Khamis, 2 Januari 2014

Utusan Online - Kota


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Kota


Banjir boleh kerap berulang

Posted: 02 Jan 2014 11:09 AM PST

Oleh MUHAMAD AIMY AHMAD
kota@utusangroup.com.my

tebing Sungai Bakau telah runtuh dan ditumbuhi pokok yang boleh memerangkap sampah dan mengganggu aliran air apabila paras air sungai meningkat.

RAWANG 2 Jan. - Banjir kilat yang berlaku di beberapa kawasan perumahan berdekatan Jalan Batu Arang di sini bukan lagi perkara luar biasa kepada penduduknya kerana berulang kali dihadapi mereka.

Pelbagai faktor dikatakan menyumbang kepada kejadian itu, antaranya sistem perparitan dan saliran yang gagal disenggara dengan baik serta projek pembangunan yang tumbuh bak cendawan selepas hujan.

Tambahan pula, taburan hujan yang di luar kebiasaan di kawasan itu turut menjadi faktor musibah itu berlaku.

Pemerhatian Utusan Malaysia di lokasi yang sering berlaku banjir mendapati, perkara itu ada asasnya memandangkan sistem saliran yang wujud hanya mampu menampung jumlah air sebelum pembangunan pesat berlaku di kawasan itu.

Pembukaan kawasan perumahan baharu terutamanya di lokasi yang lebih tinggi pastinya memberi kesan kepada kediaman sedia ada yang dibina di kawasan lebih rendah.

Kesannya, aliran air tidak dapat disalurkan ke tempat yang sepatutnya memandangkan ketiadaan kolam tadahan yang mampu menampung hujan serta sistem penyerapan semula jadi yang telah terhakis.

Wakil penduduk Kampung Sungai Bakau, Ismail Harun berkata, mereka bukan sahaja menjadi mangsa banjir kilat tetapi keladak yang dibawa hujan menyebabkan kediaman dipenuhi lumpur setiap kali banjir berlaku.

LONGKANG besar yang mengalirkan air ke Sungai Bakau, Rawang, Selangor dipenuhi dengan sampah sehingga mengganggu kelancaran alirannya apabila hujan lebat. - UTUSAN/SAFIYANA SALIM

"Dahulu ada kawasan paya di sini tetapi telah ditimbus untuk pembangunan menyebabkan air terkepung dan seterusnya memasuki rumah penduduk," katanya.

Dalam kejadian banjir paling buruk kira-kira pukul 5.30 pagi, Selasa lalu, sebanyak 100 penghuni di kawasan terlibat terjejas selain empat buah kereta turut ditenggelami air yang naik setinggi 0.5 meter.

Kejadian itu turut mengakibatkan ribuan pengguna jalan raya yang melalui Jalan Batu Arang berhampiran pusat beli-belah Aeon Rawang terkandas untuk ke tempat kerja kira-kira pukul 7 pagi.

Tambah Ismail, pihak berkaitan perlu mengambil tindakan segera menangani masalah di situ kerana kesannya bukan hanya kepada beberapa buah keluarga yang terlibat.

"Mereka perlu melihat kejadian itu turut membabitkan beribu pengguna jalan raya yang melalui jalan utama di sini terkandas untuk ke tempat kerja.

"Mungkin mereka menggangap perbelanjaan untuk 'menyelamatkan' rumah mangsa banjir tidak berbaloi tetapi bagaimana dengan orang ramai yang tidak boleh bergerak, bukankah juga memberi kesan kepada produktiviti negara," luahnya.

Khidmat rel semakin popular

Posted: 02 Jan 2014 11:09 AM PST

KUALA LUMPUR 2 Jan. - Kadar penggunaan pengangkutan awam di Lembah Klang terus meningkat terutama semasa waktu puncak sebelah pagi, demikian menurut kajian tahunan Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD).

Kajian itu menunjukkan peratus penggunaan pengangkutan awam pada 2013 ialah 20.8 peratus, meningkat 1.2 peratus daripada 19.6 peratus pada 2012.

SPAD dalam satu kenyataan hari ini memaklumkan, jumlah perjalanan yang dibuat semasa waktu puncak sebelah pagi juga meningkat sembilan peratus kepada 5.7 juta perjalanan pada 2013 berbanding 5.3 juta perjalanan tahun sebelumnya.

"Pada 2013, penumpang dalam tempoh puncak sebelah pagi setiap hari ialah 827,000 berbanding 635,000 pada 2012," jelas kenyataan itu.

Kajian itu juga mendapati penumpang rel bandar juga melepasi penumpang bas memandangkan rel menyumbang 52 peratus bagi pengguna pengangkutan awam.

Menurut kenyataan itu, penumpang semasa tempoh waktu puncak sebelah pagi bagi KTM Komuter meningkat kepada 51,200 pada 2013 berbanding 34,700 pada 2012 (meningkat 48 peratus); LRT kepada 21,500 (2013) daripada 15,400 (2012) (meningkat 40 peratus); monorel kepada 192,200 (2013) daripada 136,700 (2012) (meningkat 40 peratus) dan penumpang Express Rail Link (ERL) kepada 6,200 tahun lepas berbanding 4,800 pada 2012 (meningkat 29 peratus).

Peningkatan itu adalah hasil beberapa inisiatif yang dilakukan kerajaan dan dilaksanakan oleh SPAD dan operator pengangkutan awam termasuk 470 bas baharu RapidKL, 1,388 hentian bas baharu/diubahsuai dan bermulanya operasi Hentian Akhir Bandar (HAB), jelas kenyataan itu.

Antara inisiatif utama yang dilaksanakan dalam perkhidmatan rel ialah menambah 35 empat set gerabak dalam laluan LRT Kelana Jaya dengan kekerapan waktu ketibaan bagi tempoh puncak sebelah pagi kurang daripada tiga minit manakala 37 enam set gerabak ditambah dalam perkhidmatan KTM Komuter dengan kekerapan waktu ketibaan dikurangkan daripada 30 minit kepada 15 minit.

Kenyataan itu memaklumkan sistem pemantauan berkala SPAD bagi mengukur dan meningkatkan kualiti perkhidmatan menyebabkan peningkatan dalam prestasi tepat masa KTM Komuter semasa tempoh waktu puncak sebelah pagi daripada 79 peratus pada 2012 kepada 96 peratus, November lepas.

SPAD akan terus melaksanakan langkah-langkah bagi meningkatkan dan menambah baik perkhidmatan bas bagi menampung bilangan penumpang yang meningkat setiap hari, kata kenyataan itu.

Suruhanjaya itu juga akan meneruskan usaha bagi menambah baik pengangkutan awam di Greater Kuala Lumpur (GKL) dan negara amnya.

"Usaha sedemikian termasuk meningkatkan kesalinghubungan antara pelbagai jenis pengangkutan awam bagi memastikan perjalanan yang lancar bagi para pengguna, pengenalan sistem tiket bersepadu dan sistem tanpa tunai dan meningkatkan keseluruhan rangkaian pengangkutan awam dan pengalaman di peringkat permulaan dan penghujung perjalanan para pengguna pengangkutan awam.

"Dengan itu, kita akan berada pada satu kedudukan untuk mencapai 40 peratus penggunaan seperti yang dihasratkan dalam Pelan Induk Pengangkutan Awam Darat GKL/Lembah Klang," kata kenyataan itu. - BERNAMA

Prasarana lancar program bantu pelajar

Posted: 02 Jan 2014 11:09 AM PST

Masnizam Hisham (tudung merah) bergambar bersama tenaga pengajar dan 30 murid yang menerima penajaan Prasarana dalam majlis di Sekolah Kebangsaan PPR Lembah Subang di Petaling Jaya, Selangor semalam.

PETALING JAYA 2 Jan. - Syarikat Prasarana Negara Berhad (Prasarana) hari ini melancarkan Program Mengubah Perjalanan Hidupku dengan mensasarkan 30 murid Sekolah Kebangsaan PPR Lembah Subang, dekat sini bagi mencapai kecemerlangan akademik sepanjang tahun 2014.

Pengarah Kumpulan Divisyen Perkhidmatan Infrastruktur Prasarana, Masnizam Hisham berkata, program yang julung kali diadakan itu bertujuan membantu murid-murid yang terpilih yang terdiri daripada masing-masing sepuluh pelajar tahun enam, lima dan empat untuk mencapai kejayaan cemerlang dalam peperiksaan.

"Selain mendapat bantuan peralatan sekolah termasuk pakaian, kasut dan beg sekolah, mereka juga akan mendapat bantuan tuisyen sepanjang tahun 2014 oleh tenaga profesional untuk mata pelajaran Matematik, Sains dan Bahasa Inggeris.

"Program ini adalah satu pendekatan baharu dalam program tanggungjawab sosial korporat (CSR) kami untuk sekolah-sekolah. Program ini akan diteruskan ke sekolah-sekolah lain jika program yang diadakan di sekolah ini berjaya," katanya kepada pemberita selepas melancarkan program tersebut di SK PPR Lembah Subang, dekat sini hari ini.

Sementara itu, Guru Besar sekolah itu, Firdaus Abu Haniffa berkata, beliau gembira kerana Prasarana memilih sekolahnya untuk program tersebut.

"Saya berharap murid-murid dapat memanfaatkan bantuan yang diberikan seterusnya berjaya memperoleh keputusan cemerlang dalam peperiksaan terutamanya Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR).

"Melalui program ini juga diharap murid-murid dapat mengubah kehidupan mereka pada masa akan datang kerana rata-rata mereka datang daripada keluarga yang berpendapatan sederhana dan rendah," ujarnya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved