Rabu, 12 Februari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


MPK guna skuter mini elektrik

Posted: 12 Feb 2014 11:52 AM PST

Oleh Shahrinnahar Latib
nahar.latib@utusan.com.my

Zulkifli Yaacob (kanan) berjabat tangan dengan pemilik syarikat ZDA, Zulkifli Haron (kiri) sambil disaksikan oleh Ahli Majlis MPK, Datuk Dr. Abd. Wahid Abd. Manap di Kuantan, semalam.

KUANTAN 12 Feb. - Majlis Perbandaran Kuantan (MPK) bakal menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) yang pertama di Asia Tenggara menggunakan skuter mini elektrik yang dipanggil skyway untuk kegunaan penguat kuasa membuat rondaan di dalam bandar.

Teknologi terbaharu itu hasil perjanjian persefahaman antara MPK dengan Zull Design Autotronik (ZDA) yang akan berkongsi kaedah penghasilan inovasi mengikut kehendak semasa.

Menurut Yang Dipertua MPK, Datuk Zulkifli Yaacob, kerjasama strategik ini merupakan satu proses pembelajaran dari segi pemindahan teknologi daripada pihak ZDA kepada MPK.

"Sebagai sebuah PBT, kita perlukan banyak jenis peralatan untuk menambah baik perkhidmatan. Suka atau tidak suka, kita terpaksa gunakan teknologi untuk mudahkan membuat kerja," katanya.

Beliau berkata demikian dalam Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) antara MPK dengan ZDA di Taman Tasik Bandar di sini hari ini.

Yang hadir sama pemilik syarikat ZDA, Zulkifli Haron.

Menurut beliau, dengan menghasilkan produk inovasi sendiri melalui ZDA itu dapat mengurangkan 80 peratus kos harga pasaran berbanding jika membeli produk daripada pembekal luar.

Tambah beliau, untuk produk yang pertama, ZDA akan menyerahkan sebanyak lima buah hovercraft kepada MPK untuk ditempatkan di tasik ini bagi kegunaan orang awam.

"Selain itu, kita juga akan gunakan hovercraft ini ketika musim banjir untuk kerja-kerja menyelamat," katanya.

Dalam pada itu Zulkifli atau lebih dikenali sebagai MacGyver Malaysia berkata, beliau berharap menjelang akhir tahun ini pihaknya dapat membekalkan kepada MPK skyway bagi kegunaan kakitangan mereka.

"Saya akan usahakan untuk cipta skyway yang lebih murah berbanding jika dibeli dari syarikat luar negara.

"Selain itu, saya juga akan buat banyak produk-produk baharu untuk MPK dan dikilangkan di Kuantan kerana di sini banyak tenaga kerja," katanya.

Hanya dua PBT Pahang laksana Kaizen

Posted: 12 Feb 2014 11:52 AM PST

BENTONG 12 Feb. - Hanya dua daripada 11 pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini menyahut cabaran kerajaan negeri bagi melaksanakan program Kaizen dalam usaha melakukan transformasi berterusan.

Sehubungan itu, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Muhammad Safian Ismail meminta PBT yang belum menyahut cabaran tersebut segera melakukannya dalam usaha memberi perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.

"Pada masa ini hanya Majlis Perbandaran Kuantan dan Bentong sahaja melakukan perkara ini dan saya minta PBT lain kena buat Kaizen kerana ia merupakan satu perkara yang baik.

"Saya sudah lama minta perkara ini dilakukan di mana Kuantan telah memulakannya 10 tahun lalu, tetapi yang lain nampaknya masih begitu lagi (tiada perubahan)," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Pelancaran Projek Kaizen 2014 Majlis Perbandaran Bentong (MPB) dan penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2013 di Dewan Jubli Perak Sultan Haji Ahmad Shah di sini semalam.

Yang turut hadir, Yang Dipertua MPB, Mohammad Shahid Ismail dan Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Mohamad Mansor Mohamad Nor.

Menurut Muhammad Safian, pendekatan baharu juga boleh dilaksanakan dengan memastikan penglibatan menyeluruh warga PBT dan masyarakat dalam memakmurkan sesuatu kawasan.

Katanya, antara aspek yang dilakukan termasuk mempercepatkan lagi urusan dengan pelanggan serta pelaksanaan pelbagai kaedah baharu yang lebih cekap seperti pasukan pintar khas bagi menangani setiap aduan masyarakat.

Dalam pada itu, beliau berkata, pertukaran yang dibuat ke atas pegawai-pegawai kerajaan negeri bukanlah untuk menyusahkan mana-mana pihak.

Katanya, langkah itu dilihat menjadi antara pendekatan terbaik dalam meningkatkan lagi prestasi dan kecemerlangan sesuatu organisasi agar terus relevan dan diterima masyarakat.

"Kita buat pertukaran bukannya tidak suka seseorang itu tetapi demi perubahan dan kehendak semasa kerana kalau terlalu lama modal sudah habis, bila di tempat lain dia nampak idea baharu yang memberi manfaat kepada organisasi dan rakyat," ujarnya.

Terap pulihara alam sekitar kepada belia

Posted: 12 Feb 2014 11:52 AM PST

Mustapa Long (tengah) disaksikan pensyarah dan penuntut menanam pokok teduhan selepas melancarkan Kelab Pencinta Alam Sekitar di Kuala Lipis, baru-baru ini.

KUALA LIPIS 12 Feb. - Penuntut Institut Pendidikan Guru (IPG) diminta menghayati kepentingan penjagaan dan pemuliharaan alam sekitar agar perkara itu dapat diterapkan dalam kalangan generasi muda.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Padang Tengku, Datuk Mustapa Long berkata, pengetahuan itu amat penting untuk pendidikan di bilik darjah sama ada penyerapan menerusi mata pelajaran tertentu atau kegiatan kokurikulum.

Beliau berkata, sebagai sebuah institusi yang membentuk seorang guru profesional menerusi latihan pedagogi dan bidang tertentu, sudah tentu pengetahuan pendidikan alam sekitar antara elemen yang boleh membentuk sikap pelajar mengenai kehidupan pada masa akan datang.

"Usaha IPG Guru Kampus Tengku Ampuan Afzan (IPGKTAA) di sini mewujudkan Kelab Pencinta Alam Sekitar (KPAS) antara mekanisme terbaik bagi melestarikan kurikulum berkenaan.

"Kegiatan kelab ini melaksanakan program kesedaran di IPG dan di sekolah antara usaha memulihara ekologi di negara ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan KPAS di IPGKTAA Lipis di sini baru-baru ini.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved