Isnin, 3 Februari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


PPDNKK Taiping kesan 91 kes langgar akta

Posted: 02 Feb 2014 10:13 AM PST

Oleh SYUKRI SHAARI
pengarang@utusan.com.my

Adlina Ropaie

TAIPING 2 Feb. - Pejabat Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (PPDNKK) Taiping mengesan 91 kes pelbagai kesalahan dengan nilai rampasan sebanyak RM58,615.10 dan kompaun berjumlah RM11,950 sepanjang bulan Januari lalu.

Ketua Cawangannya, Farah Adlina Ropaie berkata, sebahagian besar kesalahan yang berjaya dikesan pihaknya membabitkan pelanggaran Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 dengan catatan sebanyak 55 kes manakala Akta Timbang dan Sukat 1972 pula kedua terbanyak iaitu 24 kes.

Katanya, lain-lain kes membabitkan pelanggaran Akta Perihal Dagangan 2011 sebanyak tujuh kes, Akta Kawalan Bekalan 1961 dengan empat kes dan Akta Perlindungan Pengguna 1999 satu kes.

"Selain itu, berdasarkan jumlah kes berkenaan, 35 daripadanya dikesan sepanjang Ops Harga 2014 yang bermula pada 20 Januari lalu. Sepanjang tempoh operasi berkenaan dilaksanakan sehingga 31 Januari lalu, pihak kami berjaya mengesan 26 kesalahan dalam kalangan peniaga membabitkan Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011 serta sembilan kes lagi melibatkan Akta Timbang Sukat 1972.

"Nilai rampasan yang dicatatkan sepanjang tempoh berkenaan pula mencecah RM3,744.45. Operasi tersebut akan berterusan sehingga 9 Februari ini," katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan harga sempena Ops Harga 2014 di pasar raya Tesco di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Farah Adlina memberitahu, kesalahan paling ketara dilakukan oleh peniaga sepanjang tempoh Ops Harga dilaksanakan ialah gagal mempamerkan tanda harga pada barangan yang dijual.

"Selain itu, kesalahan lain yang sering dilakukan peniaga ialah menjual barang kawalan melebihi harga seperti ditetapkan dan juga menggunakan alat penimbang yang telah tamat tempoh," jelasnya.

Dalam pada itu, menurut Farah Adlina, sepanjang berlangsungnya operasi berkenaan, sebanyak 816 premis telah diperiksa oleh PPDNKK daerah setakat 30 Januari lalu.

"Daripada jumlah itu, 712 pemeriksaan membabitkan gerai-gerai di pasar malam. Selain itu, kami juga melakukan pemantauan di 35 kedai runcit, 23 kedai makan, 23 medan selera, 15 di pasar basah dan lapan di pasar raya," katanya.

Dewan SK Sungai Burong 80% siap

Posted: 02 Feb 2014 10:13 AM PST

PARIT BUNTAR 2 Feb. - Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Burong, Kuala Kurau yang diluluskan peruntukan pembinaannya oleh Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir pada tahun lalu, kini hampir 80 peratus siap.

Guru Besar sekolah itu, Khorsiah Idris berkata, pihaknya amat berterima kasih atas keprihatinan Zambry untuk membolehkan dewan berkenaan didirikan di atas tapak bekas sekolah lama demi kemudahan pelajar.

"Berkat kesabaran lima tahun menunggu, akhirnya impian untuk memiliki sebuah dewan sendiri bakal membuahkan hasil.

"SK Sungai Burong merupakan antara sekolah luar bandar tetapi terkenal dalam sukan hoki kerana ramai bekas pelajar kami telah mewakili peringkat daerah, negeri dan negara," katanya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri majlis sumbangan bantuan persekolahan kepada 290 murid sekolah berkenaan, di sini baru-baru ini.

Yang turut hadir, Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) SK Sungai Burong, Baharin Md Desa dan Naibnya, Abdul Malek Asli.

Dalam pada itu, Khorsiah berkata, bantuan persekolahan yang disumbangkan oleh kerajaan itu meliputi semua pelajar dari tahun satu sehingga tahun enam.

500 hadirin meriahkan majlis DPCP

Posted: 02 Feb 2014 10:13 AM PST

IPOH 2 Feb. - Lebih 500 pemimpin dan usahawan kaum Cina seluruh negeri ini hadir memeriahkan sambutan Tahun Baharu Cina anjuran Dewan Perhimpunan Cina Perak (DPCP) di sini semalam.

Sambutan turut diserikan dengan kehadiran Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Seri S.K Devamany dan Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Chenderiang, Datuk Dr. Mah Hang Soon.

Dalam ucapannya, Zambry mengharapkan agar sambutan itu akan terus diraikan oleh semua kaum bagi mengeratkan hubungan serta perpaduan.

"Kita dapat berkumpul dan meraikan perayaan ini walaupun berbeza latar belakang politik. Kita perlu terus memastikan keamanan dan kedamaian yang dikecapi negara ini terpelihara.

"Ini kerana keamanan jika hilang sukar untuk kita dapatkan kembali. Justeru, saya mahu kita kekalkan semangat ini dalam negeri Perak sehingga bila-bila dan ini adalah tanggungjawab kita semua," katanya.

Sementara itu, Pengerusi DPCP, Chai Wai Keong berkata, perayaan yang disambut tahun ini cukup bermakna apabila pelbagai kaum menghadiri majlis tersebut.

"Semoga tahun baharu ini memberi rahmat kepada semua dan keharmonian dapat terus dikekalkan di negara ini," katanya.

Tegasnya, DPCP telah menganjurkan lebih 40 aktiviti kebudayaan pada tahun lalu yang antara lain bertujuan memupuk semangat muhibah antara kaum selain menjana ekonomi negeri.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved