Khamis, 2 Januari 2014

Utusan Online - Keluarga


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Keluarga


Gajet ibarat pengasuh kedua

Posted: 02 Jan 2014 07:04 AM PST

Oleh SITI AISHAH YUSOFF
Gambar HALIM KHALID

Dr. Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar

MEMILIKI gajet-gajet pintar seperti ipad, tablet, telefon mudah alih dan sebagainya, satu keperluan dan semakin penting dalam kehidupan seharian.

Penggunaan dengan cara yang betul, mendatangkan banyak manfaat kepada individu terutama dalam memudahkan urusan harian.

Begitu pun, gajet ini juga mendatangkan kesan negatif terutamanya kepada kanak-kanak jika pemantauan tidak dilakukan dengan betul.

Ini termasuk kesan terhadap kesihatan dan perkembangan kanak-kanak yang jika tidak dibendung akan mendatangkan kerosakan dalam jangka masa panjang.

Konsultan Paedetrik dan Neonatalogist, Dr. Mohammad Iqbal Mohammad Sarwar berkata, penggunaan gajet seperti telefon pintar, komputer dan sebagainya tidak dinafikan mempunyai banyak kesan negatif berbanding positif kepada kanak-kanak yang menggunakannya tanpa pemantauan daripada ibu bapa.

Katanya, kanak-kanak yang bermain dengan aplikasi yang terdapat dalam gajet pintar seperti permainan video dan sebagainya, lebih daripada dua jam akan menjejaskan penglihatan mata sekaligus boleh menyebabkan mata mereka menjadi kabur dan rabun.

"Bagi mereka yang menggunakan alat ini dalam keadaan postur berbaring atau duduk terlalu lama akan mennyebabkan tulang belakang menjadi sakit. Hal ini akan meningkatkan risiko bongkok pada usia yang muda.

"Bagi kanak-kanak yang berusia lima tahun ke atas, jika mereka terlalu obses dengan permainan dan aplikasi dalam ipad turut menjejaskan tumpuan pembelajaran mereka semasa di dalam kelas.

"Mereka akan hilang fokus kerana asyik teringat kepada permainan dalam gajet berkenaan. Dari segi pergaulan dan komunikasi pula, kanak-kanak ini akan menjadi lebih pendiam, kurang penyabar dan kemahiran komunikasi yang tidak baik di antara orang terdekat dan rakan-rakan di sekeliling serta penguasaan tutur kata yang tidak berkembang," ujar Dr. Mohammad Iqbal ketika ditemui di Kpj Damansara Specialist Hospital, di Damansara, Kuala Lumpur.

Beliau menganggap ibu bapa yang membiarkan anak mereka leka dengan permainan dalam gajet-gajet pintar dalam jangka masa terlalu lama tanpa pantauan dengan alasan menjadikan gajet tersebut sebagai 'pengasuh kedua' adalah salah.

"Berdasarkan perbincangan, waktu tertentu untuk kanak-kanak menggunakan gajet seperti ipad, mereka tidak bersepakat untuk bersetuju terhadap masa dan had-had tertentu kanak-kanak dibenarkan bermain dengan gajet.

"Satu kajian kesihatan kanak-kanak dari Amarika Syarikat menyatakan bahawa penggunaan gajet seperti ipad dan tablet kepada kanak-kanak yang berumur dua tahun ke atas adalah tidak sesuai kerana boleh melemahkan otot jari dan tangan kanak-kanak yang diperlukan untuk menulis.

"Disamping itu, disarankan agar penggunaannya tidak lebih daripada dua jam sehari. Bagi kanak-kanak di bawah umur dua tahun pula lebih baik tidak menggunakan langsung gajet-gajet tersebut," katanya.

Menurut Dr. Mohammad Iqbal, walaupun kesan buruknya lebih jelas, ada juga sebahagian ahli-ahli psikologi tidak bersetuju dengan kajian tersebut dengan alasan ia terlalu ketat kerana penggunaan gajet ini juga bergantung kepada kanak-kanak yang menggunakannya untuk tujuan pembelajaran.

"Sebagai ibu bapa yang prihatin lebih baik kiranya mereka menentapkan undang-undang dan masa tertentu untuk anak-anak mereka bermain dengan gajet tersebut.

"Contohnya, mereka mula me netapkan waktu selama dua jam untuk anak mereka bemain berserta dengan aplikasi permainan yang dimuat turun bersesuaian dengan umur kanak-kanak tersebut.

"Seeloknya, untuk pemantaun lebih baik mereka turut bersama-sama anak mereka menggunakan gajet tersebut. Contohnya untuk permainan yang membina seperti aktiviti membaca dan permainan menguji minda boleh disertai bersama-sama," jelasnya.

Selain itu, penggunaan gajet juga boleh digunakan sebagai ganjaran atau hadiah meningkatkan semangat untuk belaja.

Contohnya, bagi memberi ganjaran apabila berjaya menyiapkan sesuatu tugasan, ibu bapa boleh lebihkan masa penggunaan gajet kepada tiga jam sehari bergantung juga pada keadaan dan situasi.

Tambahnya lagi, jika dilihat kesan penggunaan gajet-gajet pintar ini dari segi positif pula, ia dapat membantu kanak-kanak tersebut belajar untuk menguasai bahasa kedua.

"Manakala aplikasi seperti non interaktif seperti youtube dan permainan video tidak dinafikan banyak melalaikan kanak-kanak sekaligus mendatangkan kesan buruk dari segi emosi, psikologi, fizikal dan social jika penggunaan dalan jangka masa yang terlalu lama," katanya.

Jelajah dunia dengan basikal

Posted: 02 Jan 2014 07:04 AM PST

Faizal Tarihhuddinn (tengah) bersama Dr. Wan Suraya Tunku Syed Yahya (kiri) dan Anwar Anis pada temubual yang berlangsung di Pantai Hospital Kuala Lumpur, baru-baru ini.

MENYANDANG jawatan sebagai seorang Pengurus Teknologi Maklumat (IT) di Hospital Pantai Kuala Lumpur(HPKL) selama setahun, anak sulung daripada tiga beradik ini, masih tidak berasa puas dengan rutin hariannya walaupun sering diselang-seli dengan menyertai aktiviti lasak pada waktu lapang.

Faizal, yang berasal dari Kota Kinabalu, Sabah, inginkan sesuatu yang lebih mencabar diri sekaligus menjadikan dia berbangga dan puas dengan pencapaiannya suatu hari nanti.

Justeru, tindakan berhenti kerja sesuatu yang dia sendiri jangkakan dan sudah difikir semasak-masak demi memenuhi impiannya yang satu, iaitu menjelajah dunia dengan menunggang basikal secara solo.

Faizal telah memulakan pengembaraan solonya ke destinasi pertama, Turki, pada 23 Disember lalu bermula di Universiti Putra Malaysia (UPM), di Serdang, Selangor.

Pengembaraan tersebut membabit perjalanan sejauh 16,000 kilometer dan meliputi beberapa negara termasuk Afrika Selatan.

"Saya seorang yang berjiwa lasak dan gemar mencabar diri dengan melakukan aktiviti-aktiviti ekstrem seperti memanjat gunung dan sukan berbasikal sejak di universiti lagi.

"Malah pada tahun 2010 saya telah mengalami kecederaan serius pada bahagian dada semasa menjalankan aktiviti mountain bike," katanya pada sidang akhbar mengenai pengembaraan jelajah dunia secara solo dengan berbasikal, di HPKL, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Faizal mengakui insiden tersebut telah memperlahankan sedikit aktiviti ekstremnya, tetapi tidak mematikan minatnya untuk terus berkayuh.

Seorang rakan kemudian mencadangkan dia menyertai aktiviti berbasikal secara santai iaitu bergerak di atas jalan raya dan berkonvoi secara beramai-ramai.

Mulanya, bersama rakan-rakan, Faizal berkonvoi di dalam negara sahaja sebelum timbul idea untuk mengembara mengelilingi dunia secara solo dengan basikal.

Faizal sedar untuk mencapai impian tersebut dia memerlukan perbelanjaan yang besar bagi menampung diri sepanjang pengembaraan.

Untuk itu dia nekad menjual rumah dan kereta, sebelum diikuti dengan keputusan untuk berhenti kerja.

"Waktu itu ibu tidak mengetahui rancangan saya, sehinggalah rumah dan kereta saya dijual. Sejak dari itu ibu mula sedar bahawa saya serius dengan impian saya dan mula menyokong minat saya," kata Faizal.

Tambahnya, sebelum mengambil keputusan untuk memulakan pengembaraan sulung ke Turki, dia sudah melakukan beberapa trip menunggang basikal malah meliputi Thailand, Indonesia dan Singapura.

"Sebelum ini saya pernah bergerak secara solo dari Kuala Lumpur ke Krabi dengan jaraknya 700 kilo meter dalam masa seminggu. Walaupun masanya pendek tetapi ia cukup menberi satu kepuasan dalam diri.

"Terbaharu, saya telah mengembara secara solo dengan basikal seluruh Semenanjung dengan jarak 2,291 kilometer selama 30 hari.

"Saya anggap ia sebagai persediaan untuk melakukan pengembaraan yang lebih lama semasa di Turki nanti," katanya.

Menurut Faizal, berdasarkan pengalaman mengembara mengelilingi Semenanjung, faktor cuaca dan makanan bukan menjadi masalah utama berbanding keselamatan sebagai penunggang basikal semasa berada di atas jalan raya.

"Keselamatan saya semasa berada di atas jalan raya juga diutamkan kerana sebahagian pemandu tidak mematuhi peraturan lalu lintas seperti lampu isyarat.

"Untuk bergerak di Turki saya memerlukan persediaan mental dan fizikal yang lebih kuat kerana di sana cuaca dan musim yang tidak menentu pasti lebih mencabar," jelasnya.

Faizal juga menambah selepas tamat menghabiskan pengembaraan di Turki nanti dia akan terus ke Afrika Selatan.

Sementara itu, Pegawai Perubatan HPKL, Dr. Wan Suraya Tunku Syed Yahya berkata, bagi memastikan Faizal mempunyai kesihatan yang baik semasa mengembara sejauh 16,000 km, PHKL telah memberikan pemeriksaan kesihatan secara percuma.

Pemeriksaan membabitkan penggunaan kelengkapann merangkumi ujian pernafasan, degupan jantung dan indek kandungan lemak dalam badan.

"Berdasarkan rawatan dan kajian yang diberikan Faizal didapati sihat sepenuhnya dari segi fizikal. Melalui pemerikasaan juga tekanan jantungnya juga berada dalam keadaan baik dan sihat.

"Kami juga menyediakan seorang dietetik untuk memberi penerangan kepadanya tentang makanan yang boleh diambil dan perlu dielakkan semasa mengembara di Turki nanti.

"Dia juga telah melalui analisis untuk mengetahui kandungan lemak dalam badan dan berada dalam kondisi yang baik," jelasnya.

Sementara itu Pengarah Urusan HPKL, Anwar Anis berkata, pihaknya sentiasa menyokong usaha yang dilakukan oleh Faizal.

"Kami gembira kerana dia berada dalam keadaan kondisi yang baik. Kami juga akan sentiasa memantau perkembangannya melaui blog dan laman sosial," katanya. – Siti Aishah Yusoff

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved