Ahad, 16 Februari 2014

Utusan Online - Sukan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Sukan


Tetamu tidak diundang?

Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST

Oleh MUHAMMAD DAYNE AZMIN
dayne.ghazali@utusan.com.my

KUALA LUMPUR - Kehadiran Harimau Muda A di bumi Australia bagaikan kurang disenangi oleh media negara itu apabila surat khabar Brisbane Times menyuarakan kebimbangan bahawa Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland bakal dibayangi gejala rasuah dan mengatur perlawanan dengan penglibatan sindiket pertaruhan dari Asia.

Walaupun tidak dinyatakan sebarang bukti kukuh, berdasarkan artikel yang ditulis oleh Cameron Atfield, kemungkinan itu tetap ada berdasarkan pengakuan penjaga gol Geylang United dalam saingan Liga Singapura 2012, Yazid Yasin yang pernah didekati oleh pihak sindiket agar melepaskan jaringan ketika bertemu Harimau Muda A.

Pakar antarabangsa terhadap gejala mengatur perlawanan, Declan Hill, yang merupakan penulis buku 'The Fix and The Insider's Guide to Match Fixing' menjelaskan, penyertaan skuad kendalian Datuk Ong Kim Swee itu sebagai membuka pintu kepada Liga NPL Queensland ke arah korupsi dan isu rasuah.

Mengikut penjelasan Hill, ia berdasarkan kemungkinan Harimau Muda boleh meraih sebarang mata dalam aksi liga tetapi tidak dibenarkan beraksi pada perlawanan akhir, mungkin memberi risiko akan kehadiran sindiket untuk cuba mempengaruhi keputusan perlawanan.

''Jika anda bersaing dalam mana-mana liga, sudah tentu anda mahu mendapatkan kejuaraan dan jika tidak dibenarkan untuk menang, apa faedahnya mereka beraksi.

''Bagaimanapun seandainya ada mana-mana pemain yang berkata, adakah penting untuk mendapatkan keputusan yang baik? Dalam kes ini, mereka kemungkinan boleh membuka kepada pasukan lain mendapatkan kemenangan dengan cara mudah.

"Saya tidak faham mengapa pihak pengurusan liga membenarkan terma penyertaan seperti ini.

''Apa yang saya cakapkan ini memang satu kebimbangan berasas, jika anda menutup mata seseorang dan meletakkan pin di atas peta, Malaysia dan Singapura adalah nombor satu dan nombor dua apabila berbicara mengenai gejala mengatur perlawanan.

''Apabila pemain telah sampai umur 20 tahun ke atas, mereka sebenarnya telah terdedah kepada gejala seperti ini," katanya ketika ditemubual.

Apa yang diperkatakan Hill itu turut disokong oleh bekas jurulatih Far North Queensland Heat yang merupakan salah satu pasukan bertanding di NPL, Joe Fenech dan kini pengarah kejurulatihan Queensland Tengah.

''Penyertaan pasukan dari Malaysia sudah tentu menarik perhatian banyak pihak di sana untuk mengikuti perkembangan NPL dengan lebih dekat, jadi sudah tentu perkara-perkara seperti ini akan berlaku, " katanya.

Kenyataan yang dikeluarkan oleh Hill itu bagaimanapun disanggah oleh Ketua Pegawai Operasi Bola Sepak Queensland, Ben Mannion, yang berkata, tuduhan seperti itu seperti mengarut dan tidak adil kepada bola sepak Malaysia atau NPL.

''Kami telah menggunakan saluran yang betul iaitu melalui Persekutuan Bola Sepak Australia (FFA), Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bola Sepak Dunia (FIFA) selain Sportadar, satu badan antarabangsa di negara ini yang memantau aktiviti pertaruhan dan gejala mengatur perlawanan.

''Pihak NPL akan menghantar laporan kepada mereka dalam tempoh 48 jam selepas perlawanan termasuk perkara-perkara yang berlaku sepanjang perlawanan supaya apa-apa perkara yang dilihat pelik atau mencurigakan, akan diberitahu kepada FFA, " katanya.

Harimau Muda akan memulakan aksi sulung pada 8 Mac ini. Liga akan berakhir pada 30 Ogos dengan penyertaan 14 pasukan.

Mengikut format, anak-anak buah Kim Swee akan diberi mata jika menang atau mencatat keputusan seri, namun mereka tidak boleh beraksi dalam final yang dijadualkan pada September ini.

JDT segera alih tumpuan

Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST

Oleh NURUL HUDA HASSAN
huda.hassan@utusan.com.my

KEHADIRAN Bojan Hodak (kiri) memakai baju JDT ketika menonton perlawanan Liga Super di antara JDT dan Selangor di Stadium Larkin, Johor Bahru kelmarin menimbulkan tanda tanya. Turut kelihatan, Shebby Singh. - UTUSAN/RAJA JAAFAR ALI

JOHOR BAHRU - Biarpun mencatat kemenangan selesa ke atas gergasi Lembah Klang, Selangor 4-1 dalam perlawanan Liga Super kelmarin, namun Johor Darul Ta'zim (JDT) enggan dibuai mimpi, sebaliknya mahu segera mengalihkan fokus kepada satu lagi aksi genting menentang Kedah pada suku akhir kedua Piala FA, esok.

Menurut pengendali Harimau Selatan, Cesar Ferrando Jiminez, beliau berpuas hati dengan kejayaan membelasah Red Giants yang dianggap hasil kerja keras pemain.

Namun begitu, beliau tidak mahu berasa selesa dengan kemenangan tersebut, sebaliknya menegaskan, tumpuannya kini adalah kepada persiapan untuk menghadapi Kedah di Alor Setar.

Katanya, pertemuan dengan Kedah di Stadium Darul Aman penting kerana sudah beliau mahu pasukan bimbingannya mara ke pusingan seterusnya dan terus melakar kejayaan seperti diimpikan.

"Sama ada (Pablo) Aimar dan Aidil (Zafuan Abd. Razak) cergas untuk diturunkan atau tidak, itu perkara lain. Penting bukan pada nama, tetapi kesungguhan mereka di atas padang kerana pada saya semua pemain adalah penting buat pasukan.

"Kami akan memulakan sesi latihan esok (hari ini). Melihat sendiri segala keperluan dan seterusnya memikirkan mengenai perlawanan akan datang," katanya sambil memuji kesungguhan ditunjukkan anak buahnya sepanjang latihan.

Dalam perlawanan kelmarin, skuad Harimau Selatan dilihat sudah mula menunjukkan taring dan Jiminez mengakui, beliau bangga dengan semangat juang dipamer anak buahnya sepanjang 90 minit perlawanan.

Sementara itu, biarpun JDT mula menunjukkan aksi baik, namun spekulasi mengenai bekas pengendali Kelantan, Bojan Hodak bakal menggantikan Jiminez terus bertiup kencang apabila jurulatih dari Croatia itu dilihat muncul sekali lagi di Stadium Tan Sri Hassan Yunus, kelmarin.

Selepas menonton perlawanan di antara JDT II dan PBAPP dalam aksi Liga Perdana di Stadium Pasir Gudang, Jumaat lalu, Hodak tampil memakai baju JDT untuk menonton perlawanan pasukan itu menentang Selangor, kelmarin.

Beliau hadir bersama penganalisis bola sepak terkenal, Shebby Singh.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved