Rabu, 12 Februari 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Tangkap haiwan ancam tanaman

Posted: 11 Feb 2014 10:50 AM PST

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

ISMAIL Mohamed (tiga dari kiri) melawat gerai jualan selepas merasmikan Majlis Pelancaran Pasar Masyarakat di Pusat Pembangunan Pertanian Sungai Sudah, di Sungai Balang dekat Muar, Johor, kelmarin.

MUAR 11 Feb. - Serangan haiwan terutama babi hutan dan monyet yang merosakkan hasil pertanian di negeri ini akan ditangani melalui cara menangkap serta melepaskannya semula ke belukar atau hutan simpan dan bukan dengan cara membunuhnya.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata, langkah itu adalah penyelesaian terbaik tetapi keputusan muktamad masih belum diputuskan berkenaan kaedah paling sesuai untuk menangkapnya.

"Mungkin salah satu caranya ialah dengan memasang perangkap. Kerajaan negeri Johor sedang berunding dengan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk mencari jalan terbaik bagi mengatasi ancaman haiwan berkenaan.

"Haiwan ini pula tidak boleh dibunuh sesuka hati kerana ia tertakluk kepada akta perlindungan di bawah Perhilitan. Justeru, kita tidak ada pilihan kecuali memindahkannya ke habitat semula jadinya," katanya selepas melancarkan Pasar Masyarakat di Pusat Pembangunan Pertanian Sungai Sudah, di Sungai Balang, dekat sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Balang, Zaiton Ismail dan Ketua Pergerakan Pemuda UMNO Bahagian Muar, Salehudin Satar.

Beliau mengulas rungutan petani berhubung masalah itu antaranya di Pagoh, Kota Tinggi, Segamat, Muar, Pontian dan Batu Pahat sehingga menjejaskan produktiviti sektor pertanian negeri ini sebagai pengeluaran makanan utama negara.

Ismail berkata, ancaman haiwan liar tersebut berlaku setelah kawasan habitatnya dimajukan menyebabkan binatang berkenaan kini berkeliaran dan memasuki kawasan kampung atau pertanian untuk mencari sumber makanan.

Beliau bimbang sekiranya ancaman itu tidak diatasi akan menjejas matlamat kerajaan negeri untuk menjadikan Johor mengekalkan kedudukan sebagai negeri pengeluar utama bahan makanan dan petani juga mengalami kerugian.

Sementara itu, beliau berkata, kira-kira 30 orang usahawan tani dan industri kecil makanan menyertai pasar masyarakat berkenaan khusus bagi kawasan Sungai Balang.

Menurutnya, kewujudannya merupakan salah satu usaha melatih usahawan kecil kampung memasarkan barangan mereka terus kepada pengguna tanpa melibatkan 'orang tengah' dan dengan cara itu keuntungan akan diperoleh lebih banyak.

Dalam majlis berkenaan, Ismail turut menyampaikan sijil usahawan kepada pengusaha kecil ternakan lembu, makanan sejuk beku, makanan ringan dan perusahaan kecil lain.

MPJBT sedia dinaik taraf jadi majlis bandar raya

Posted: 11 Feb 2014 10:50 AM PST

Sebahagian daripada Ahli MPJBT mengangkat sumpah diketuai Samat Atan di Dewan MPJBT Skudai, Johor Bahru, semalam.

JOHOR BAHRU 11 Feb. - Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) bersedia dinaik taraf menjadi sebuah majlis bandar raya, sekali gus dapat meningkatkan mutu perkhidmatan kepada masyarakat.

Yang Dipertuanya, Salehuddin Hassan berkata, proses menaik taraf itu bagaimanapun hanya dapat dilakukan selepas persempadanan semula kawasan pihak berkuasa tempatan (PBT) di negeri ini dilakukan terlebih dahulu oleh kerajaan negeri.

"Banyak manfaat yang bakal diperoleh selepas dinaik taraf menjadi majlis bandar raya kerana dapat meningkatkan kualiti perkhidmatan kepada rakyat dan memperkukuhkan pentadbiran.

"Oleh itu, kita berharap dapat menjadi sebuah majlis bandar raya sepenuhnya selepas ini, namun kita perlu memenuhi syarat dan kriteria yang ditetapkan," katanya dalam Majlis Angkat Sumpah Ahli Majlis MPJBT di Dewan MPJBT Skudai, di sini hari ini.

Salehuddin berkata, persempadanan kawasan PBT itu nanti bakal menyaksikan beberapa kawasan seliaan MPJBT akan diambil alih oleh Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) yang akan ditukar kepada dewan bandar raya.

Mengulas tentang majlis tersebut, beliau berkata, seramai 11 ahli majlis mengangkat sumpah jawatan tersebut bagi tempoh 1 Februari 2014 hingga 31 Disember 2015 diketuai Ketua Whip yang baharu, Samat Atan.

Beliau berkata, tujuh kekosongan jawatan tersebut yang sepatutnya diisi oleh wakil MCA dijangka akan dipenuhi selewat-lewatnya bulan depan.

Dalam pada itu, MPJBT memperoleh hasil kutipan termasuk hasil cukai berjumlah RM213.18 juta pada tahun lalu, melebihi sasaran sebanyak RM150.7 juta, katanya.

Menurutnya, wang tersebut akan digunakan termasuk bagi tujuan pembangunan dan menaik taraf prasarana serta infrastruktur di kawasan seliaan MPJBT.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved