Selasa, 28 Januari 2014

Utusan Online - Pahang


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Pahang


Laksana tugas penuh etika, berkesan

Posted: 28 Jan 2014 11:04 AM PST

Oleh MOHD. FAIRUZ YUSOF
fairuz.yusof@utusan.com.my

ADNAN Yaakob (dua dari kiri) menyampaikan sijil kepada wakil kontraktor sambil diperhatikan oleh Hasnur Rabi'ain Ismail (kiri) dan Mohd. Soffi Abdul Razak di Yayasan Pahang di Kuantan, semalam.

KUANTAN 28 Jan. - Subkontraktor yang dilantik dalam penyenggaraan jalan raya di Pahang diminta melaksanakan tanggungjawab dengan penuh etika bagi memastikan projek yang diserahkan itu dijalankan dengan berkesan.

Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob berkata, ingatan itu diberikan kerana mereka dipilih berdasarkan prestasi dan kemampuan bagi menyelenggara jalan raya sebelum ini.

Menurut beliau, budaya mengalibabakan projek kepada pihak lain perlu dielakkan kerana tanggungjawab menyenggara jalan telah diberikan sepenuhnya kepada subkontraktor terlibat.

"Suka saya ingatkan subkontraktor yang dilantik ini diminta jangan menipu kerana masih ramai lagi di luar sana yang mahu terlibat dalam projek penyelenggaraan ini. Mereka yang dilantik ini diharap dapat melaksanakan tugas yang diamanahkan dengan baik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Surat Lantikan Subkontraktor Penyenggaraan Jalan-Jalan Negeri di Yayasan Pahang di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Asas dan Alam Sekitar negeri, Datuk Ir. Mohd. Soffi Abdul Razak dan Pengarah YP Maintainance Sdn. Bhd., Datuk Hasnur Rabiain Ismail.

Pada majlis itu, sebanyak 84 subkontraktor dilantik oleh YP Maintainance dalam menyenggara jalan raya di seluruh Pahang.

Dalam pada itu, Adnan memberitahu, kerajaan negeri membuat keputusan menyerahkan projek tersebut kepada anak syarikat di bawah Yayasan Pahang untuk memaksimumkan prestasi penyenggaraan jalan.

"Kita bukan menidakkan kemampuan Jabatan Kerja Raya, tetapi ini merupakan satu cara terbaik dalam memberi ruang kepada subkontraktor lain melibatkan diri dalam projek ini," ujarnya.

Menurutnya, keuntungan yang diperoleh anak syarikat itu dapat digunakan untuk tujuan pembiayaan pelajaran anak-anak Pahang sama ada yang masih bersekolah atau melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi (IPT).

Katanya, dengan adanya perkongsian ini diharap jalan raya dapat di senggara dengan baik dan sedikit sebanyak keuntungan diperoleh dipulangkan kepada kepada rakyat.

Denggi di Pahang meningkat 70.8 peratus

Posted: 28 Jan 2014 11:04 AM PST

SEORANG anggota Unit Kesihatan Persekitaran mengambil contoh jentik-jentik dalam bekas minuman ayam di satu kawasan pembinaan sewaktu Operasi Bersepadu Penguatkuasaan Undang-Undang Kesihatan Awam 'Ops Gempur Aedes' di Kuantan, Pahang, baru-baru ini.

KUANTAN 28 Jan - Kes demam denggi di negeri ini bagi tempoh 1 hingga 26 Januari lalu meningkat sebanyak 70.8 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr. Norhizan Ismail berkata, ini berikutan 82 kes denggi dicatatkan dalam tempoh berkenaan tahun ini berbanding 48 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Menurut beliau, daerah Kuantan mencatatkan kes demam denggi paling tinggi iaitu 51 kes diikuti Jerantut (tujuh), Temerloh (lima), Pekan (empat), Maran (lima), Raub (tiga), Rompin (dua), Bentong (dua) dan masing-masing satu kes di Bera, Lipis dan Cameron Highlands.

"Pada masa ini sebanyak lima lokasi dikesan sebagai kawasan yang aktif berlaku demam denggi di Kuantan iaitu di Taman Mutiara, Semambu Baru, Taman Balok Baru, Taman Pasdec Makmur, Indera Mahkota dan Taman Balok Makmur.

"Di antara punca berlaku wabak di kawasan itu adalah kerana terdapat banyak tempat pembiakan nyamuk aedes di dalam rumah dan sampah dibuang merata-rata di kawasan perumahan," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Katanya lagi, untuk itu, jabatan telah mengambil langkah pencegahan dan kawalan dengan melakukan semburan kabus ke atas 47,679 premis.

"Selain itu, sebanyak 17,834 premis telah dijalankan pemeriksaan dan 4,858 telah diletakkan pemusnah jentik-jentik. Daripada jumlah itu, sebanyak 268 premis telah ditemui terdapat tempat pembiakan aedes," katanya.

Beliau berkata, sehingga kini, sebanyak 87 kompaun dengan nilai RM43,500 telah dikenakan kepada orang ramai di bawah Akta Pemusnahan Serangga Pembawa Penyakit 1957.

"Sebanyak 49 notis Seksyen 8 telah dikeluarkan bagi arahan kerja pembersihan dan pemusnahan tempat berpotensi pembiakan aedes," katanya.

Dalam pada itu, beliau menyeru masyarakat supaya bertanggungjawab memastikan kawasan persekitaran rumah masing-masing dan tempat awam bebas daripada pembiakan nyamuk ini.

"Mereka diminta mendapatkan rawatan segera ke klinik atau hospital berdekatan jika mengalami demam yang kuat secara tiba-tiba disertai sakit kepada dan badan," katanya.

Kesedaran pemandu masih rendah

Posted: 28 Jan 2014 11:04 AM PST

BENTONG 28 Jan. - Kesedaran pemandu terhadap keselamatan jalan raya masih rendah apabila persepsi ditangkap melakukan kesalahan atau Perception of Being Caught (POBC) masih berada pada kadar 35 peratus berbanding negara-negara maju yang melebihi tahap 75 peratus.

Timbalan Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya (MKJR) negeri, Datuk Zakaria Man berkata, pelbagai perancangan dilakukan secara berterusan bagi meningkatkan lagi kadar POBC kepada 75 peratus menjelang 2020.

Katanya, dua cara utama dikenal pasti bagi meningkatkan kadar berkenaan ialah melalui kempen dan penguatkuasaan yang akan dilaksanakan secara berterusan.

"Mulai hari ini, kita akan melibatkan orang awam dalam setiap kempen seperti yang kita nampak hari ini melalui penglibatan pelatih Pusat Latihan Khidmat Negara (PLKN) dan Skuad Muda Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) bagi membantu kerajaan menyedarkan pengguna jalan raya.

"Dari segi penguatkuasaan pula antaranya ialah melalui pelancaran Op Selamat oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Op Musim Perayaan oleh pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)," katanya dalam sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kempen Bersepadu Keselamatan Jalan Raya Musim Perayaan Tahun Baharu Cina peringkat negeri di Plaza Tol Bentong di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Keselamatan Jalan Raya negeri, Mohd. Zairasyahli Shah Zakaria; Yang Dipertua Majlis Perbandaran Bentong, Mohammad Shahid Ismail dan Ketua Polis Daerah Bentong, Supritendan Mohamad Mansor Mohamad Nor.

Dalam pada itu, beliau yang juga Pengarah JPJ negeri memberitahu, antara modus operandi yang akan dilaksanakan JPJ dalam Op Musim Perayaan kali ini adalah dengan menempatkan anggota JPJ di seVtiap 30 kilometer jalan Persekutuan bagi memantau pengguna jalan raya.

Selain itu, katanya, pihaknya juga akan menempatkan anggota JPJ di setiap hentian rehat dan kawasan rawat dan rehat (R&R) di sepanjang Lebuhraya Pantai Timur (LPT).

Jelas beliau, dengan adanya penguat kuasa di jalan raya, kesedaran untuk takut melanggar undang-undang jalan raya akan meningkat seterusya mampu mengurangkan kadar kemalangan di negara ini.

Sementara itu, beliau berkata, kadar kemalangan di negara ini berada pada tahap yang tinggi apabila merekodkan jumlah kemalangan maut kira-kira 7,000 kes pada tahun lalu dengan purata 18 kematian sehari.

"Bayangkan kalau ada wabak lain dan 18 orang mati setiap hari, ia akan menjadi perkara yang luar biasa tetapi kematian akibat kemalangan jalan raya seramai 18 orang sehari, masyarakat pandang sebagai perkara biasa sahaja,"ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved