Selasa, 28 Januari 2014

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Remaja didakwa bunuh Noor Syafikah Nadia

Posted: 28 Jan 2014 11:03 AM PST

Mohd. Firdaus Mohd. Faridul yang menghadapi pertuduhan membunuh Noor Syafikah Nadia Abdullah di Mahkamah Majistret Alor Setar, semalam. - UTUSAN/ISMAIL KAMADIN

ALOR SETAR 28 Jan. - Seorang remaja berusia 19 tahun yang dikaitkan dengan kematian tiga beradik perempuan kini berdepan hukuman di tali gantung setelah dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan membunuh kakak mereka yang berusia 14 tahun di kawasan sawah di Kampung Alor Senibong dekat sini, November tahun lalu.

Mohd. Firdaus Mohd. Faridul didakwa dengan niat membunuh Noor Syafikah Nadia Abdullah di Kampung Alor Senibong, Mukim Tajar di sini antara pukul 9.30 malam dan 11.30 malam, 29 November 2013.

Dakwaan terhadap remaja yang memakai baju-T warna kuning dan berseluar jeans itu dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian itu, mayat Noor Syafikah Nadia iaitu Nur Izzati Husna, 12, dan Puteri Nurul Akma, 3, ditemukan dalam sebuah terusan di Langgar pada 1 Disember tahun lalu, kira-kira 3.5 kilometer dari tempat mayat kakak mereka ditemui.

Pada prosiding hari ini, tertuduh yang tidak bekerja hanya mengangguk tanda faham selepas pertuduhan dibacakan kepadanya oleh jurubahasa di hadapan Majistret Mohd. Khairul Hafizuddin Ramli.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh yang berasal dari Jalan Datuk Kumbar, Kampung Alor Semela di sini.

Mohd. Khairul Hafizuddin menetapkan sebutan semula kes pada 4 Mac ini sementara menunggu laporan forensik dan kimia siap.

Tertuduh juga tidak dibenarkan diikat jamin.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Nor Hasnita Wan Daud manakala Mohd. Firdaus tidak diwakili peguam bela.

Difahamkan seorang lagi remaja berusia 19 tahun yang ditahan berhubung siasatan kes berkenaan telah dibebaskan dengan jaminan polis setelah tempoh reman tamat hari ini.

Mayat Noor Syafikah Nadia ditemukan tertiarap dalam keadaan separuh bogel di kawasan sawah Alor Senibong kira-kira 3.45 petang pada 30 November tahun lalu.

Mayat Nur Izzati Husna dan Puteri Nurul Akma pula ditemukan dalam terusan MADA Kampung Padang Petani, Langgar pada keesokan harinya kira-kira pukul 4.50 petang.

Tiga beradik itu dikatakan keluar dari rumah mereka dengan menaiki sebuah motosikal kira-kira pukul 7.30 malam, 29 November tahun lalu untuk ke rumah seorang rakan Noor Syafikah Nadia di Kampung Gelam, yang berdekatan dengan kampung mereka.

Namun, mereka tidak pulang ke rumah sehinggalah mayat mereka ditemui dalam keadaan menyayat hati.

3 pegawai SPRM bebas tuduhan

Posted: 28 Jan 2014 11:03 AM PST

Oleh UMAVATHI RAMAYAH
pengarang@utusan.com.my

SEPANG 28 Jan. - Mahkamah Sesyen di sini hari ini melepas dan membebaskan tiga pegawai risik Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada sembilan tuduhan termasuk bersubahat melakukan rompakan, penipuan, penyamaran dan menyembunyikan rancangan rompakan terhadap tiga warganegara Singapura melibatkan wang tunai mencecah RM1 juta, tiga tahun lalu.

Hakim Ahmad Fairuz Mohd. Puzi membuat keputusan itu terhadap S. Vijayarao, 36, Wan Elfie Shafizy Wan Ahmad, 34, dan Aziz Jaafar, 51, selepas pendakwa raya gagal membuktikan prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mahkamah bagaimanapun memerintahkan ahli perniagaan, T. Sritharan, 35, yang merupakan tertuduh utama dalam kejadian rompakan itu membela diri terhadap tiga pertuduhan melakukan rompakan berkumpulan dan pertuduhan pilihan kerana menyamar sebagai pegawai SPRM.

Sementara bagi tiga pertuduhan melakukan penipuan dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai SPRM, kepada ketiga-tiga mangsa, Sritharan dilepas dan dibebaskan.

Keempat-empat tertuduh itu didakwa melakukan perbuatan itu ke atas Hameed Saadik Batcha, Abd. Rahman Maricar dan Mohamed Zakkariya Mohamed Shatik masing-masing melibatkan wang tunai AS$100,000 (RM320,000).

Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan di tandas lelaki bersebelahan Restoran Deli France, Tingkat 1, Bangunan Satelit Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini antara pukul 11 malam dan 11.25 malam, 15 September 2011.

Tiga pegawai SPRM itu yang pertama kali dihadapkan ke mahkamah tersebut pada 7 Oktober tiga tahun lalu itu, didakwa atas tiga tuduhan bersubahat melakukan rompakan berkumpulan bersama-sama Sritharan, dan seorang lagi yang masih bebas, D. Nagarajan, 37.

Mereka turut didakwa bersubahat dengan Sritharan menipu ketiga-tiga mangsa dengan memperkenalkan lelaki itu sebagai pegawai SPRM.

Pegawai-pegawai berkenaan turut didakwa atas tuduhan pilihan bersubahat dengan Sritharan yang melakukan penyamaran sebagai pegawai agensi berkenaan.

Vijayarao, Wan Elfie Shafizy dan Aziz juga didakwa atas tuduhan menyembunyikan rancangan rompakan yang didakwa dilakukan oleh kedua-dua lelaki berkenaan bertujuan memudahkan mereka melakukan jenayah.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan rompakan berkumpulan, Seksyen 419 bagi kesalahan menipu, Seksyen 170 dibaca bersama Seksyen 109 bagi kesalahan bersubahat melakukan penyamaran dan Seksyen 120 bagi kesalahan menyembunyikan rancangan rompakan.

Sementara itu, Sritharan didakwa melakukan rompakan berkumpulan bersama-sama Nagarajan terhadap tiga mangsa terbabit.

Sritharan turut didakwa atas tiga tuduhan melakukan penipuan dengan memperkenalkan diri sebagai pegawai SPRM dan tiga tuduhan pilihan kerana menyamar sebagai pegawai SPRM.

Pendakwaan dilakukan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan bagi kesalahan melakukan rompakan berkumpulan dan Seksyen 419 serta 170 kanun sama, masing-masing bagi kesalahan menipu dan penyamaran.

Mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Sementara mengikut Seksyen 419 Kanun Keseksaan pula, tertuduh boleh dipenjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya.

Dalam pada itu, Seksyen 170 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dengan sebatan dan juga denda sementara Seksyen 120 akta sama membawa hukuman penjara tidak lebih enam bulan atau denda atau kedua-duanya.

Pendakwaan yang dikendalikan oleh dua Timbalan Pendakwa Raya, Lailawati Ali dan Muhamad Iskandar Ahmad telah memanggil 36 saksi.

Tertuduh-tertuduh diwakili peguam Afifuddin Ahmad Hafifi dan M.M. Athimulan.

Sementara itu, kesemua tiga pegawai SPRM itu berjaya melarikan diri daripada lensa jurugambar dan jurukamera apabila menggunakan laluan khas mahkamah untuk keluar.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved