Oleh KHAIRUL ABIDIN NUAR
khairul.nuar@utusan.com.my
TANGGAL 1 Mac 2013 pasti akan sentiasa terpahat dalam ingatan Koperal Azman Ampong, 39, seorang anggota komando VAT 69 yang cedera parah ketika bertempur dengan kumpulan pengganas Kiram di Lahad Datu, Sabah.
Anak sulung daripada lima beradik dari Semporna, Sabah ini mula menyertai unit elit Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 2002. Namun, pengalaman bertempur dalam situasi peperangan sebenar untuk mematahkan serangan pengganas yang menceroboh Kampung Tanduo disempurnakan dengan sebaiknya demi negara.
Setiap anggota komando VAT 69 mengerti bahawa mereka harus mengelak daripada sebarang bentuk pertempuran di tahap maksimum serta tidak boleh sesuka hati melepaskan tembakan bagi menghindari sebarang konflik.
Namun, awal pagi itu ketika mereka bergerak dalam satu pasukan di bawah unit penggempur Sektor Charlie, Azman berkata, tiba-tiba dia menyedari kedudukannya telah berada kurang 200 meter dari kubu pengganas.
"Saya ternampak satu trek laluan peronda dan terdengar bunyi ketukan. Saya tinjau dengan lebih rapat dan terlihat satu bumbung rumah. Saya berundur ke belakang dan rakan setugas, Koperal Mohd. Tarmizi Hashim dan Koperal Tarmi Ibrahim bertanyakan apa yang saya nampak.
"Kehadiran kami bertiga disedari oleh kumpulan peronda pengganas. Tarmi pergi memberitahu Sektor Charlie. Namun, saya dan Tarmizi mengambil keputusan untuk tidak berundur biarpun senjata mula dihala ke arah kami kerana saya percaya, rakan-rakan di belakang akan membantu kami," katanya ketika ditemui dalam sesi wawancara khas sempena Hari Pahlawan di Kem Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta, Perak, baru-baru ini.
Menurut Azman, ketika itu, pengganas-pengganas Kiram mula ghairah keseronokan dan seorang daripada mereka keluar dengan membawa sebatang kayu bersama kad manila berwarna putih seperti bendera sambil memegang sebilah parang di tangan kirinya.
Azman berkata, kedudukannya ketika itu betul-betul hanya berselang satu pokok kelapa sawit dan pengganas itu seterusnya bercakap dalam bahasa Sulu.
"Walaupun saya faham bahasa tersebut kerana ibu berbangsa Sulu, namun saya tidak menjawab. Pengganas itu ingatkan kami adalah Tiger Platun daripada PGA. Dia kata "jangan kamu di sini, baliklah kamu" sambil membuat isyarat tangan.
"Namun, selepas menyedari kami tidak mengendahkannya, saya dengar takbir 'Allahu Akbar' dilaung sebanyak dua kali sebelum satu tembakan dilepaskan ke arah kami dan akhirnya saya terpaksa membalas," katanya.
Azman berkata, dia dan Mohd. Tarmizi ibarat satu umpan bagi membolehkan mereka bertempur, namun kumpulan pengganas tersebut terus menjadi tidak tentu arah apabila menerima serangan balas mengejut daripada Sektor Charlie dan Delta kerana beranggapan anggota komando VAT 69 itu hanya berdua di situ.
Dia berkata, pertempuran lebih sejam itu membuatkan dia nekad melepaskan tembakan sehingga tidak sedar telah kehabisan peluru ekoran bunyi dentuman tembakan yang kuat daripada kedua-dua belah pihak.
"Namun, saya betul-betul ralat apabila Asisten Supritendan Zulkifli Mamat, 29, meninggal dunia semasa pertempuran tersebut kerana merasakan saya yang sepatutnya mati. Saya tidak mahu berundur kerana saya tahu dia ada di belakang," katanya.
Menceritakan lebih lanjut, Azman berkata, dia dan Mohd. Tarmizi hanya berada di sebalik sebatang pokok kelapa sawit sehingga rakannya itu terpaksa menindih badannya disebabkan oleh keluasan tempat berlindung yang terhad.
Sehubungan itu, maka tidak hairanlah sekiranya Azman dan Mohd. Tarmizi masing-masing terkena tembakan di kaki kanan dan tangan kiri.
"Saya tidak ada perasaan takut ketika bertempur kerana merasakan situasinya sama seperti berada dalam latihan ketika berdepan dengan peluru hidup. Cuma bezanya, saya merasai pengalaman peperangan sebenar dan terkena tembakan.
"Saya tercampak tiga kaki (satu meter) dari tempat berlindung selepas ditembak. Namun, terkena tembakan ini sebenarnya tidak sakit, cuma terasa sejuk macam ais batu.
"Saya gerak-gerakkan kaki selepas terkena tembakan kerana khuatir akan lumpuh. Namun, sakitnya hanya terasa selepas menjalani pembedahan," katanya.
Azman yang berminat menyertai komando VAT 69 selepas kampung halamannya di Semporna diserang lanun pada 1995, masih menyimpan sebutir peluru musuh di belakang badannya.
Dia disyorkan oleh doktor untuk tidak membuang peluru berkenaan ekoran kedudukannya yang tersemat terlalu dekat dengan tulang belakang.
Dalam pada itu, Azman berkata, pengganas Kiram sememangnya langsung tidak gentar berdepan musuh kerana sudah menjadi adat bagi seseorang lelaki berbangsa Sulu untuk mesti memiliki senjata api.
Malah katanya, salah seorang daripada pengganas Kiram cuba merapat kepada mereka (di pokok tempat mereka berlindung) biarpun telah ditembak pada jarak dekat sebanyak enam kali dengan 12 butir peluru.
"Saya rasa mereka bukan ingin membunuh, cuma hendak menangkap kami berdua," katanya yang percaya PGA turut berkebolehan untuk menjalankan operasi seumpama itu sekiranya diberikan latihan bertempur.
Sementara itu, Mohd. Tarmizi, 32, dari Kota Bharu, Kelantan bersyukur kerana masih diberikan peluang oleh Allah untuk meneruskan kehidupan biarpun merasakan dirinya sudah menemui ajal sewaktu pertempuran tersebut.
Dia yang terkena tiga tembakan di dada dan satu di topi keledar balistik, hanya mampu menggolekkan diri ke belakang dengan berpandukan arahan daripada anggota pasukan bagi mendapatkan bantuan setelah kehabisan peluru.
"Setelah terdengar bunyi senjata, hati ini terasa semangat tetapi apakan daya, tangan sudah terkulai kerana terkena juga tembakan selain di kaki.
"Menjadi komando VAT 69, jangan menjangkakan kita akan balik hidup-hidup apabila keluar operasi," kata bapa kepada tiga anak ini yang masih menyimpan serpihan peluru di badannya selain separuh tendonnya (tisu penghubung antara otot dan tulang) hampir putus justeru merupakan anggota yang paling lambat sembuh.
Inspektor Hamzah Abdul Rani, 42, yang bertugas di bawah Sektor Bravo pula menyifatkan sifat keberanian, agresif serta semangat bekerja sebagai satu pasukan akhirnya membawa kejayaan dalam misi operasi tersebut.
"Pertempuran kami berbaloi kerana dapat menewaskan pengganas yang juga telah mengorbankan anak buah saya iaitu Sarjan Sabarudin Daud, 46, yang maut ditembak di kepala.
"Perjuangan ini merupakan sumbangan kami kepada PDRM dan juga demi negara. Kami sanggup berkorban dan tidak meminta apa-apa balasan," katanya yang juga nyaris terkena tembakan di bahagian muka apabila peluru berkenaan tersangkut di celah tepi batang pokok kelapa sawit yang menjadi tempat berlindung.
Esok, seperti lazimnya setiap tahun akan dilancarkan Tabung Rayuan Hari Pahlawan yang bertujuan meringankan beban harian dan tanggungan bekas anggota keselamatan - tentera dan polis yang berkorban tenaga dan masa bagi memastikan kemakmuran negara.
Masyarakat awam digesa bersama-sama menghulurkan sumbangan pada Tabung Rayuan Hari Pahlawan ini bagi meringankan beban bekas anggota keselamatan serta tanggungan mereka.