Isnin, 10 Februari 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


KL contohi kejayaan Copenhagen

Posted: 10 Feb 2014 10:44 AM PST

Oleh SITI AINIZA KAMSARI
kota@utusangroup.com.my

Ahmad Phesal Talib (kanan) dan Nicolai Ruge melihat pameran Copenhagen Solutions - Making Cities More Liveable Menara 1 Dewan Bandaraya di Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/HAFIZ JOHARI

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Kuala Lumpur akan mencontohi ibu negara Denmark, Copenhagen dalam usaha untuk menyelesaikan masalah kesesakan jalan raya dan kesan alam sekitar ibu kota.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Ahmad Phesal Talib berkata, sebelum ini bandar raya di negara tersebut juga mengalami masalah kesesakan trafik yang teruk akibat perkembangan ekonominya yang pesat.

Katanya, bagaimanapun, pada hari ini ia bukan sahaja bebas daripada masalah itu malah menjadi bandar raya paling hijau sehingga mendapat Anugerah European Green Capital 2014.

"Rahsia kejayaan itu apabila mereka mengamalkan aktiviti berjalan kaki, berbasikal dan menaiki kenderaan awam sebagai satu budaya yang juga berjaya meningkatkan tahap kesihatan warga Copenhagen.

"Jumlah kenderaan yang memasuki bandar raya itu berjaya dikurangkan iaitu daripada 284,000 buah pada tahun 2012 berbanding 350,000 buah pada 1970. Di Kuala Lumpur pula, setiap tahun hampir 30,000 hingga 40,000 kenderaan persendirian baharu memasuki ibu negara," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Pameran Copenhagen Solutions - Making Cities More Liveable di Menara 1 Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di sini, hari ini.

Yang turut hadir Duta Denmark ke Malaysia, Nicolai Ruge dan Ketua Pengarah DBKL, Datuk Mhd. Amin Nordin Abdul Aziz.

Ahmad Phesal memberitahu, sehingga tahun 2020 sebanyak 100,000 pokok akan ditanam di seluruh Kuala Lumpur dan Lembah Klang bagi memberi keselesaan dan teduhan kepada para penunggang basikal serta pejalan kaki.

"Selain itu, kita telah mempunyai laluan berjalan kaki berbumbung sejauh 42 kilometer di sekitar ibu negara dan ia akan ditambah dari semasa ke semasa.

"Kita juga memperkenalkan Penilaian Kesan Lalu Lintas bagi menentukan laluan-laluan untuk pejalan kaki dan berbasikal dalam setiap pembangunan dan pembinaan premis dan kawasan pada masa depan," ujarnya.

Jelasnya lagi, apabila projek transit aliran massa (MRT) siap sepenuhnya pada tahun 2017, warga kota boleh menunggang basikal ke stesen MRT dan kemudian menaiki kemudahan itu untuk ke tempat kerja.

Sementara itu, dalam ucapannya, Ruge berkata, Copenhagen kini meletakkan sasaran untuk menjadi bandar terbaik dunia bagi penunggang basikal.

"Kita menjangkakan hampir 55 peratus warga bandar raya itu menunggang basikal untuk ke tempat kerja atau ke sekolah pada 2015, sekali gus dapat mencapai matlamat menjadikan Copenhagen bebas daripada pencemaran karbon dioksida pada tahun 2025," katanya.

RM12 juta atasi tanah mendap

Posted: 10 Feb 2014 10:44 AM PST

Oleh MOHAMAD HARITH
MOHAMAD NIZAR
kota@utusangroup.com.my

PENDUDUK menunjukkan keadaan sebuah rumah yang retak ekoran tanah mendap di Kampung Pindah di Kampung Baru, Kuala Lumpur baru-baru ini.

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Kebimbangan penduduk Kampung Pindah di Kampung Baru di sini berhubung tanah mendap bakal berakhir apabila kerajaan memperuntukkan RM12 juta bagi melaksanakan kerja-kerja baik pulih kawasan berkenaan.

Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor berkata, pihaknya dan Perbadanan Kampung Baru (PKB) mengambil serius masalah yang dihadapi kira-kira 22 keluarga terlibat.

Kita akan selidik masalah yang berlaku di kawasan itu kerana tanah mendap itu dipercayai disebabkan oleh keadaan di bawah tanah rumah penduduk.

Bajet untuk kerja-kerja menaik taraf serta pembaikan kawasan itu juga telah diluluskan dan sekarang kita perlu meneliti beberapa perkara sahaja lagi," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri majlis Kenduri 1Wilayah Persekutuan bagi Parlimen Titiwangsa di Dewan Komuniti Bestari Wirawati 6, di sini semalam.

Yang turut hadir isterinya, Datin Seri Anggraini Sentiyaki; Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Johari Abdul Ghani; Ketua Pengarah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Mhd. Amin Nordin Abd. Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif PKB, Naharuddin Abdullah.

Sementara itu, Johari memberitahu, terdapat beberapa konflik timbul dalam usaha menyelesaikan masalah yang dihadapi penduduk kampung berkenaan.

Menurutnya, penduduk meminta pampasan dibayar kepada mereka sebelum sebarang kerja-kerja pembaikan dimulakan di kawasan itu, namun jenis pampasan yang dimaksudkan tidak dijelaskan secara terperinci.

Kita akan berbincang semula dengan penduduk terlibat untuk mengetahui pampasan yang dimaksudkan supaya kerajaan tahu apa yang boleh diberi kepada penduduk," katanya.

Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan tidak mempunyai sebarang niat untuk mengambil tanah penduduk di situ selain memajukan perkampungan Melayu itu.

Dalam pada itu, Naharuddin memberitahu, dalam tempoh dua minggu lagi, pihak PKB akan mengatur pertemuan dengan penduduk terlibat bagi membincangkan perkara itu.

Sebelum ini pada 24 Januari lalu Utusan Malaysia melaporkan mengenai kebimbangan kira-kira 22 keluarga di Kampung Pindah berhubung masalah tanah mendap sejak beberapa tahun lalu dan mahukan pembelaan pihak bertanggungjawab.

Masalah itu menyebabkan rumah mereka retak dan beberapa penduduk terpaksa mengosongkan kediaman masing-masing.

Susulan itu, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dalam kenyataan balasnya memaklumkan bahawa kerja-kerja membaik pulih kawasan itu dijangka siap sepenuhnya pada penghujung tahun 2015.

Timbalan Pengarah Bahagian Pengurusan Banjir JPS, Wan Mohd. Sulaiman Wan Ismail berkata, pihaknya dalam proses membuka tender bagi kerja-kerja tersebut.

Penduduk bantah bina jalan di tanah lapang

Posted: 10 Feb 2014 10:44 AM PST

PENDUDUK mendakwa pembinaan jalan di atas tanah simpanan kerajaan menyebabkan mereka sukar untuk menjalankan aktiviti harian.

KUALA LUMPUR 10 Feb. - Penduduk Kampung Pasir Hulu Kelang, dekat sini membantah pembinaan jalan di tanah lapang di Jalan Haji Mokhtar berikutan kawasan tersebut menempatkan empat buah gerai, taman permainan dan gelanggang sukan.

Utusan Malaysia difahamkan, projek itu merupakan susulan pembinaan sebuah blok pangsapuri yang terbengkalai dan dua lagi yang masih belum dibina.

Pengerusi Persatuan Belia Kampung Pasir Hulu Kelang, Bukhari Mohd. Thani berkata, sejak tanah milik kerajaan seluas 40 kaki itu di pagar pada 2012, penduduk menghadapi kesukaran untuk menjalankan aktiviti harian mereka.

Penduduk melakukan demonstrasi membantah pembinaan jalan di atas tanah lapang oleh syarikat pemaju di Kampung Pasir Hulu Kelang, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/FAIRUZ IZYANA AYUB

Kami kecewa kerana pengambilan tanah dan pembangunan tapak itu tidak dibincangkan bersama penduduk terlebih dahulu.

Pembangunan di sini terlalu padat sehingga tiada tanah lapang untuk penduduk berkumpul manakala kanak-kanak terpaksa bermain di atas jalan ekoran taman permainan mereka diambil," katanya selepas mengetuai bantahan bersama penduduk di Kampung Pasir, dekat sini hari ini.

Katanya, kawasan lapang yang merupakan tanah simpanan kerajaan itu sebelum ini dimanfaatkan bagi mengadakan pelbagai program kemasyarakatan seperti sambutan hari raya, Hari Kemerdekaan dan majlis perkahwinan.

Perkara ini telah dibawa kepada pengetahuan banyak pihak termasuk pejabat Menteri Besar Selangor, wakil rakyat dan juga Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) namun sehingga kini tiada tindakan diambil.

Kami tidak menolak sebarang pembangunan di kawasan ini tetapi janganlah bersifat berat sebelah sehingga memberikan kelebihan kepada pemaju dan menafikan keperluan masyarakat kampung," ujarnya.

Sementara itu, Pengerusi JKKKP Kampung Pasir, Mohd. Razi Ayop berkata, sebelum ini pelan asal pembinaan jalan tersebut tidak melibatkan tanah lapang namun ia ditukar kepada pelan baharu tanpa persetujuan penduduk.

Kita hairan pindaan pelan dibuat sedangkan pelan asal lebih baik kerana keluasannya lebih besar berbanding tanah simpanan kerajaan. Kita mahukan penjelasan terutamanya daripada MPAJ," tegasnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved