Rabu, 12 Februari 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Kim Swee panggil 3 muka baharu

Posted: 12 Feb 2014 11:52 AM PST

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
sukan@utusan.com.my

Kiri Nazmi Faiz, Badhri Radzi, Bobby Gonzales

KUALA LUMPUR - Tiga muka baharu dipanggil untuk menyertai skuad Harimau Malaya bagi pertemuan persahabatan antarabangsa menentang Filipina Mac ini.

Mereka ialah dua pemain Pahang iaitu Mohd. Hafiz Kamal dan Mohd. Khairul Azhan Mohd. Khalid serta Bobby Gonzales dari PDRM.

Turut berada dalam senarai 25 pemain itu ialah Baddrol Bakhtiar dari Kedah, Mohd. Badhri Radzi (Kelantan) dan Muhammad Nazmi Faiz Mansor (PKNS).

Pengendali sementara skuad Harimau Malaya, Datuk Ong Kim Swee memberitahu, Mohd. Khairul Azhan dan Badrol dipilih kerana mereka mempamerkan prestasi cemerlang dalam kempen liga musim ini.

"Badrol ada kelebihan tersendiri kerana dia mampu beraksi dalam banyak posisi dan itu merupakan satu kelebihan meskipun dia beraksi dalam Liga Perdana. Khairul juga menunjukkan peningkatan yang sangat baik.

"Saya akan cuba melakukan beberapa kombinasi di beberapa bahagian posisi bagi mencari keserasian dan kita akan lihat hasilnya sebelum memilih senarai 20 pemain untuk dibawa ke UAE (Amiriah Arab Bersatu) bagi perlawanan menentang Yemen bagi kelayakan Piala Asia 2015," katanya kepada pemberita di sini semalam.

Pemain Johor Darul Ta'zim (JDT) merupakan majoriti yang dipanggil ke dalam senarai awal itu iaitu Safee Sali, Mahalli Jasuli, Amri Yahyah, Aidil Zafuan Abd. Razak, Norshahrul Idlan Talaha, Safiq Rahim, Shakir Shaari, Fadhli Shas dan Nazrin Nawi.

Tiga pemain Selangor, Farizal Marlias, S. Kunalan dan Bunyamin Umar selain Azamuddin Akil serta Razman Roslan dari Pahang turut disenaraikan bersama dua pemain Kelantan, penjaga gol Khairul Fahmi Che Mat dan Ahmad Fakhri Saarani.

Tiga lagi pemain yang melengkapkan skuad Kim Swee ialah Muhammad Zubir Azmi (Terengganu), Putera Nadher Amarhan Maderner (Sarawak) dan Amiridzwan Taj Tajudin (ATM).

Kim Swee memberitahu, pemilihan Norshahrul dan Safee dibuat selepas melihat prestasi mereka berada pada tahap yang baik dan kedua-dua pemain itu masih memiliki sentuhan berbisa.

"Difahamkan Mat Yo (Norshahrul) mengalami kecederaan tetapi selepas saya lihat dia bermain di Johor, tahap kecergasan dia baik dan sentuhan masih berbisa sama seperti Safee, atas sebab itu kedua-dua mereka dipanggil menyertai pasukan ini.

"Ini merupakan barisan terbaik kerana pemain yang dipilih memiliki pengalaman yang luas dalam arena bola sepak antarabangsa dan kapten pasukan hanya akan dinamakan selepas mereka lapor diri untuk menjalani latihan sebelum perlawanan menentang Filipina dengan mengambil kira beberapa faktor," katanya.

Dalam pada itu beliau berkata, pemain Kelantan dan Selangor yang terlibat dengan perlawanan di peringkat Asia akan diberikan pelepasan untuk menyertai pasukan masing-masing sebelum menyertai semula skuad kebangsaan.

Sedia jadi pasangan Boon Heong

Posted: 12 Feb 2014 11:52 AM PST

Oleh FERZALFIE FAUZI
ferzalfie.fauzi@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Bekas juara remaja dunia dalam acara beregu, Ow Yao Han hanya menunggu dan berlatih seperti biasa selepas pasangannya, Teo Kok Siang sekarang ini sedang berehat selepas terlibat dalam kemalangan jalan raya di Johor dua hari sebelum sambutan Tahun Baharu Cina bulan lepas.

Yao Han yang muncul juara remaja dunia dua kali berturut-turut pada 2009 dan 2010, kini hanya menunggu keputusan daripada pihak pengurusan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tentang masa depannya ataupun rakan gandingannya.

"Saya diberitahu mereka (pengurusan) mahu memberi fokus kepada Piala Thomas 2014 terlebih dahulu, mungkin kalau ada mana-mana ruang yang kosong, saya boleh bergandingan dengan pemain tersebut," katanya kepada media selepas tamat sesi latihan di Stadium Juara, Bukit Kiara semalam.

Kok Siang patah siku kanan dan dijangka berehat selama tiga bulan. Ini meletakkan situasi dan hala tuju Yao Han untuk tahun ini masih lagi menjadi tanda tanya.

"Sekarang ini saya masih belum ada rakan gandingan tetapi saya kerap berpasangan dengan Tan Boon Heong ketika dalam latihan," katanya, sambil mengakui bersedia jika pihak pengurusan membuat keputusan untuk menggandingkannya dengan Boon Heong.

Boon Heong juga terpaksa berlatih tanpa rakan Koo Kien Keat yang masih lagi berehat kerana melakukan rawatan laser di bahagian mata setelah mengalami jangkitan kuman.

"Memang sangat bagus buat saya untuk bergandingan dengan Boon Heong kerana saya dapat belajar, jika diberi peluang untuk terus menjadi pasangan tetap juga saya bersedia.

"Bagaimanapun semuanya kena tunggu keputusan daripada jurulatih Pang Cheh Chang, saya tidak boleh cakap apa-apa, namun setakat ini banyak saya pelajari dari dia (Boon Heong). Dia ajar bagaimana untuk melakukan pukulan dan taktikal dalam perlawanan," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved