Isnin, 29 Julai 2013

Utusan Online - Mahkamah


Klik GAMBAR Dibawah Untuk Lebih Info
sumber :-

Utusan Online - Mahkamah


Didakwa merusuh depan Parlimen

Posted: 29 Jul 2013 11:26 AM PDT

Oleh MARZITA ABDULLAH
pengarang@utusan.com.my

BADRUL Hisham Shaharin atau Chegubard (kiri) membuat bising di dalam mahkamah bersama individu lain yang didakwa atas tuduhan merusuh dan menganjurkan perhimpunan haram di hadapan bangunan Parlimen bulan lalu di Mahkamah Sesyen, Kuala Lumpur, semalam. - UTUSAN/AZLIZA HAILANI

KUALA LUMPUR 29 Julai - Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rembau, Chegubard dan 32 individu lain dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merusuh dan menyertai perhimpunan haram di jalan masuk bangunan Parlimen, bulan lalu.

Kesemua tertuduh termasuk tiga wanita mengaku tidak bersalah setelah pertuduhan dibaca oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mat Ghani Abdullah.

Chegubard atau nama sebenarnya, Badrul Hisham Shaharin, 35 yang juga pengerusi Solidariti Anak Muda Malaysia (SAMM) didakwa bersama-sama aktivis propembangkang, Adam Adli Abdul Halim, 25; Pengerusi Solidariti Mahasiswa Malaysia (SMM), Muhammad Safwan Anang, 24; Sekretariat SMM, Ekhsan Bukharee Badarul, 22, serta 13 individu lain.

Mereka didakwa atas dua pertuduhan, masing-masing mengikut Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana merusuh dan Seksyen 143 kanun sama atas dakwaan menyertai perhimpunan haram.

Tertuduh didakwa telah melakukan rusuhan di Jalan Parlimen kira-kira pukul 11.25 pagi, 24 Jun lalu dan seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mereka juga didakwa sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang dengan tujuan perhimpunan itu ialah untuk melakukan mudarat awam di tempat sama, antara pukul 9.15 pagi dan 11.25 pagi, tarikh yang sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

Sementara itu, 16 lagi individu turut didakwa atas tuduhan sama mengikut Seksyen 143 kanun berkenaan di mahkamah tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Faizah Mohd. Salleh mencadangkan ikat jamin RM10,000 setiap seorang tertuduh dengan alasan mereka telah menyebabkan kesusahan kepada orang awam.

Katanya, jika jumlah jaminan kurang daripada jumlah tersebut dikhuatiri semua tertuduh tidak mengambil serius pertuduhan tersebut.

Sebaik sahaja mendengar jumlah jaminan yang dicadangkan itu, sebahagian penyokong kumpulan itu yang memenuhi galeri awam mula membuat bising namun berjaya ditenangkan oleh rakan yang lain.

Peguam, Eric Paulsen memohon mahkamah mengenakan ikat jamin RM1,000 setiap seorang dengan alasan jumlah tersebut terlalu tinggi kerana 11 daripada tertuduh termasuk dua warga emas adalah peniaga kecil manakala 11 lagi pekerja swasta, sembilan yang lain pula adalah pelajar dan dua lagi adalah suri rumah.

"Mereka tidak mampu untuk membayar jumlah yang tinggi, jika dapat dikurangkan kepada RM1,000 pun mereka terpaksa meminjam lagipun hari ini adalah bulan puasa, bulan yang baik justeru kami harap mahkamah dapat mengurangkan jumlah jaminan itu," katanya.

Mat Ghani membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM2,000 seorang dengan seorang penjamin dan menetapkan 19 Ogos ini untuk sebutan semula kes.

Mendengar jumlah jaminan yang diputuskan, para penyokong kumpulan itu sekali lagi membuat bising dan melaungkan takbir semasa prosiding masih berlangsung.

Dalam pada itu, para tertuduh turut diwakili peguam, Mohd. Razlan Jalaluddin dan PG Cyril.

Sebelum itu, ketika menunggu kes tersebut didaftarkan di kaunter pendaftaran Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur, kumpulan terbabit turut membuat bising di lobi kompleks itu dengan berteriak sesama mereka dan menyanyi.

Memetik laporan akhbar, pada 24 Jun lalu, kumpulan penyokong parti pembangkang telah merusuh dan merempuh masuk ke bangunan Parlimen ketika majlis angkat sumpah Ahli Dewan Rakyat sedang berlangsung.

Lapan tertuduh rogol mengaku tidak bersalah

Posted: 29 Jul 2013 11:26 AM PDT

TEMERLOH 29 Julai - Lapan remaja termasuk empat daripada mereka yang di bawah umur masing-masing mengaku tidak bersalah di dua mahkamah berasingan atas pertuduhan bersubahat dan merogol secara bergilir-gilir seorang gadis di sebuah kawasan ladang getah.

Lima daripada kesemua tertuduh didakwa di Mahkamah Sesyen Temerloh manakala tiga lagi remaja bawah umur dihadapkan di Mahkamah Kanak-Kanak Maran.

Mereka ialah Muhammad Hafizzi Zulkarnain, 20, Mohd. Amirul Farhan Mohamad Shahaimi, 19, Mohd. Iqra Isman Kamsoha, 18, dan Muhammad Waliyuddin Ahmad Basri, 20, dan seorang juvenil.

Muhammad Hafizzi dan Mohd. Amirul Farhan didakwa merogol mangsa di tanah lapang laluan masuk ke dalam ladang getah Bukit Kebuk, Maran antara pukul 2.50 pagi dan 3.15 pagi, pada 22 Julai lalu.

Mereka berdua didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 20 tahun dan sebatan.

Mohd. Iqra Isman dan Muhammad Waliyuddin pula didakwa atas pertuduhan bersubahat bersama Muhammad Hafizzi dan Mohd. Amirul Farhan dan empat rakan juvenil mereka di antara pukul 2.50 pagi dan 3.10 pagi pada hari dan tempat yang sama.

Mereka didakwa di bawah Seksyen 109 dibaca bersama Seksyen 376(1) kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebatan, jika sabit kesalahan.

Hakim Habibah Mohamed Yusof memerintahkan kelima-lima tertuduh diikat jamin RM10,000 setiap tertuduh dan menetapkan 2 September depan untuk sebutan semula kes.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Elyna Othman dan peguam, Syed Azimal Amir Syed Abu Bakar mewakili Mohd. Amirul Farhan manakala tertuduh lain tidak diwakili peguam.

Sementara itu, di Mahkamah Kanak-Kanak Maran, ketiga-tiga tertuduh bawah umur itu didakwa merogol remaja tersebut di tanah lapang laluan masuk ke dalam ladang getah tersebut.

Timbalan Pendakwa Raya, Ain Fadilla Md. Ali memberitahu pemberita, Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli memerintahkan ketiga-tiganya diikat jamin RM1,000 setiap seorang.

Mahkamah menetapkan 28 Ogos depan bagi sebutan rundingan pra-bicara bagi kes berkenaan.

Kredit: www.utusan.com.my

0 ulasan:

Catat Ulasan

 

Akhbar Utusan Malaysia

Copyright 2010 All Rights Reserved