Isnin, 10 Februari 2014

Utusan Online - Agrobiz


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Agrobiz


Anngur tarikan baharu

Posted: 09 Feb 2014 10:32 PM PST

Oleh ASHRIQ FAHMY AHMAD
agro@utusan.com.my
Gambar Halim Khalid

POKOK anggur hidup subur di TATML, Kedah .

Anggur merupakan antara buah yang memiliki daya tarikan yang tersendiri dan hanya boleh ditemui di negara-negara beriklim sederhana, sejuk serta kering.

Kehadiran tumbuhan tersebut yang menjalar sambil buahnya bergayutan pasti akan menarik minat sesiapa sahaja.

Kini menerusi teknologi pertanian terkini, anggur boleh hidup subur di negara-negara beriklim tropika seperti Malaysia.

Kejayaan beberapa usahawan serta institusi penyelidikan dalam kajian dan pengembangan produk pertanian tersebut menjadi pemangkin kepada Taman Agroteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Langkawi (TATML), Kedah untuk menanamnya.

Idea asalnya adalah untuk menarik minat pelancong tempatan memenuhi taman tersebut untuk melihat sendiri teknologi penanaman anggur yang dilaksanakan oleh MARDI.

Menurut pengurus taman tersebut, Hashim Mat, pemilihan tanaman anggur adalah rentetan kejayaan penanaman yang dilakukan di sekitar Perlis.

Jika di Perlis anggur mampu hidup subur, pasti perkara yang sama dapat dilaksanakan di Langkawi, Kedah.

Kita sudah mulakan kajian teknologi penanaman anggur di sini hampir empat tahun dan kini usaha tersebut telah membuahkan hasil," katanya ketika di temui di TATML, Langkawi, Kedah baru-baru ini.

Jelas Hashim lagi, usaha menanam anggur dilaksanakan secara cuba jaya dengan pelbagai kaedah serta teknologi pertanian yang terdapat di MARDI.

Pada peringkat awal saya menggunakan beberapa varieti anggur dengan bilangan 30 pokok semuanya di rumah hijau percubaan dan hasilnya agak memberangsangkan.

Apa yang saya dapati dalam penanaman anggur, faktor utama yang perlu diutamakan adalah struktur pelindung dan kawalan pemangkasan yang sesuai mampu membuahkan hasil," katanya.

Selain daripada faktor tersebut, pengurusan rumpai juga penting bagi memastikan segala nutrien yang dibekalkan kepada pokok anggur.

Selain itu, struktur pelindung yang sesuai bagi tanaman anggur adalah sedikit tinggi bagi memastikan sistem pengudaraan berjalan lancar sekali gus mampu menurunkan kadar kelembapan yang tinggi.

Hal demikian kerana, keadaan yang lembap memudahkan pokok anggur diserang kulat terutamanya pada buah dan daun.

Projek penanaman yang dimulakan pada tahun 2011 kini telah membuahkan hasil apabila gugusan anggur yang bergayutan dapat dilihat memenuhi ruangan rumah hijau.

Dianggarkan hampir dua kilogram buah anggur dapat dihasilkan di dalam satu meter persegi kawasan penanaman jika kena pada musim dan tidak diserang kulat.

Antara varieti yang mengeluarkan buah dengan banyak adalah daripada Vitis spp. seperti IAC, Black Queen, Black Opal dan White Malaga.

Bagaimanapun pengeluaran buah anggur di taman tersebut masih di tahap awal dengan kadar saiz buah yang agak kecil.

Namun jelas Hashim, senario tersebut adalah biasa kerana saiz buah anggur akan beransur-ansur membesar seiring dengan kematangan pokok.

Buat peringkat awal ini buah yang keluar banyak namun sedikit kecil kerana selain varietinya yang sememang berbuah kecil, pokok anggur ini juga masih muda.

Pokok anggur dikatakan mampu hidup ratusan tahun jika kaedah penjagaan yang sesuai dipraktikkan," katanya.

Tempoh matang adalah sekitar satu setengah tahun dan setelah matang, pokok anggur perlu dipangkas keseluruhan daun serta batang yang berwarna hijau dengan meninggalkan batang matang yang berwarna coklat sahaja.

Potongan perlu dilakukan berdekatan dengan buku tunas pada batang yang berwarna coklat.

Tunas baharu akan muncul setelah dua hingga tiga minggu yang berbentuk daun serta bunga yang mana akan menjadi buah," katanya.

Kebiasaannya, gugusan buah anggur akan muncul setelah tiga hingga empat helai daun tumbuh dan gugusan buah akan berada berdekatan dengan buku tunas pada batang matang tersebut.

Kaedah pemangkasan yang betul akan memudahkan kerja-kerja menyelenggara pokok serta penuaian buah.

Buah anggur akan matang dalam masa 100 hari selepas pemangkasan dilakukan dan kadar masa matang buah tersebut berbeza mengikut varieti anggur.

Anggur tidak bermusim, justeru pokok anggur akan berbuah sepanjang tahun dan bagi memastikan anggur sentiasa berbuah pemangkasan perlu dilakukan selalu.

Bagaimanapun selepas dituai, kebiasaannya pokok anggur akan direhatkan dari dua minggu sehingga sebulan sebelum proses pemangkasan dilakukan semula.

Pokok anggur memerlukan kadar nutrisi yang secukupnya dan salah satu kaedah terbaik bagi memastikan pokok anggur sentiasa subur adalah menggunakan baja organik dan sedikit baja kimia sebagai tambahan.

Akar pokok anggur tidak boleh terendam lama di dalam air, justeru penggunaan batas adalah digalakkan bagi mengelakkan kejadian tersebut.

Benih anggur yang terbaik adalah daripada kaedah keratan batang matang yang berwarna coklat.

Setelah dipotong sepanjang satu kaki setiap satu, keratan tersebut boleh disemai ke dalam polibeg dengan memastikan buku tunas yang pertama terbenam di dalam tanah.

Pokok anggur boleh diubah ke atas tanah apabila keadaan akarnya telah benar-benar kukuh atau pengeluaran daun sebanyak tiga hingga empat helai.

Selain menggunakan polibeg, keratan batang anggur juga boleh ditanam terus ke atas tanah.

Teknik pengairan yang digunakan MARDI adalah sistem fertigasi dan anggur hanya memerlukan kadar siraman sebanyak dua kali sehari apabila cuaca agak kering dan sekali sehari apabila cuaca lembap.

Sehingga kini, tiada serangga perosak yang benar-benar mengancam pokok serta buah anggur namun kajian akan diteruskan bagi memperbaiki teknik penanaman anggur agar dapat mendatangkan hasil yang lebih baik pada masa akan datang.

Tambah Hashim, MARDI bercadang untuk menambah rumah hijau dengan struktur yang diperbaiki bagi tanaman anggur di taman tersebut sebagai tarikan utama pelancongan agro.

Selain mempamerkan kejayaan penanaman buah tersebut, TATML juga menawarkan khusus jangkamasa pendek selama dua jam bagi mempelajari kaedah serta teknologi penanaman anggur dengan kadar bayaran hanya RM20 seorang.

TATML pada awalnya dikenali sebagai Stesen MARDI Langkawi dan mula dibangunkan pada empat Ogos 1990 dengan pembukaan pejabat pentadbiran sementara di Taman Langkawi yang terletak tiga kilometer dari kawasan ladang kini.

Objektif asal penubuhan stesen tersebut adalah sebagai pusat pengeluaran buah-buahan dan sayur-sayuran untuk keperluan pelancongan di pulau tersebut.

Pada tahun 1995, Stesen MARDI Langkawi dilancarkan sebagai Langkawi Agro Park dan perasmiannya disempurnakan oleh Ketua Pengarah MARDI ketika itu, Datuk Dr. Mohd. Sharif Ahmad.

Kini TATML menerima hampir 75,000 pengunjung yang terdiri daripada pelancong asing dan tempatan.

Promosi pelancongan pertanian

Posted: 09 Feb 2014 10:32 PM PST

Sebahagian pelancong dari Timur Tengah menikmati buah-buahan yang disediakan di Taman Agroteknologi MARDI, Pulau Langkawi, Kedah baru-baru ini.

Sejajar dengan peningkatan kedatangan pelancong dari dalam dan luar negara yang melawat Taman Agroteknologi, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Langkawi (TATML), Kedah kini sedang merangka peningkatan prasarana di taman tersebut.

Taman yang asalnya dibina bagi menjalankan penyelidikan dan pusat pengeluaran buah-buahan serta sayur-sayuran untuk keperluan industri pelancongan di Pulau Langkawi kini sedang berubah menjadi sebuah kawasan pelancongan yang lebih menarik.

Menurut pengurus taman tersebut, Hashim Mat, pihaknya sedang meneliti pelbagai cadangan pembangunan seperti pertambahan teknologi pertanian yang terbaharu serta menyediakan infrastruktur yang lebih selesa bagi menarik minat pelawat terutamanya pelancong tempatan.

Pulau Langkawi merupakan antara destinasi pelancongan yang agak terkenal dalam kalangan rakyat negara ini, namun mereka (pelancong tempatan) kurang berminat untuk melawat ke sini.

Mungkin juga masyarakat kita sedia maklum tentang buah-buahan tropika dan tempatan menyebabkan mereka kurang teruja.

Oleh itu, bagi menarik perhatian pelancongan tempatan, TATML perlu mencari kaedah serta produk pelancongan yang mampu menarik perhatian mereka," katanya ketika ditemui di TATML, Pulau Langkawi, Kedah baru-baru ini.

Jelas Hashim lagi, kehadiran pelancong asing agak memberangsangkan dan TATML mencatatkan hampir 75,000 pelancong asing pada tahun lepas sahaja, namun kehadiran pelancong tempatan agak kurang sekitar 18 peratus daripada jumlah keseluruhan.

Biar pun kadar bayaran yang kita kenakan begitu rendah untuk pelancong tempatan namun mereka masih kurang tertarik mungkin kerana beranggapan buah-buahan tempatan biasa dijumpai di sekitar kampung halaman mereka.

Justeru, kami di pihak TATML sedang mengusahakan beberapa tanaman yang jarang ditemui di Malaysia seperti anggur serta teknologi pertanian baharu bagi menarik lebih ramai pelancong tempatan berkunjung ke sini," katanya.

Bagaimanapun, bukanlah aktiviti menikmati buah-buahan tempatan serta hiburan menjadi objektif utama semata-mata, sebaliknya, pengunjung turut diperkenalkan dengan teknologi pertanian yang terdapat di TATML.

Justeru, pelbagai lagi teknologi baharu akan ditambah dan dipamerkan di TATML untuk tontonan pengunjung seterusnya menarik minat masyarakat untuk lebih mengenali MARDI.

Pengurusan serta promosi TATML banyak dibantu oleh pihak Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA).

TATML sebelum ini telah melalui beberapa fasa pembangunan sebelum muncul sebagai destinasi agro pelancongan yang terkenal.

Semenjak dilancarkan, beberapa kemudahan infrastruktur dan produk pelancongan yang bersesuaian telah dibangunkan secara berperingkat termasuklah ladang buah-buahan, rumah tanaman, infrastruktur ladang, kenderaan pelawat dan laman tiba.

Kini TATML akan membangunkan kawasan penginapan khas buat pengunjung yang ingin bermalam dan melaksanakan aktiviti pada waktu malam di kawasan hutan sekitarnya.

Sebelum ini pihak TATML memang ada menyediakan tapak perkhemahan untuk aktiviti bermalam di sini, namun infrastruktur yang akan dibangunkan adalah merupakan penginapan yang lebih selesa.

Kita juga sedang mengkaji untuk membangunkan kawasan sekitar sebagai tarikan eko pelancongan pula kerana kawasan sekitar TATML ini juga turut dipenuhi tarikan alam semulajadi," katanya.

Dalam pada itu, kehadiran pelancong asing terutamanya daripada Asia Barat terutama Arab Saudi sedikit sebanyak mempengaruhi penampilan TATML.

Perkara tersebut turut diakui Pembantu Penyelidik Kanan, TATML, Abdul Kadir Din yang berkhidmat sebagai pemandu pelancong di pusat tersebut dan kini mampu bertutur dalam bahasa Arab dan Inggeris dengan agak baik.

Sebagai pemandu pelancong, pihak kami perlu sedikit sebanyak mengetahui bahasa pelancong agar menjadikan mereka lebih selesa ketika melawat.

Bahkan terdapat berapa pelancong yang kembali pada setiap tahun ke TATML kerana merindui gelagat kami sebagai pemandu pelancong yang melayan mereka selain daripada tarikan teknologi dan buah-buahan di TATML itu sendiri" katanya.

TATML turut keberjasama dengan beberapa institusi pengajian tinggi awam (IPTA) seperti Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Fakulti Pengajian Pelancongan dan Hospitaliti untuk mendapatkan kaedah terbaik dalam menawarkan khidmat kepada pelancong.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved