Isnin, 29 Julai 2013

Utusan Online - Johor


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Johor


Pengusaha ternakan diberi notis

Posted: 28 Jul 2013 11:05 AM PDT

Oleh ZULHISHAM ISAHAK
utusanjohor@utusan.com.my

ISMAIL Mohamad (dua dari kiri) beramah mesra dengan ketua-ketua masyarakat dalam Majlis Penyerahan Sumbangan Program Mengimarahkan 10 Malam Akhir Ramadan di Dewan Gresik,Pagoh, Johor, kelmarin. - Utusan/Ishak Rahmad

PAGOH 28 Julai - Lebih 20 penternak di negeri ini diberi notis penamatan oleh Jabatan Veterinar berikutan kegagalan memajukan ternakan masing-masing walaupun pelbagai bantuan diberikan terutama membabitkan pajakan kawasan padang ragut.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian dan Industri Asas Tani negeri, Ismail Mohamed berkata, kebanyakan penternak juga didapati menukar status ternakan mereka tanpa berbincang terlebih dahulu dengan jabatan berkenaan.

"Selain itu, mereka juga memberikan pelbagai alasan tidak meneruskan projek itu terutama peningkatan kos harga makanan sehingga tidak mampu mengusahakan ternakan masing-masing.

"Ada antara pengusaha ini sudah tidak aktif menyebabkan Jabatan Veterinar terpaksa memberikan notis kepada mereka dan boleh ditarik semula pajakan tanah padang rumput milik kerajaan yang dinikmati mereka sebelum ini. Kita sudah keluarkan notis dan ada antara mereka yang membuat rayuan dan ada yang kembali aktif," katanya.

Beliau berkata demikian semasa ditemui dalam Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada 150 Pengerusi dan Pegawai Masjid dan Surau Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Serampang sempena Program Mengimarahkan Masjid di 10 Ramadan Terakhir di Dewan Gresik, dekat sini semalam.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Serampang berkata, kerajaan serius untuk meneruskan projek Taman Kekal Pengeluaran Makanan sehingga menjadikan negeri ini sebagai pengeluar makanan terbesar negara setakat ini.

Ismail berkata, pihaknya tidak mahu pengusaha terlibat mempersia-siakan peluang yang diberi sedangkan pelbagai bantuan lain sedang dikenal pasti selain cuba menyelesaikan masalah dihadapi mereka.

Pihaknya akan mengenal pasti langkah-langkah yang boleh diambil menerusi Majlis Pembangunan Pertanian Negeri supaya penternak berkenaan dapat kembali aktif terbabit dalam bidang pertanian seterusnya menyumbang kepada ekonomi negeri.

"Memang kekurangan dalam sektor penternakan ini setakat tidak memberi kesan kepada keseluruhan sektor pertanian negeri tetapi kita mahu bidang ini dilaksanakan dengan lebih giat supaya pengeluaran makanan dapat bertambah," ujarnya.

Di Pagoh, seluas 1,942 hektar tanah kerajaan dipajak untuk kegiatan penternakan tidak termasuk 1,011 hektar di Lenga serta 607 hektar lagi di Durian Chondong, katanya.

Beliau berkata, ketika ini kebanyakan penternak mengusahakan kira-kira 20 ekor ternakan seperti lembu dan kambing namun pihaknya menggalakkan supaya mereka dapat memelihara lebih daripada 50 ekor.

NGO anjur jualan amal bantu golongan memerlukan

Posted: 28 Jul 2013 11:05 AM PDT

Orang ramai memenuhi ruang Jualan Amal Sambil Menderma bagi membantu golongan kurang berkemampuan untuk menyambut ketibaan bulan Syawal di Tapak Bazar Karat, Johor Bahru, kelmarin.

JOHOR BAHRU 28 Julai - Pelbagai cara digunakan oleh orang ramai bagi membantu mereka yang memerlukan terutama dalam bulan Ramadan dan menjelang Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi.

Pertubuhan Belia KAGUM Johor Bahru dengan kerjasama Pergerakan Pemuda UMNO cawangan-cawangan Johor Bahru memilih untuk melakukan jualan amal selama tiga hari bermula Jumaat lalu bagi mengumpul dana supaya dapat disalurkan kepada golongan yang memerlukan.

Pengarah program, Nornekman Osman berkata, jualan amal pelbagai barangan seperti pakaian, beg dan kasut yang masih elok dan berkualiti dengan harga bermula 50 sen itu dijalankan di pasar karat di sini.

"Kita menyasarkan dana yang dikumpul itu dapat disalurkan kepada 200 anak yatim dan fakir miskin terpilih di kawasan Parlimen Johor Bahru dalam usaha kita cuba meringankan beban selain diharap dapat memberi senyuman kepada mereka.

"Ini merupakan kesinambungan pelbagai program amal yang sering dianjurkan Ahli Parlimen Johor Bahru, namun ini merupakan kali pertama jualan lelongan amal diadakan," katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini semalam.

Nornekman berkata, selain wang tunai hasil jualan lelongan tersebut, pihaknya turut menyumbang barangan keperluan lain dan akan diserahkan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri minggu depan.

Beliau gembira dengan sambutan yang diperoleh, sekali gus membuktikan keprihatinan masyarakat terhadap insan yang tidak bernasib baik di negeri ini dan program itu akan diperhebatkan pada masa akan datang.

"Kita akan meneruskan program tersebut pada Disember ini bagi mengumpul dana sempena musim persekolahan baharu tahun depan selain pada musim-musim perayaan lain," katanya.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved