Isnin, 10 Februari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


240 rumah PGBF di Sg. Koyan

Posted: 10 Feb 2014 10:44 AM PST

Oleh HARIS FADILAH AHMAD
utusanktn@gmail.com

Wan Rosdy Wan Ismail (dua dari kanan) melawat tapak Projek Perumahan Generasi Baharu Felda di Felda Sungai Koyan 1, Kuala Lipis, kelmarin.

KUALA LIPIS 10 Feb. - Hasrat generasi kedua Felda untuk memiliki rumah sendiri bakal menjadi kenyataan apabila 240 unit rumah di bawah Projek Perumahan Generasi Baharu Felda (PGBF) yang diselenggara oleh kerajaan negeri dan agensi itu di Felda Sungai Koyan dekat sini siap tidak lama lagi.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Perbandaran negeri, Datuk Wan Rosdy Wan Ismail berkata, projek berkenaan dilaksanakan menerusi dua fasa iaitu fasa pertama sebanyak 112 unit di Felda Sungai Koyan 1 manakala 128 unit fasa kedua pula terletak di Felda Sungai Koyan 3.

"Projek kediaman ini dijangka siap pada Jun ini untuk memberi peluang kepada generasi kedua memiliki kediaman baharu dan membina kehidupan lebih selesa.

"Kita menggunakan mekanisme terbaik untuk menyelesaikan masalah perumahan dalam kalangan generasi kedua yang sudah berkeluarga dan bekerja di sekitar tanah rancangan di sini," katanya ketika melawat tapak projek PGBF di Felda Sungai Koyan 1, dekat sini semalam.

Menurut Wan Rosdy, borang permohonan akan diagihkan kepada pemohon apabila projek itu siap dan hanya yang disenarai pendek dipanggil untuk temuduga.

Katanya, harga kediaman berkenaan ditentukan mengikut lokasi penempatan, kos infrastruktur dan penyelenggaran tapak.

Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri dan Felda menggunakan teknologi berasaskan sistem binaan berindustri (IBS) untuk memastikan sasaran projek dapat direalisasikan.

Wan Rosdy yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jelai berkata, kerajaan negeri dan Felda mengambil pendekatan berhati-hati terutama dalam menetapkan harga kediaman berkenaan.

"Harga ditawarkan nanti cukup relevan dan tidak membebankan selain berasaskan reka bentuk yang moden dan menarik sesuai dengan aspirasi mewujudkan generasi kelas menengah di kawasan tanah rancangan.

"Langkah itu sekali gus mengikis sikap pihak tertentu yang kerap memperlekehkan kerajaan negeri dan Felda dengan membuat tuduhan tidak mengambil berat generasi kedua di tanah rancangan negeri ini," katanya.

RM10 juta projek pertanian di Bera

Posted: 10 Feb 2014 10:44 AM PST

Ismail Sabri Yaakob menyampaikan hadiah kepada seorang penduduk dalam majlis ramah mesra bersama penduduk di Kampung Charuk Puting, Bera, kelmarin.

BERA 10 Feb. - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani memperuntukkan sebanyak RM10 juta bagi melaksanakan program pembangunan ekonomi secara komersial di daerah ini pada tahun ini.

Menterinya, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sebanyak RM5 juta diperuntukkan bagi pembangunan pertanian manakala bakinya untuk pembangunan industri kecil dan sederhana (IKS).

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bera berkata, projek dan peruntukan yang disediakan itu akan dilaksanakan dalam tempoh lima tahun bermula tahun ini.

"Sebuah jawatankuasa khas terdiri daripada jabatan serta agensi di bawah kementerian telah ditubuhkan bagi membolehkan projek tersebut dilaksanakan mengikut jadual.

"Jawatankuasa khas itu yang di pengerusikan oleh ketua setiausaha kementerian telah ditubuhkan bagi membolehkan setiap tahun sebanyak RM1 juta dibelanjakan bagi pembangunan pertanian dan RM1 juta untuk IKS," katanya ketika berucap dalam majlis ramah mesra bersama penduduk di Kampung Charuk Puting, di sini semalam.

Katanya, di bawah program lima tahun itu, mana-mana tanah terbiar yang berpotensi akan dimajukan dengan tanaman sesuai sama ada buah-buahan atau sayur-sayuran.

Tambahnya, penduduk juga digalakkan terlibat dalam projek ternakan membabitkan kambing, ayam, lembu, kerbau, burung puyuh dan lain lain.

"Dusun buah-buahan yang telah lama dan tidak mengeluarkan hasil akan ditanam dengan pokok pokok baharu yang benihnya dihasilkan oleh institut penyelidikan pertanian untuk meningkatkan hasil," katanya.

Katanya, kampung tradisi dan tanah rancangan Felda yang mempunyai ramai penduduk pula akan dibangunkan dengan projek IKS bagi menjana pendapatan sampingan.

Beliau turut mengarahkan agensi dan jabatan di bawah kementeriannya supaya turun padang bagi mengenal pasti tanah dan kawasan untuk dimajukan dengan projek komersial.

"Program ini merupakan usaha menjadikan Bera sebagai daerah pengeluar hasil pertanian dan IKS terkenal di negeri ini bukan sahaja untuk pasaran tempatan malah dieksport," katanya.

Waspada drama pembangkang

Posted: 10 Feb 2014 10:44 AM PST

TEMERLOH 10 Feb. - Barisan Nasional (BN) perlu berhati-hati dengan pelbagai taktik pembangkang termasuk drama perbalahan antara pemimpin mereka di Selangor menjelang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kajang, Selangor pada 23 Mac ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Mohd. Sharkar Samsudin, berkata, semua pihak tidak harus terpedaya dengan pelbagai provokasi yang dilakukan pembangkang sebaliknya terus memperkuatkan lagi parti dalam komponen BN.

"Kita jangan sesekali terpedaya dengan drama dibuat kononnya berlaku perselisihan faham antara mereka seolah-olah parti itu berpecah.

"Kita perlu terus bekerja membantu rakyat dan menguatkan parti. Apa sahaja keputusan sama ada bertanding atau tidak kita serahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak," katanya ketika ditemui pada majlis Sambutan Tahun Baharu Cina Taman KSM, di sini semalam.

Yang turut hadir, Ketua MCA Bahagian Kuala Krau, Yap Kar Fatt dan Ketua Pemuda MCA Bahagian Temerloh, Wong Tze Shiang.

Menurutnya, tindakan pembangkang mengosongkan kerusi itu merupakan pengkhianatan dan membazirkan wang rakyat.

"Tindakan ini juga menunjukkan pembangkang hanya bergantung kepada isu dan tidak ikhlas dalam membela nasib rakyat," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved