Isnin, 29 Julai 2013

Utusan Online - Selatan


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Selatan


550 anggota bomba bertugas

Posted: 28 Jul 2013 11:05 AM PDT

Oleh FARABI SHEIKH SAID AL JABRI
utusanN9@utusan.com.my

Jalaluddin Alias (tiga dari kiri) melepaskan konvoi dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Sembilan pada majlis perasmian Kempen Kempen Keselamatan Kebakaran dan Ops Raya 2013 peringkat negeri di Senawang, Negeri Sembilan, kelmarin. - utusan/Farabi Sheikh Said al Jabri

SEREMBAN 28 Julai - Menjelang musim perayaan kali ini sebanyak 550 anggota dan 75 buah jentera dari Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri akan ditempatkan di beberapa lokasi penting pada Ops Raya yang dijadualkan bermula pada 1 hingga 18 Ogos ini.

Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesejahteraan Bandar Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Jalaluddin Alias berkata, pada Ops Raya kali ini pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri juga akan menyediakan dua pusat statik di dua lokasi di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS).

Jelasnya dua pusat statik itu adalah kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Senawang arah utara bagi kawasan utara sementara bagi kawasan selatan pula terletak di R&R Nilai.

''Selain itu, juga pihak bomba juga akan mengadakan rondaan 24 jam ke lokasi ditetapkan yang mana tumpuannya terarah di kawasan berisiko berlakunya kemalangan di sepanjang kawasan lebuh raya PLUS," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Kempen Keselamatan Kebakaran dan Ops Raya 2013 Peringkat Negeri Sembilan anjuran Jabatan Bomba dan Penyelamat negeri di Kipmart Senawang dekat sini semalam yang turut dihadiri oleh Pengarahnya, Norazam Khamis.

Jalaluddin seterusnya memberitahu, turut diberi penumpuan adalah lima laluan lain yang akan dipantau oleh pihak bomba selain lebuh raya PLUS kedua-dua arah ialah Jalan Port Dickson ke Melaka; Jalan Gemas ke Kuala Pilah serta Jalan Rembau ke Seremban.

''Bukan lebuh raya sahaja kita akan pantau tetapi jalan Persekutuan juga kita akan perhatikan yang mana penugasan ini bakal dilakukan oleh pihak bomba," katanya.

Menyentuh Kempen Keselamatan Kebakaran pula, Jalaluddin memberitahu, sebanyak 76 kes kebakaran pada musim perayaan 2012 dicatatkan berbanding 59 kes kebakaran pada 2011 dengan mencatatkan kenaikan sebanyak 22 peratus.

Katanya, antara faktor berlakunya kebakaran adalah disebabkan kecuaian orang ramai, kurang kesedaran mengenai langkah pencegahan kebakaran selain kegagalan mekanikal dan elektronik sesebuah premis.

''Justeru, orang ramai yang ingin meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung bagi tempoh masa yang lama disarankan untuk menitik beratkan aspek pencegahan kebakaran agar kes-kes ini dapat dielakkan," katanya.

Kembara Jalur Gemilang jelajah seluruh Melaka edar 5,000 bendera

Posted: 28 Jul 2013 11:05 AM PDT

ZAINUDIN Ismail (kiri) dan Norpipah Abdol mengedarkan Jalur Gemilang kepada penunggang motosikal selepas majlis Pelancaran Kembara Jalur Gemilang Ramadan dan Aidilfitri peringkat negeri di Alor Gajah, Melaka, baru-baru ini.

ALOR GAJAH 28 Julai - Kembara Jalur Gemilang Ramadan dan Aidilfitri menjelajah ke seluruh negeri ini selama tiga hari dilancarkan kelmarin bagi memeriahkan sambutan Bulan Kemerdekaan selain melaksanakan program kebajikan sempena Ramadan.

Pengarah Jabatan Penerangan negeri, Zainudin Ismail berkata, sepanjang program itu, sebanyak kira-kira 5,000 Jalur Gemilang diedarkan secara percuma kepada penduduk di negeri ini selain turut mengedarkan bubur lambuk di beberapa lokasi terpilih.

Menurutnya, program anjuran Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan itu turut melibatkan agensi di bawahnya antaranya Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penerangan dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Setiap agensi di bawah kementerian terlibat dengan program ini dan diadakan di setiap negeri di seluruh negara sebagai memeriahkan sambutan bulan kemerdekaan dan melaksanakan aktiviti berbentuk kebajikan bersama penduduk tempatan.

"Dalam program ini, kita turun menziarahi beberapa keluarga yang kurang bernasib baik untuk disampaikan bantuan keperluan dapur dan wang tunai," katanya selepas majlis pelancaran Kembara Jalur Gemilang Ramadan dan Aidilfitri peringkat negeri di kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Rembia, di sini kelmarin.

Majlis itu disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Komunikasi, Perpaduan, Hal Ehwal Pengguna dan Koperasi negeri, Datuk Latiff Tamby Chik.

Yang hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rembia, Datuk Norpipah Abdol.

Zainudin berkata, konvoi yang disertai lebih 10 buah kenderaan pacuan empat roda itu merupakan usaha kerajaan menyebarkan mesej perpaduan, keamanan dan semangat patriotisme dalam kalangan rakyat.

"Pada program ini selain memberikan Jalur Gemilang kepada rakyat, kita juga menanam semangat cintakan negara kepada mereka dan berharap seluruh rakyat akan mengibarkan Jalur Gemilang sebagai menunjukkan semangat patriotisme," katanya.

40 periuk bubur lambuk diagih kepada penduduk

Posted: 28 Jul 2013 11:05 AM PDT

Ab. Rahaman Ab. Karim (dua kanan) mengacau bubur lambuk dalam Program Memasak Bubur Lambuk di Pantai Puteri, Melaka, semalam.

MELAKA 28 Julai - Jawatankuasa Penyelaras dan Pembangunan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Pantai Kundor menganjurkan Program Memasak Bubur Lambuk 2013 untuk diagihkan kepada rumah-rumah anak yatim, fakir miskin serta penduduk kampung.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pantai Kundor, Datuk Ab. Rahaman Ab. Karim berkata, program tahunan yang diadakan buat kali kelapan itu kali ini melibatkan seramai 400 peserta bagi menyediakan sebanyak 40 periuk bubur lambuk.

"Kesemua bubur lambuk yang disediakan itu akan diagihkan kepada rumah anak-anak yatim, penduduk miskin serta orang ramai di seluruh DUN Pantai Kundor," katanya ketika ditemui pada program tersebut di Pentas Budaya Pantai Puteri, Tanjung Kling di sini hari ini.

Yang hadir sama Ahli Parlimen Tangga Batu, Datuk Dr. Abu Bakar Mohamad Diah.

Menurut Ab. Rahaman yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Pembangunan Sukan negeri, program itu pada tahun ini turut mendapat kerjasama daripada Petronas Penapisan (Melaka) Sdn. Bhd., dan Petronas Dagangan Berhad yang menyumbangkan gas memasak, apron dan topi chef.

Jelasnya, program memasak bubur lambuk paling besar dianjurkan itu bermula pada pukul 8 pagi dan mula diagihkan kepada orang ramai pada pukul 11 pagi.

"Sebahagian bubur ini turut diagihkan kepada orang ramai yang memandu kenderaan melalui jalan Pantai Puteri di sini," ujarnya.

Katanya, sebanyak 40 badan serta agensi kerajaan negeri terlibat bagi menjayakan program ini termasuk kesemua 17 Pejabat Cawangan Barisan Nasional (BN) di Pantai Kundor.

Antara agensi kerajaan yang terlibat termasuklah Kementerian Pelancongan Malaysia Melaka, Perbadanan Stadium Hang Jebat, Kelab Rakan Muda, Petronas, Japerun Pantai Kundor, Syarikat Air Melaka, Telekom Malaysia (TM) , Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Majlis Sukan Negeri dan banyak lagi.

Tambah beliau, program itu akan diteruskan setiap tahun pada bulan puasa kerana mampu menyuburkan semangat bergotong-royong dalam kalangan masyarakat di samping memeriahkan lagi sambutan Ramadan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved