Ahad, 16 Februari 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Mata pencarian nelayan terjejas

Posted: 15 Feb 2014 10:12 AM PST

Oleh MOHAMAD FIKRI ROSLY
pengarang@utusan.com.my

Asmadi Jidin (tengah) ditemani Osni Sulong (kiri) dan Shukor Ismail menunjukkan Sungai Plentong yang dipenuhi sampah-sarap di Kampung Plentong Tengah, Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU 15 Feb. - Sejumlah 38 nelayan dari Kampung Plentong Tengah di sini mendakwa hampir hilang mata pencarian akibat pencemaran disebabkan pembuangan sampah-sarap di Sungai Plentong yang berlarutan selama setahun dan menjadi semakin meruncing sejak minggu lalu.

Ketua Nelayan Kampung Plentong Tengah, Asmadi Jidin, 68, berkata, warna air sungai berubah menjadi hitam dan menghasilkan selut yang luar biasa selain bau busuk, dipercayai pembuangan sampah sarap oleh penduduk.

"Ia mengakibatkan aktiviti menangkap udang dan ikan terjejas, malah sejak seminggu lalu air terlalu kotor. Jika dulu kami dapat bawa balik sehingga lapan kilogram udang dan ketam, sekarang ini mahu mendapatkan sekilogram pun sukar walaupun bekerja dari pagi sampai ke petang," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Dia yang menetap di kawasan tersebut sejak 40 tahun lalu berkata, pencemaran memburukkan lagi keadaan kerana sebelum ini hasil tangkapan telah pun berkurangan disebabkan penambakan pasir dan penebangan hutan bakau di situ.

Osni Sulong, 48, yang menjadi nelayan sejak di usia remaja berharap pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Alam Sekitar dapat memberi perhatian terhadap permasalahan yang berlaku sebelum melarat.

"Sungai bertambah keruh ketika paras sungai mulai surut dan dikhuatiri menjadi semakin teruk sekiranya tindakan pembersihan tidak dilakukan segera. Golongan nelayan berharap pencemaran yang berlaku mendapat perhatian sewajarnya dari pihak berwajib agar tidak berterusan," katanya.

Sementara itu rakannya, Shukor Ismail, 57, memberitahu, kebanyakan mereka kini terpaksa bergantung kepada wang simpanan untuk meneruskan kehidupan.

"Kami berharap masalah ini dapat diselesaikan segera agar nelayan di sini dapat meneruskan aktiviti menangkap ikan seperti biasa.

"Masalah ini bukan sahaja berlaku pada nelayan Kampung Plentong Tengah, tetapi juga mereka yang bekerja sebagai nelayan di kampung-kampung sekitar sini," katanya.

Punca ikan mati di Tg. Kupang diketahui minggu depan

Posted: 15 Feb 2014 10:13 AM PST

JOHOR BAHRU 15 Feb. - Punca pencemaran yang menyebabkan beratus-ratus ikan mati di sekitar Tanjung Kupang di sini bakal diketahui seawal minggu depan, kata Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani Negeri Johor, Ismail Mohamad.

Beliau berkata, pihaknya kini masih menunggu laporan sampel air dari Jabatan Alam Sekitar (JAS) dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi mengenal pasti punca sebenar yang menyebabkan kematian ikan secara besar-besaran itu.

"Kita dah minta LKIM dan JAS mengambil sampel air dan menilai apakah sebab berlakunya kejadian itu. Adakah akibat daripada penambakan atau sebab-sebab pencemaran lain," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini hari ini.

Khamis lepas, kira-kira 10 kolam ternakan ikan dan 250 nelayan tradisional dilaporkan mengalami kerugian akibat ikan mati yang dipercayai berpunca daripada kerja-kerja penambakan tanah luar pesisir.

Singapura juga dilaporkan mengalami masalah yang sama iaitu kematian ikan secara besar-besaran tetapi punca kejadian masih belum dikenal pasti.

Ismail berkata, setelah laporan sampel air itu diterima, kerajaan negeri akan mengenal pasti bantuan yang boleh diberi kepada nelayan-nelayan ini bagi meringankan beban kerugian mereka.

"Antaranya skim bantuan untuk membaik pulih ternakan ikan atau bantuan dari segi benih ikan," katanya.

Bagaimanapun, sekiranya punca pencemaran disebabkan kerja-kerja penambakan, kerajaan negeri akan memastikan pihak bertanggungjawab memberi pampasan yang sewajarnya kepada penternak dan nelayan terlibat. - BERNAMA

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved