Rabu, 12 Februari 2014

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Fenomena cuaca kering bermula

Posted: 11 Feb 2014 10:50 AM PST

oleh Ani Awang
utusanpenang@utusan.com.my

Azmi Tamat (kanan) menyerahkan replika kunci sebagai simbolik penyerahan Perodua Alza untuk kegunaan Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang di Perai, semalam.

BUKIT MERTAJAM 11 Feb. - Jabatan Bomba dan Penyelamat Pulau Pinang meletakkan kesemua anggota dan pegawainya dalam keadaan bersedia setiap hari bagi menjalankan operasi memadam kebakaran terutama kebakaran lalang dan belukar.

Pengarahnya, Azmi Tamat berkata, dalam keadaan cuaca yang kering dan kemarau yang sedang melanda sebahagian besar negara ketika ini, kebakaran amat mudah berlaku dan merebak.

Beliau berkata, sejak Januari lalu, pihaknya menerima antara 30 dan 40 panggilan kebakaran dengan kira-kira 80 peratus daripadanya adalah kebakaran lalang dan belukar.

"Kita minta orang ramai tidak melakukan sebarang pembakaran terbuka kerana api mudah merebak dalam keadaan sekarang," katanya di sini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Perhimpunan Tahunan 2014 di Ibu Pejabat Bomba Negeri di Bandar Perda di sini hari ini.

Pada majlis itu, Azmi turut menyerahkan empat kenderaan utiliti jenis Perodua Alza kepada empat zon di negeri itu untuk kegunaan rasmi jabatan berkenaan.

Menurut Azmi, peningkatan panggilan kecemasan melibatkan kes kebakaran amat ketara apabila pihaknya menerima 453 kes daripada keseluruhan 676 panggilan yang dibuat hanya bagi tempoh Januari tahun ini.

"Ini jelas menunjukkan kes kebakaran lebih banyak dilaporkan berlaku di negeri ini berbanding bulan-bulan yang lepas disebabkan oleh fenomena cuaca kering.

"Ketika ini boleh dikatakan setiap hari anggota dan jentera yang keluar untuk melaksanakan operasi memadam kebakaran tidak sempat pulang ke balai selepas operasi berkenaan selesai kerana mereka terpaksa dikejarkan ke lokasi lain bagi operasi yang sama," ujarnya.

Sementara itu, Azmi berkata, sepanjang tahun lalu, pihaknya menerima 4,245 panggilan kecemasan dengan 2,046 daripadanya melibatkan kes kebakaran dan 2,155 panggilan lagi merupakan panggilan menyelamat, selain 44 panggilan khidmat khas.

Menurut beliau, dalam tempoh itu juga, bomba berjaya menyelamatkan harta benda bernilai RM3.1 bilion daripada musnah dalam kebakaran manakala kira-kira RM50 juta lagi gagal diselamatkan.

Kedah catat 106 kes demam denggi

Posted: 11 Feb 2014 10:50 AM PST

Pembantu Kesihatan Awam Jabatan Kesihatan Daerah Kota Setar, Ahmad Termizi Tamat (tengah) memeriksa sampel air untuk mengesan jentik-jentik dalam Ops Gempur Aedes di Kampung Gunung Sali, Mergong, semalam.

ALOR SETAR 11 Feb. - Sebanyak 106 kes demam denggi dengan satu kematian dilaporkan di negeri ini dalam tempoh Januari sehingga 9 Februari lepas.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Ismail Abu Taat berkata, daerah Kuala Muda mencatatkan kes tertinggi dengan 61 kes diikuti Kota Setar sebanyak 13 kes.

"Selain itu, Kulim mempunyai 10 kes, Baling dan Kubang Pasu (masing-masing tujuh), Padang Terap (empat) dan Pendang (satu).

"Kami memandang serius perkara ini dan akan meneruskan usaha membasmi denggi secara berterusan. Selain penguatkuasaan, masyarakat juga diminta untuk memastikan kawasan persekitaran premis mereka bebas daripada pembiakan nyamuk aedes," katanya melalui satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau memberitahu, kes denggi menurun kepada 813 dengan satu kematian pada tahun lepas berbanding 817 berbanding empat kematian pada tahun sebelumnya.

Sementara itu, dua kompaun berjumlah RM1,000 dikeluarkan Pejabat Kesihatan Daerah Kota Setar menerusi Ops Gempur Aedes II 2014 yang dijalankan di sekitar kawasan Kampung Gunung Sali dekat sini hari ini.

Menurut Pegawai Kesihatan Daerah II, Dr. Aisyah Jusoh, kompaun itu dikeluarkan kepada dua pemilik kediaman di kampung tersebut yang didapati positif pembiakan aedes.

"Sebanyak 240 premis meliputi kawasan kediaman dan kilang telah diperiksa dalam operasi ini dan dua daripadanya yang didapati positif pembiakan aedes.

"Untuk itu, kita telah mengeluarkan dua kompaun mengikut Seksyen 13 (1) Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1975 yang mana setiap satu berjumlah RM500," katanya.

Tambahnya, dalam operasi yang melibatkan kira-kira 120 anggota penguat kuasa itu, pihaknya turut mengeluarkan satu notis di bawah Seksyen 8, akta yang sama kepada seorang pemilik kediaman.

"Biarpun pihak kami tidak menemui jentik-jentik, namun kawasan perkarangan rumahnya yang dipenuhi pelbagai barangan yang berpotensi menjadi lokasi pembiakan aedes.

"Melalui notis itu, kita beri tempoh tujuh hari kepada pemilik untuk membersihkan perkarangan rumahnya atau bakal dikenakan tindakan mahkamah," ujarnya.

Perlis catat lima kes kebakaran setiap hari

Posted: 11 Feb 2014 10:50 AM PST

Mohd. Salahuddin

KANGAR 11 Feb. - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perlis terpaksa menyelesaikan sekurang-kurangnya lima kes kejadian pembakaran jerami padi, belukar, bukit serta hutan kecil di negeri ini setiap hari.

Timbalan Penarahnya, Mohd. Salahuddin Isa berkata, kebanyakan panggilan untuk memaklumkan kes-kes tersebut diterima daripada orang awam yang bimbang kemungkinan pembakaran merebak ke kediaman mereka.

''Kebanyakan pemanggil ini tinggal di kawasan rumah kampung dan rumah teres yang berhampiran dengan kawasan sawah di sekitar Kangar, Padang Besar dan Arau," katanya.

Mohd. Salahuddin juga menegur sikap segelintir pesawah yang membakar jerami padi sehingga menghampiri jalan raya.

''Asap tebal api ini boleh menjejaskan penglihatan pemandu kenderaan di mana boleh mengakibatkan berlaku kemalangan," katanya.

Beliau berkata, kejadian pembakaran lalang antara jenis kebakaran tertinggi pada tahun lalu iaitu 145 kes dengan 69 kes di Kangar, Padang Besar (22), Arau (42) dan Kuala Perlis (12).

Tambahnya, kebakaran hutan pula sebanyak 19 kes dengan Kangar mencatatkan sebanyak 12 kes, Padang Besar (empat) dan Arau (tiga).

Ketika ditanya punca kebakaran melibatkan kawasan bukit dan hutan kecil, Mohd. Salahuddin berkata, selain pembakaran terbuka, kebakaran juga disebabkan daripada puntung rokok.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved