 Mei 2011 dan pukul 12 tengah hari, 12 Mei 2011 di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Tekek, Pulau Tioman, Rompin.

Pertuduhan terhadap lelaki itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Tertuduh yang diwakili peguam bela Ibrahim Kamaruddin, Muhammad Hisham Abdul Rahim dan Datuk Ng See Teong pertama kali dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini pada 23 Ogos 2011.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan-Timbalan Pendakwa Raya, Salim Soid @ Hamid, Nor Azizah Mohamad dan Farahah Mohd. Nazari.

Yang turut hadir pada prosiding hari ini ialah ibu Foray, Irena Mortel dan Konsul Kedutaan Perancis di Malaysia, Stephanie Rouville.

Foray dari Bour En Bresse, Perancis, dilaporkan hilang pada Mei 2011 sebelum mayat mangsa dijumpai ditanam sedalam tiga meter di sebuah gua di Kampung Air Hantu, Pulau Tioman pada 8 Ogos tahun yang sama.

Mayat wanita yang belum berkahwin itu ditemui pada pukul 1 petang oleh polis ekoran penahanan dua lelaki warga tempatan pada 24 Julai 2011.

Dua dibebas selepas 29 bulan di penjara

Posted: 21 Mar 2014 10:56 AM PDT

ZUL Hafizul Mohd. Zaini (depan, kanan) dan Muhammad Neshril Rustam (kiri belakang) keluar dari Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.

KUALA LUMPUR 21 Mac — Tiada lebih menggembirakan dua sahabat selain mendengar keputusan mereka dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan merompak oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini, meskipun terpaksa meringkuk dalam penjara selama dua tahun lima bulan.

Zal Hafizul Mohd. Zaini, 25, dan Muhammad Neshril Rustam, 26, yang didapati tidak bersalah atas tiga pertuduhan, tidak dapat menahan perasaan gembira lantas memeluk ahli keluarga masing-masing yang hadir di galeri awam mahkamah.

Hakim K.M. Nithiyanantham membuat keputusan itu terhadap Zal Hafizul dan Muhammad Neshril selepas pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie bagi ketiga-tiga pertuduhan tersebut.

Ketika membaca keputusannya, beliau berkata, keterangan saksi pendakwaan bercanggah sehingga menganggu asas kes pendakwaan.

"Dua lelaki yang dikatakan merompak dalam mangsa adalah memakai topi keledar dan ekoran itu mangsa tidak dapat mengecam wajah mereka.

"Maka dengan ini kehadiran kedua-dua tertuduh ini di tempat kejadian tidak dapat dibuktikan," jelas beliau.

Nithiyanantham juga berkata, pegawai penyiasat dalam keterangannya bersetuju bahawa beg plastik yang dirampas daripada tertuduh-tertuduh bersama sepucuk pistol dan beg hitam tidak boleh dijadikan bukti pendakwaan.

Kata beliau, ini disebabkan oleh keterangan saksi polis itu di mahkamah bahawa pihaknya tidak menghantar pistol yang dijumpai bersama-sama tertuduh ke makmal untuk menjalani ujian cap jari atas alasan saksi tersebut telah memegang pistol tersebut ketika merampasnya.

Zal Hafizul dan Muhammad Neshril didakwa bersama-sama dua lagi yang masih bebas merompak Mohd. Firdhaus Abdullah, 24, dengan bersenjatakan revolver .38 dan melarikan beg silang yang mengandungi buku log syarikat Armour Security (M) Sdn. Bhd., kunci mesin pengeluar wang automatik (ATM) dan lesen senjata api.

Mereka juga didakwa melakukan perbuatan sama bersama-sama dua lagi yang masih bebas merompak wang tunai di dalam mesin deposit RM61,480 yang berada dalam kawalan mangsa.

Sementara itu, bagi pertuduhan ketiga, kedua-dua tertuduh bersama dua lagi yang masih bebas didakwa merompak beg mangsa yang sama, mengandungi sepucuk revolver .38, lima butir peluru, motosikal Honda EX5 dan buku Amanah Saham Bumiputera (ASB).

Kesemua pertuduhan itu didakwa dilakukan di Maybank Jalan Segambut Dalam, Sentul di sini kira-kira pukul 2.40 petang, 10 September 2011.

Pertuduhan-pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat 1971) dan dibaca bersama-sama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang boleh dipenjara seumur hidup dan sebatan enam kali.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nadiah Malek Fauzi manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Datuk Tan Hock Chuan.

Zal Hafizul dan Muhammad Neshril terpaksa ditempatkan di penjara sehingga kes selesai kerana pertuduhan mengikut Seksyen 4 Akta Senjata Api, tidak membenarkan tertuduh dijamin.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved