Isnin, 10 Februari 2014

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Demam denggi melonjak di Johor Bahru

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

Oleh HANIZA HASSAN
utusanjohor@utusan.com.my

Rahim Tumin (kanan) turut serta membersih sampah dalam Program Gotong-Royong Kebersihan Pencegahan Denggi di Taman Sinaran Kempas, Johor Baharu, semalam.

JOHOR BAHRU 9 Feb. - Jumlah kes demam denggi yang dicatatkan di daerah ini dalam bulan pertama tahun ini melonjak kepada 400 kes berbanding 182 bagi tempoh yang sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Dr. Rahim Tumin berkata, daripada jumlah berkenaan, 171 kes direkodkan berlaku di kawasan seliaan MBJB, berbanding 99 kes pada tahun lalu.

Beliau berkata, jumlah kes tersebut agak tinggi, apatah lagi baharu bulan pertama tahun 2014.

"Kerja-kerja memerangi denggi dan menghapuskan nyamuk aedes ini bukan sahaja terletak di bahu pihak berkuasa, malah memerlukan kerjasama daripada semua pihak terutamanya penduduk setempat.

"Pelbagai aktiviti pencegahan telah dilakukan MBJB termasuk menjalankan aktiviti tinjauan aedes di premis dan kawasan wabak serta semburan kabus," katanya selepas sesi taklimat Program Gotong-Royong Kebersihan Pencegahan Denggi di sini hari ini.

Program yang diadakan di Taman Sinaran Kempas di sini itu turut dihadiri Penolong Pengarah Sosial Kebudayaan dan Pelancongan Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan MBJB, Dzulfakarali Mohd. Junos.

Selain aktiviti gotong-royong, program anjuran bersama dengan Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Taman Sinaran Kempas turut dimeriahkan dengan pameran oleh beberapa agensi di bawah program Local Agenda21 MBJB.

Berdasarkan statistik, sebanyak 2,851 kes demam denggi direkodkan berlaku di daerah Johor Bahru sepanjang tahun lalu dengan 1,435 kes adalah di kawasan seliaan MBJB.

Rahim berkata, antara kawasan yang mencatat kes demam denggi adalah Taman Dahlia, Taman Sinaran Kempas, Taman Kenanga, Taman Skudai Kanan, Bandar Baru Permas Jaya, Taman Tampoi Indah dan Kampung Pasir.

Pembangunan pesat Johor sedia peluang pekerjaan

Posted: 09 Feb 2014 10:31 AM PST

R. Vidyananthan (depan, tiga dari kiri) bersama Chua Tee Yong (empat dari kanan), ketika menghadiri Pesta Pongal Parlimen Labis di Labis, Johor, kelmarin.

LABIS 9 Feb. - Pembangunan pesat di Iskandar Malaysia, Penggerang dan Desaru menyediakan banyak peluang pekerjaan kepada penduduk negeri ini, sekali gus mampu mengurangkan masalah pengangguran dalam kalangan rakyat.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan dan Sumber Manusia negeri, R. Vidyananthan berkata, selain pembangunan di tiga kawasan tersebut, kerajaan juga memperluaskan pelbagai program pembangunan di seluruh negeri yang turut menyediakan banyak peluang pekerjaan.

"Kerajaan menyediakan peluang kepada semua golongan dan kaum tanpa mengira kedudukan sama ada di bandar atau luar bandar secara adil untuk memperoleh peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor menerusi pembangunan yang dilakukan.

"Selebihnya terpulang kepada individu tersebut untuk merebut peluang yang terhidang. Mereka tidak harus memilih kerja berdasarkan minat, tetapi mengikut permintaan pasaran kerja," katanya selepas merasmikan Pesta Ponggal anjuran MIC Labis di Dewan Pasamanickam dekat sini semalam.

Yang turut hadir Ahli Parlimen Labis, Datuk Chua Tee Yong; Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tenang, Mohd. Azahar Ibrahim dan ADUN Tenggaroh, Raven Kumar Krishnasamy.

Vidyananthan berkata, sikap masyarakat yang lebih suka makan gaji juga antara penyumbang kepada peningkatan kadar pengangguran apabila bilangan pemohon melebihi jumlah jawatan kosong yang ditawarkan.

"Masyarakat harus bersedia untuk menceburi bidang baharu sebagai kerjaya seperti keusahawanan yang bukan hanya menyediakan kerja kepada diri, malah turut membuka peluang pekerjaan kepada orang lain," katanya sambil menasihatkan golongan penuntut membuat kajian tentang permintaan pasaran kerja sebelum memilih untuk menceburi sesuatu bidang.

"Ibu bapa boleh memainkan peranan dalam memandu arah mereka untuk memilih bidang pengajian berdasarkan pasaran kerja agar anak-anak tidak membazirkan masa dan wang mengikuti pengajian yang tidak menyediakan peluang pekerjaan.

"Sekiranya menceburi bidang yang tidak mempunyai pasaran kerja, kita bukan sahaja sukar mendapat peluang pekerjaan, malah tidak dapat membantu kerajaan menangani masalah pengangguran," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved