Ahad, 16 Februari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Denggi meningkat di Pahang

Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST

Oleh MOHAMAD SHOFI MAT ISA
shofi.isa@utusan.com.my

NOROL Azali Sulaiman diberi penerangan mengenai mesin penyembur nyamuk ketika melawat pameran dalam Majlis Pelancaran Combi Junior di Kempadang Perdana, Kuantan, semalam. Turut kelihatan, Dr. Abu Bakar Awang Ngah (kanan). - UTUSAN/AHMAD ZAKKI JILAN

KUANTAN 16 Feb. - Kes demam denggi yang dicatatkan di negeri ini bagi tempoh tujuh minggu pertama pada tahun ini adalah sebanyak 162 kes, meningkat sebanyak 71 kes berbanding hanya 91 dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Sumber Manusia dan Tugas-tugas Khas negeri, Datuk Norol Azali Sulaiman berkata, Kuantan merupakan daerah yang mencatatkan kes denggi paling tinggi iaitu 103 kes diikuti Jerantut (15), Temerloh (14), Maran (sembilan), Raub (enam) dan lima kes di Pekan.

"Antara punca berlaku wabak di kawasan itu adalah terdapat banyak tempat pembiakan nyamuk aedes di dalam rumah dan sampah dibuang merata-rata di kawasan perumahan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan Program Combi Junior Kempadang Perdana Peringkat Daerah Kuantan di Padang Awam Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kempadang Perdana, di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pegawai Daerah Kuantan, Datuk Norhayad Ahmad; Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Kesihatan Awam), Dr. Abu Bakar Awang Ngah dan Pengerusi KRT merangkap Pengerusi Combi Kempadang Perdana, Zakaria Ahmad.

Combi merupakan singkatan kepada Komunikasi Untuk Perubahan Tingkah Laku dan program itu bertujuan meningkatkan kesedaran tentang peranan, tanggungjawab dan penglibatan komuniti dalam pencegahan demam denggi.

Selain itu, program itu juga bertujuan memupuk tabiat dan tingkah laku positif yang mengutamakan kebersihan dan kesihatan dalam kalangan kanak-kanak serta remaja melalui penglibatan Combi Junior.

Norol Azali berkata, kerajaan negeri pada dua minggu lalu telah pun mengarahkan jawatankuasa di peringkat daerah diaktifkan untuk memantau dan melakukan program pencegahan denggi.

"Kita berperang dengan sikap masyarakat sendiri yang tidak berusaha menghapuskan tempat pembiakan nyamuk ini, sikap ini yang perlu kita ubah," katanya.

Penanaman padi di Paya Ladang dikaji

Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST

BERA 16 Feb. - Lebih 80 hektar tanah paya terbiar di Kampung Paya Ladang dekat Charuk Puting di sini berpotensi dimajukan dengan tanaman padi bagi menambah bekalan beras negara.

Sehubungan itu, Ahli Parlimen Bera yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengarahkan Jabatan Pertanian dan agensi berkaitan menjalankan kajian terperinci berhubung kesesuaiannya.

Menurut beliau, kawasan terbabit sebelum ini pernah ditanam dengan padi tetapi terbiar disebabkan kekurangan tenaga kerja produktif.

"Ini berikutan ramai dalam kalangan belia di daerah ini berkerja di luar menyebabkan penanaman padi di kawasan paya itu telah terbiar sekian lama.

"Jika sesuai ditanam padi kita akan majukan semula dan jika sesuai untuk ternakan ikan, kita akan usahakan bagi mendapatkan dana membolehkan paya terbiar itu diusahakan untuk kebaikan bersama," katanya.

Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan majlis Perjumpaan Pemimpin Bersama Rakyat, baru-baru ini.

Katanya, adalah sesuatu yang merugikan sekiranya membiarkan tanah subur tanpa dimajukan sedangkan usaha boleh dilakukan dengan menggunakan kepakaran serta teknik moden untuk mendapatkan hasil berganda.

"Kini segala-galanya terserah kepada rakyat kerana kerajaan hanya boleh menyediakan kemudahan dan bantuan menerusi pelbagai jabatan dan agensi berkaitan," tambahnya.

Sementara itu, beliau berkata, rakyat negara ini beruntung kerana kerajaan sentiasa membela nasib mereka dengan memberi pelbagai bentuk bantuan termasuk subsidi.

Beliau berharap rakyat akan turut sama membantu kerajaan dengan meningkatkan usaha serta daya saing demi kemakmuran negara.

Pemuda UMNO sumbang barangan persekolahan

Posted: 16 Feb 2014 10:48 AM PST

SHAHRUDDIN Ahmad (empat dari kanan) menyampaikan bantuan berupa beg sekolah kepada anak-anak yatim Maahad Tahfiz Muhammadi di Kuantan, semalam. Turut kelihatan, Tengku Muhammad Tengku Jaafar (tiga dari kanan).

KUANTAN 16 Feb. - Pemuda UMNO negeri menyampaikan sumbangan berupa barangan persekolahan kepada 17 pelajar anak-anak yatim Maahad Tahfiz Muhammadi yang terlibat dalam kebakaran kelmarin.

Sumbangan disampaikan Ketuanya, Shahruddin Ahmad kepada Pengetua Maahad Tahfiz itu, Tengku Muhammad Tengku Jaafar di tapak maahad di Bukit Rangin di sini semalam.

Shahruddin ketika ditemui berkata, antara barangan yang disumbangkan adalah beg, baju serta jubah untuk kegunaan pelajar anak yatim di situ.

"Kita turut menyumbangkan bantuan kewangan untuk mengurangkan beban penghuni maahad ini yang tinggal sehelai sepinggang.

"Sumbangan ini tidaklah sebesar mana, namun apa yang kami lakukan lahir daripada keikhlasan hati ahli-ahli Pemuda," katanya.

Kelmarin, maahad tersebut kerugian hampir RM400,000 selepas bangunan terdiri daripada dua buah asrama, kelas, pejabat dan surau, musnah dalam kebakaran.

Dalam kejadian kira-kira pukul 10 malam itu, tiada kemalangan jiwa kerana semua penghuninya sedang mengikuti kuliah di balai Islam di Permatang Badak, di sini.

Sementara itu, Shahruddin menggesa umat Islam di negeri ini dapat bersama-sama membantu membangunkan semula maahad tahfiz tersebut.

"Kita semua berasa sedih dengan kejadian yang menimpa maahad tahfiz ini tetapi kita perlu bersama-sama untuk membantu membangunkan semula pusat ilmu ini," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved