Isnin, 29 Julai 2013

Utusan Online - Utara


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Utara


Ibu tunggal dibantu

Posted: 28 Jul 2013 11:05 AM PDT

Oleh ABD. RAZAK OSMAN
utusankedah@utusan.com.my

Tunku Nafisah Sultan Badlishah (dua kiri) bertanya sesuatu kepada Sopiah Yaakob yang mengalami kecacatan setelah terlibat dalam kemalangan semasa Majlis Penyampaian Sumbangan Hari Raya Aidilfitri 2013 di Sungai Petani, Kedah, semalam.

SUNGAI PETANI 28 Julai - Seramai 170 penduduk terdiri daripada ibu tunggal dan warga emas dari daerah Baling, Sik, Yan dan Kuala Muda dipilih menerima duit raya RM300 seorang daripada Yayasan Sultanah Bahiyah (YSB) dalam satu majlis di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Biro Kebajikan YSB, Datuk Tunku Nafisah Sultan Badlishah menyampaikan sumbangan itu dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Perayaan Hari Aidilfitri 2013.

Program anjuran YSB itu adalah kali ke-14 diadakan dan pada tahun lalu, seramai 185 penduduk di daerah Kota Setar, Pendang, Padang Terap dan Kubang Pasu menerimanya.

Pengurus Besar YSB, Misbah Abdul Hamid berkata, penyampaian sumbangan kepada para penerima itu dilakukan lebih awal bagi membolehkan mereka membuat persediaan untuk menyambut bulan Syawal tidak lama lagi.

Katanya, mereka yang menerima sumbangan itu adalah golongan miskin dan sebanyak RM55,000 diperuntukkan bagi membiayai program berkenaan.

Seorang warga emas, Sopiah Samad, 67, dari Simpor Besar berkata, dia gembira kerana dipilih oleh pihak YSB untuk menerima sumbangan tersebut.

"Wang sumbangan itu boleh digunakan untuk membeli keperluan hari raya," katanya.

Dataran Cerap Mini pupuk minat ilmu astronomi

Posted: 28 Jul 2013 11:05 AM PDT

Reezal Merican Naina Merican menyaksikan Nafiza Md. Kamaruddin (kanan) bertukar dokumen perjanjian penajaan majalah Al-Islam terbitan Utusan Karya Sdn. Bhd. dengan Zainol Saad dalam majlis perasmian Dataran Cerap Mini Bandar Falak Kepala Batas, Pulau Pinang, kelmarin.

KEPALA BATAS 28 Julai - Dataran Cerap Mini akan diwujudkan di Jalan Dagangan 2, Pusat Bandar Bertam di sini sekali gus menjadikan Kepala Batas sebagai Bandar Falak dalam usaha memupuk minat masyarakat setempat dalam bidang astronomi.

Presiden Persatuan Astronomi dan (Teknologi Komunikasi Maklumat (ICT) Malaysia (MAIA), Nafiza Md. Kamaruddin berkata, penubuhan Dataran Cerap Mini berkenaan dijangka dapat memberi pendedahan kepada orang ramai menerokai rahsia alam semesta.

"Pada masa ini tidak ramai orang Islam terutama golongan pelajar berminat menceburi bidang kajian ilmu falak kerana pendedahan ke arah itu sangat kurang di negara ini.

"Atas dasar itulah, MAIA diwujudkan dan kita jadikan Pusat Bandar Bertam ini sebagai Dataran Cerap Mini yang akan menjadi platform kepada golongan muda dan pelajar sekolah memahami fungsi dan kewujudan alam semesta," katanya selepas majlis perasmian Dataran Cerap Mini di sini semalam.

Majlis perasmian disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kepala Batas, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican.

Reezal Merican turut menyumbangkan dana berjumlah RM10,000 kepada MAIA melalui Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kepala Batas.

Menurut Nafiza, sebanyak 52 sekolah di Pulau Pinang telah mengambil bahagian dan berdaftar sebagai ahli persatuan itu.

"Golongan sasaran kita lebih tertumpu pada pelajar prasekolah, sekolah rendah dan menengah selain turut menerima penyertaan daripada ibu bapa," ujarnya.

Dalam majlis sama, turut diadakan penyerahan simbolik majalah Al-Islam sebagai rakan media MAIA yang diserahkan Eksekutif Jualan Utusan Melayu (M) Berhad, Zainol Saad kepada wakil MAIA.

Enam lelaki Islam ditangkap berjudi

Posted: 28 Jul 2013 11:05 AM PDT

PULAU PINANG 28 Julai - Tidak menghormati kemuliaan Ramadan. Demikianlah sikap enam lelaki Muslim yang dicekup polis dalam serbuan di sebuah pondok milik nelayan berhampiran Lebuh Raya Tun Dr. Lim Chong Eu di sini awal pagi ini.

Kesemua yang ditahan pada pukul 3 pagi dalam Ops Dadu itu berusia antara 31 hingga 55 tahun.

Bagaimanapun 15 kaki judi lain sempat meloloskan diri dengan terjun ke laut dan berenang sejauh 100 meter dari pondok berkenaan.

Pondok kayu di tepi laut itu dikatakan menjadi lokasi kaki judi sejak awal Ramadan lalu.

Meskipun pernah diserbu polis sebelum ini, kaki judi seperti tidak serik dan tangkapan pagi ini dilakukan buat kali kedua.

Dalam operasi tersebut, polis merampas 52 keping daun terup, satu bekas tin, wang tunai RM3,985 dan meja papan.

Sementara itu, Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Nasir Salleh mengesahkan laporan dan penahanan semua suspek.

Mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut untuk siasatan di bawah Seksyen 7(2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved