Isnin, 3 Februari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Membara ringankan beban rakyat

Posted: 02 Feb 2014 10:13 AM PST

Oleh FADZLY IZAB
utusanmelaka@utusan.com.my

Idris Haron (tiga dari kiri) menyampaikan bantuan persekolahan kepada murid Sekolah Rendah Agama JAIM Parlimen Tangga Batu di Pulau Gadong, Melaka, kelmarin.

MELAKA 2 Feb. - Program Membantu Rakyat (Membara) yang diperkenalkan Barisan Nasional (BN) pada tahun ini dilihat sebagai inisiatif berterusan kerajaan dalam usaha meringankan beban rakyat terutamanya mereka yang memerlukan.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, program yang merupakan kesinambungan kepada program Juara Rakyat yang diadakan sebelum ini bukti bahawa kerajaan BN sentiasa prihatin terhadap keperluan rakyat di pelbagai peringkat.

Menurutnya, walaupun baru berhadapan dengan Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) tahun lalu, kerajaan tetap terus prihatin memberi khidmat membela rakyat dalam apa juga keadaan.

"Ini jelas menunjukkan bahawa kerja yang dilakukan pemimpin parti ini (BN) tidak bermusim, malah terus dilaksanakan tanpa sebarang kekurangan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Membara 'Kembali Ke Sekolah' Peringkat Parlimen Tangga Batu di Dewan Serbaguna Rumah Awam 1 Pulau Gadong di sini semalam.

Yang hadir sama Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah; Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Klebang, Lim Ban Hong.

Kata Idris, selain program bantuan persekolahan kepada murid-murid di beberapa sekolah terpilih di negeri ini, pelbagai aktiviti lain turut diatur sepanjang tahun sempena Program Membara tersebut.

"Justeru, seluruh masyarakat diharap dapat terus memberi sokongan padu kepada kepimpinan BN bagi memastikan kemakmuran dan nasib rakyat di negeri ini terus dibela," ujarnya.

Sementara itu, seramai 198 murid dari 22 Sekolah Rendah Agama Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dipilih menerima bantuan peralatan dan beg sekolah serta RM50 setiap seorang dalam majlis berkenaan.

Tambah Idris, pemilihan murid dari sekolah rendah agama JAIM disebabkan telah banyak skim bantuan persekolahan lain disalurkan kepada murid di sekolah kebangsaan dan sekolah lain oleh kerajaan.

Aerodome Sungai Rambai jadi lapangan terbang

Posted: 02 Feb 2014 10:13 AM PST

MELAKA 2 Feb. - Aerodrome Sungai Rambai di Kampung Tasek dekat sini bakal menempa sejarah apabila akan dinaik taraf sebagai lapangan terbang sokongan kepada Lapangan Terbang Antarabangsa Melaka (LTAM) April ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Rambai, Datuk Hasan Rahman berkata, peruntukan bagi menaik taraf aerodrome sebanyak RM500,000 telah diluluskan oleh Kerajaan Pusat.

Menurutnya, peruntukan yang diperoleh itu akan digunakan bagi pembinaan menara kawalan, pejabat, cafe, hangar dan sebagainya bagi meningkatkan infrastruktur lapangan terbang Sungai Rambai itu.

''Masalah yang belum selesai ialah berkaitan pengambilan tanah berhampiran aerodrome seluas 0.45 hektar untuk pembinaan pelbagai infrastruktur termasuk membina menara kawalan baharu.

''Jabatan Penerbangan Awam (DCA) telah bersetuju untuk mengiktiraf Aerodrome Sungai Rambai sebagai lapangan terbang sokongan kepada LTAM.

''Ini satu pengiktirafan tertinggi sejak lapangan terbang ini dibuka 15 tahun lalu daripada sebuah landasan yang pendek dan telah dipanjangkan untuk memudahkan pesawat ringan mendarat," katanya di sini hari ini.

Hasan berkata, sebagai lapangan terbang sokongan itu, Aerodrome Sungai Rambai akan menjadi pendaratan pesawat ringan seperti Cesna 172 dan Fokker jika LTAM menghadapi masalah.

Menurutnya, masalah pengambilan tanah bagi pembinaan menara kawalan yang baharu di peringkat akhir rundingan dan ia dijangka selesai tidak lama lagi.

Katanya, apabila semua masalah itu selesai, kerja-kerja menaik taraf Aerodrome Sungai Rambai akan bermula dan ia dijangka memberi nafas baharu kepada lapangan terbang tersebut.

''Saya merancang untuk menjadikan Aerodrome ini untuk lokasi penggiat sukan penerbangan khususnya paramotor dan mikrolight bagi golongan belia menceburi bidang penerbangan," katanya.

Hasan berkata, landasan sepanjang itu akan terus menjadi tapak lokasi karnival udara Sungai Rambai Fly In 2014 sejak dianjurkan pada 1999.

Beliau berkata, penganjuran Sungai Rambai Fly In yang berakhir hari ini terus mendapat perhatian pengunjung walaupun ia tidak sebesar karnival udara di tempat lain.

''Saya bangga karnival ini sudah berusia 15 dan tetapi mampu menarik kedatangan pelbagai pesawat ringan dan menjadi perhatian penggiat sukan penerbangan," ujarnya.

Aktiviti daki gunung rancakkan sektor pelancongan

Posted: 02 Feb 2014 10:13 AM PST

Mohd. Khalid Yunus (kiri) bersama Tun Hairudin Abu Bakar (tiga dari kiri) menyampaikan hadiah kepada pemenang kategori Terbuka Wanita dalam Cabaran Menjejak Laluan Yam Tuan Antah 2014 di Hutan Lipur Gunung Datuk, Rembau, baru-baru ini.

REMBAU 2 Feb. - Menyertai Cabaran Menjejak Laluan Yam Tuan Antah 2014 di Hutan Lipur Gunung Datuk, dekat sini bukan sekadar memenuhi aktiviti sukan lasak semata-mata.

Ini kerana, ia lebih menyerlahkan tentang adat dan sejarah peninggalan nenek moyang seperti mana terdapatnya papan tanda yang diletakkan di kawasan gunung berkenan iaitu 'Nan senteng dilabuhkan, Nan panjang dikeratkan, Nan rumping disisipkan'.

Tambahan pula, sejarah bidalan itu terjadi apabila puncak gunung ini pernah digunakan oleh Dato' Perpatih Nan Sebatang untuk mengumpulkan ketua-ketua adat dan mengisytiharkan gelaran dan penyandang Dato' Lembaga pada tahun 1372.

Maka, dengan mekarnya sejarah tersebut, Persatuan Kembara Negara (PKN) meneruskan misi menjejaki laluan bersejarah ini melalui aktiviti sukan, yang mana merupakan sirkit pertama dalam Cabaran Gunung Negara 2014.

Presiden PKN, Datuk Mohd. Khalid Yunus berkata, biarpun setiap gunung menyimpan rahsia dan mitos tersendiri yang menjadikan sesebuah gunung itu unik dengan sejarah yang tersimpan berabad lamanya, namun ia kini sering menjadi lokasi beriadah dan menjalankan aktiviti sukan lasak.

''Maka pada cabaran di Gunung Datuk ini, kita dapat saksikan seramai 662 peserta telah menyertai aktiviti ini, yang merupakan sirkit pertama, sebelum diteruskan di Cabaran Gunung Bujang Melaka Antarabangsa, Kampar (Perak) pada 6 April depan.

''Kemuncaknya ialah di Cabaran Gunung Berembun Antarabangsa, Terengganu pada 6 September," katanya kepada Utusan Malaysia di kaki Gunung Datuk, dekat sini baru-baru ini.

Yang turut hadir Pengerusi Bertindak Jawatankuasa Pelancongan negeri, Tun Hairudin Abu Bakar.

Kata Mohd. Khalid, pada tahun ketiga ini cabaran ini, penambahan hadiah diperhebatkan di mana disediakan bagi wanita veteran berusia 40 tahun ke atas yang beraksi dalam kategori wanita terbuka.

''Hadiah khas turut diberikan kepada senior veteran lelaki yang berusia 55 tahun ke atas, selain hadiah misteri bagi mereka yang mendaftar dalam kumpulan seramai 20 orang ke atas," katanya.

Tambahnya, ini adalah sebahagian cara mempromosikan produk pelancongan tempatan terutamanya berkaitan pendakian gunung, yang sememangnya diminati peserta dalam dan luar negara.

Sementara itu dalam cabaran kali ini, kategori terbuka lelaki dimenangi Muhaizar Mohamad dengan catatan masa 1 (jam) 25 minit, manakala kategori terbuka wanita dimenangi oleh Nor Amelia Musa dengan catatan masa 1:41 minit dan kategori terbuka veteran dimenangi N. Devandran dengan catatan masa 1:30 minit.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved