Selasa, 28 Januari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Bangunan MDJL disimbah cat

Posted: 27 Jan 2014 10:56 AM PST

Oleh SAJIDA ASARULAH KHAN
utusanN9@utusan.com.my

JEMPOL 27 Jan. - Logo Majlis Daerah Jempol (MDJL) di hadapan pejabat penguat kuasa di Bahau dekat sini, menjadi sasaran perbuatan khianat apabila disimbah cat merah awal pagi semalam.

Perbuatan itu disedari oleh orang awam pukul 9.30 pagi sebelum dimaklumkan kepada pihak MDJL.

Timbalan Ketua Polis Daerah, Deputi Supritendan Tukiman Seriman berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian tersebut kira-kira pukul 12.30 tengah hari.

"Seorang kakitangan MDJL membuat laporan mengenai kejadian tersebut dekat Balai Polis Bahau dan pihak kami telah menjalankan siasatan di lokasi berkenaan.

"Bagaimanapun tiada sebarang kamera litar tertutup (CCTV) berhampiran lokasi kejadian. Lokasi ini agak sunyi dan kita percaya suspek menyimbah cat awal pagi," katanya di sini hari ini.

Beliau berharap orang awam tidak membuat spekulasi berhubung kejadian tersebut atau mengaitkannya dengan mana-mana operasi yang dijalankan oleh penguat kuasa tersebut.

"Kita akan jalankan siasatan daripada pelbagai sudut dan amat memerlukan kerjasama saksi. Orang awam yang melihat kejadian tersebut diharap dapat tampil untuk membantu siasatan.

"Mereka boleh menghubungi pengawai penyiasat, Inspektor Jamilah Mohamad di talian 06-4582222. Kes ini disiasat di bawah seksyen 427 kanun keseksaan kerana khianat," ujarnya.

Dalam kes berasingan, Tukiman memberitahu, pihaknya menahan seorang lelaki berusia 30-an di Pasoh, dekat sini yang dipercayai cuba mencuri lembu kira-kira pukul 1 pagi, Rabu lalu.

"Suspek ditahan di rumahnya ekoran maklumat daripada pengadu yang melihat suspek membawa batang paip plastik dipercayai untuk menyuntik lembu pada 21 Januari, pukul 5 petang dekat sebuah kebun di Pasoh.

"Mangsa segera memeriksa ternakannya dan menemukan seekor lembunya dalam keadaan separuh sedar, disyaki disuntik ubat pelali. Suspek telah dituduh di Mahkamah Majistret Bahau hari ini," katanya.

Taman teknologi hijau ganti tapak pelupusan sisa pepejal Krubong

Posted: 27 Jan 2014 10:56 AM PST

Idris Haron (depan) meninjau tapak pelupusan sisa pepejal di Krubong, Melaka, semalam.

MELAKA 27 Jan. - Tapak pelupusan sisa pepejal seluas 25.49 hektar di Krubong bakal dijadikan taman teknologi hijau bagi memelihara ekosistem serta kelangsungan habitat di kawasan itu.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, projek yang menelan belanja lebih RM10 juta itu dijangka dibina secara berperingkat antara satu hingga tiga tahun.

"Pembinaan projek ini akan dimulakan setelah projek tapak pelupusan Sungai Udang siap dan segala aktiviti pembuangan sampah di tapak pelupusan Krubong ini akan dihentikan.

"Taman ini akan menjadi kawasan rekreasi bagi kemudahan penduduk di sekitar kawasan ini dan saya yakin projek ini akan mendapat sokongan daripada Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Pembangunan taman tersebut adalah subjek kepada penutupan tapak pelupusan ini dan kita tidak mahu ketika taman ini dibangunkan nanti, sampah masih lagi dibuang di sini," katanya kepada pemberita ketika mengadakan lawatan ke tapak pelupusan sisa pepejal di Krubong dan Sungai Udang, di sini hari ini.

Turut hadir, Pegawai Eksekutif Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (PPSPPA) negeri, Datuk Ab. Rahim Md. Noor; Datuk Bandar Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB), Datuk Zainal Abu dan Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ismail Othman.

Tapak pelupusan sisa pepejal di Sungai Udang yang sedang dibina, kini siap 58 peratus dan dijangka siap sepenuhnya pada September depan.

Tapak pelupusan seluas 12.14 hektar yang dibina dengan kos RM49.9 juta itu akan dilengkapi dengan kemudahan pelupusan sisa pepejal secara sanitari itu dijangka mampu menampung sisa buangan sehingga 900 tan sehari.

Wujud kawasan kediaman berkonsep teknologi hijau

Posted: 27 Jan 2014 10:56 AM PST

MELAKA 27 Jan. - Sebuah kawasan kediaman berkonsepkan teknologi hijau akan dibangunkan di Bandar Hijau Hang Tuah Jaya dekat sini dalam merealisasikan Bandar Teknologi Hijau menjelang 2020.

Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin berkata, pembangunan kawasan tersebut meliputi kediaman, rumah kedai, pusat perniagaan dan pelbagai infastruktur lain bagi melonjakkan lagi nilai kawasan berkenaan.

"Saya yakin ramai pelabur dalam bidang hartanah berminat untuk melabur memandangkan kawasan ini berdekatan dengan pusat pentadbiran kerajaan, pusat perniagaan, institusi pengajian tinggi (IPT) dan paling hampir pintu masuk ke Melaka (tol Ayer Keroh),

"Ini secara tidak langsung akan mewujudkan koridor ekonomi yang dapat menarik lebih ramai pelabur untuk melabur di kawasan ini dan seterusnya membantu mempercepatkan lagi pembangunan bandar hijau yang disasarkan," katanya semasa mengadakan lawatan kerja pembangunan projek hijau negeri di tapak Bandar Hijau Hang Tuah Jaya, di sini hari ini.

Yang hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau dan Inovasi negeri, Md. Rawi Mahmud dan Pengarah Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) negeri, V. Mohanadas.

Jelas Md. Yunos, kerajaan negeri turut akan memberi perhatian kepada beberapa perkara yang perlu diambil tindakan segera bagi meyakinkan pelabur untuk melabur di kawasan berkenaan.

"Ini termasuklah usaha menyiapkan lebih awal pusat pendingin hawa berpusat, tapak loji kumbahan berpusat serta beberapa kemudahan lain agar pemaju dan pelabur boleh mendapat perkhidmatan dengan keperluan teknologi hijau seperti yang diperlukan," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved