Khamis, 2 Januari 2014

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


Melaka sasar RM9 bilion

Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST

Oleh AMRAN MULUP
utusanmelaka@utusan.com.my

GHAZALE Mohamad (tiga dari kiri) menyambut sebahagian daripada 147 orang yang menaiki feri dari Dumai, Indonesia ke Melaka di Kompleks ICQS di Bandar Hilir, Melaka, semalam.

MELAKA 1 Jan. - Sebanyak 15 juta pelancong dari dalam dan luar negara dijangka akan mengunjungi Melaka sempena Tahun Melawat Malaysia 2014 (TMM 2014) dan mampu menyumbang RM9 bilion kepada pendapatan kerajaan negeri.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Pantai, Sungai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Mohamad berkata, beliau yakin sasaran tersebut dapat dicapai berdasarkan kedatangan pelancong sebanyak 11.64 juta orang dari Januari hingga Oktober lalu.

''Persiapan kita menyambut kedatangan pelancong menerusi pelancaran Kalendar Pelancongan 2014 malam tadi membuktikan kesungguhan kerajaan negeri.

''Pelbagai produk pelancongan di sekitar Bandar Hilir telah dipertingkatkan dari segala kemudahan untuk pelancong begitu juga pelbagai produk yang terletak luar dari bandar raya ini seperti di Sungai Rambai dan Kuala Linggi.

''Promosi yang kita lakukan dengan kerjasama semua pihak termasuk pengedaran risalah mengenai pelancongan di Melaka di setiap pintu masuk khususnya di Singapura, Johor begitu juga di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di Sepang," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menyambut 147 orang yang menaiki feri dari Dumai, Indonesia ke Melaka di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan Melaka (ICQS) di Bandar Hilir di sini hari ini.

ICQS adalah salah satu daripada 37 pintu masuk negara yang mengadakan sambutan serentak di seluruh negara sempena TMM 2014.

Yang turut hadir Pengarah Tourism Malaysia Melaka, Jeffry Munir; Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Sungai dan Pantai Melaka (PPSPM), Datuk Baharom Majid dan Pengurus Besar Perzim, Datuk Khamis Abas.

Ghazale berkata, kerajaan negeri turut menyasarkan peningkatan kedatangan pelancong luar negara daripada 20 peratus pada 2013 kepada 30 peratus tahun ini.

''Promosi besar-besaran melalui Tourism Malaysia yang mempunyai pejabat-pejabatnya di beberapa negara di dunia akan digunakan begitu juga promosi melalui laman web," katanya.

Sambutan Tahun Baharu di Negeri Sembilan meriah

Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST

SEBAHAGIAN daripada orang ramai menyambut Tahun Baharu 2014 di Dataran MPS Seremban, Negeri Sembilan, malam kelmarin.

SEREMBAN 1 Jan. - Orang ramai membanjiri kawasan padang Majlis Perbandaran Seremban (MPS) di sini bagi meraikan sambutan ambang Tahun Baharu 2014 dalam suasana muhibah dan ceria.

Kira-kira 10,000 rakyat pelbagai kaum hadir sejak pukul 8 malam tadi untuk bersama-sama meraikannya sebelum menyaksikan konsert yang dijayakan oleh artis-artis tempatan.

Rakyat hadir di padang MPS, selain di Dataran Seremban serta Dataran Senawang, atas semangat kenegaraan kukuh walaupun acara sambutan rasmi tidak dilakukan kerajaan negeri.

Acara kemuncak adalah persembahan bunga api selama lima minit, selepas artis-artis jemputan menyanyikan lagu Isabela di pentas utama.

Sementara itu di Felda Jaya, Bandar Baru Serting, Jempol kira-kira 5,000 orang berkumpul di situ untuk menyaksikan konsert artis tempatan sempena sambutan ambang tahun baharu.

Dalam pada itu, di Batu 4, pantai Saujana, Port Dickson pula, telah berlangsung pertandingan futsal yang disertai belia sementara menunggu sambutan ambang tahun baharu.

Dianggarkan kira-kira 3,000 orang telah membanjiri kawasan pantai peranginan itu untuk menyaksikan persembahan bunga api yang juga berlangsung selama kira-kira lima minit.

Turut kelihatan beberapa pengunjung berkelah dan berkhemah di pantai berkenaan bersama keluarga dan rakan, manakala gerai jualan terus dibuka sehingga awal pagi ini.

Kalendar Pelancongan Melaka 2014 dilancar

Posted: 01 Jan 2014 11:04 AM PST

MD. Yunos Husin (tengah) merasmikan Kalendar Pelancongan 2014 sempena Sambutan Ambang Tahun Baharu di Dataran Pahlawan, Banda Hilir, Melaka, malam kelmarin.

MELAKA 1 Jan. - Kerajaan negeri melalui Bahagian Promosi Pelancongan Jabatan Ketua Menteri melancarkan Kalendar Pelancongan Melaka 2014 di Dataran Pahlawan, Banda Hilir di sini malam tadi.

Kalendar Pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2014 itu mengandungi senarai 96 acara pelancongan yang bakal diadakan di negeri ini bagi rujukan orang ramai serta pelancong termasuk dari dalam dan luar negara.

Ketua Menteri, Datuk Seri Idris Haron berkata, daripada keseluruhan acara yang dirancang sepanjang 2014, 15 daripadanya merupakan acara utama pelancongan negeri.

"Antara acara menarik termasuk Raptor Watch Week 2014 pada 8-9 Mac di Tanjung Tuan, Festival Dram Archipelago Ke-17 (9-17 April) di Ayer Keroh, Festival Jemputan Sungai Melaka 2014 (22 Mei-22 Jun) di Dataran Sungai Melaka dan Sambutan Bandar Warisan Dunia UNESCO Ketujuh (7 Julai) di Jalan Kota," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan Pengerusi Jawatankuasa Pelajaran, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Teknologi Hijau di Inovasi negeri, Datuk Md. Yunos Husin.

Yang hadir sama Setiausaha Kerajaan negeri, Datuk Naim Abu Bakar; Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Sungai, Pantai dan Pulau-Pulau negeri, Datuk Ghazale Muhammad dan Pengurus Besar Bahagian Promosi Pelancongan Melaka, Abd. Kadir Md. Idris.

Menurut Idris, industri pelancongan merupakan penyumbang terbesar kepada pembangunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negeri.

"Menyedari kepentingan industri pelacongan kepada ekonomi negeri, kerajaan negeri telah merangka dan melaksanakan pelbagai usaha dan strategi untuk menarik kehadiran 15 juta pelancong ke negeri ini pada 2014.

"Kerajaan negeri yakin mampu mencapai sasaran berdasarkan prestasi kedatangan pelancong yang meningkat dari tahun ke tahun," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved